Jangan sahut seruan assabiyyah

Perhimpunan khas Melayu 12 April

KUALA LUMPUR 2 April – Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) akan menganjurkan perhimpunan bagi membincangkan usaha-usaha mempertahankan kedaulatan ketuanan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 12 April ini.

Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar berkata, ia membabitkan kepimpinan Melayu daripada 25 pertubuhan dan badan amal Melayu/Islam yang setakat ini telah bersetuju menjayakan majlis tersebut.

Beliau berkata, ia diadakan sebagai reaksi terhadap perkembangan politik selepas pilihan raya umum bulan lalu yang menyaksikan lima negeri di Semenanjung terlepas ke tangan pembangkang.

”Lebih penting lagi ialah usaha kita untuk mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber : Utusan Malaysia 03/04/08

Ulasan:

Sabda Rasullullah SAW,

“Bukanlah dari kalangan kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Dawud].

Kenapakah begitu susah untuk orang Melayu memahami hadis Rasulullah yang sebegini jelas? Atau mereka tidak mahu mengambil ajaran Islam yang di bawah oleh Rasulullah? Telah jelas haram seruan kepada ‘bangsa Melayu’ yang berupa seruan assabiyyah. Meneruskan perjuangan yang berasaskan assabiyyah bukan sahaja merupakan satu kerja yang sia-sia, malah akan terus menambahkan dosa kepada pejuangnya.

Inilah yang menjadi masalah di kalangan sesetengah dari orang-orang Melayu – ‘Melayu’ yang dijadikan agenda perjuangan, bukannya ‘Islam’. Bila dinasihatkan agar meninggalkan assabiyyah yang dilaknat oleh Rasulullah ini, para pejuang Melayu itu selalu mengatakan, “Ah kami juga berjuang untuk Islam, bukankah Melayu itu Islam?” Jawapannya, bukan!!!. Melayu bukan Islam dan Islam bukan Melayu. Islam adalah agama, manakala Melayu adalah bangsa. Seseorang boleh keluar dari Islam, tapi seseorang itu takkan boleh keluar dari Melayu. Jika dia dilahirkan Melayu, maka Melayulah bangsanya sampai dia mati dan dia tidak berdosa dan tidak pula mendapat pahala apabila dilahirkan sebagai Melayu. Tapi, jika dia dilahirkan Islam (tidak kira apa bangsanya), dia boleh memilih untuk terus menjadi seorang Muslim atau keluar dari Islam, dan dia akan mendapat pahala dan dosa dari sisi Islam, sesuai dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Pokoknya, dilihat dari sudut mana sekalipun, Melayu dan Islam adalah dua perkara yang berbeza dan sama sekali tidak serupa. Berjuang untuk Melayu akan menjerumuskan pejuangnya ke lembah hina dan ke neraka, manakala berjuang untuk Islam akan membawa kemuliaan kepada pejuangnya dan bakal dianugerahkan syurga oleh Allah.

Justeru, Hizbut Tahrir menyeru agar umat Islam yang berbangsa Melayu meninggalkan perjuangan hina dan dosa ini, dan beralihlah kepada perjuangan Islam. Jauhilah segala seruan kepada assabiyyah ini kerana ia hanya akan mendatangkan kemurkaan dari Allah. Kemuliaan seseorang itu bukan kerana bangsa Melayunya atau ‘ketuanan Melayunya’ tetapi kerana ketakwaannya kepada Allah sebagai seorang ‘Muslim’, tidak kira apa bangsanya.

Kepada pembaca yang cintakan Islam, sila klik pautan di bawah:-

SN138 Assabiyyah Dan Wathaniyyah – Pencetus Malapetaka Dan Perpecahan
SN070 Formula Kebangkitan Umat