Dalam puak assabiyyah ada lagi puak!

Di dalam Majlis Perjumpaan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Pemimpin-Pemimpin UMNO Negeri Kedah pada 10 Oktober lepas, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kepada semua ahli UMNO supaya ‘jangan berpuak’.
“Kita sebut tidak ada puak dalam parti. Saya akan amalkan (dasar) tidak ada puak dalam UMNO. Tidak kira dia orang siapa, yang penting kita semua orang UMNO,” katanya.

Inilah hakikat yang ada di dalam UMNO sebagai sebuah parti assabiyyah yang mengikat ahli-ahli mereka atas dasar assabiyyah Melayu dan juga ikatan manfaat. Ikatan manfaat yang ada dalam UMNO telah lama menimbulkan puak-puak yang ‘saling bantu-membantu’ selama mana ‘manfaat’ masih wujud di kalangan sesama mereka. Seterusnya, apabila ikatan manfaat ini terburai, maka seseorang itu akan meninggalkan, malah menghentam puak tersebut dan beralih ke puak lain pula. Apabila ada manfaat yang lebih besar yang boleh didapati dengan puak lain lagi, maka melompat lagi seseorang itu ke puak lain pula dan begitulah seterusnya cara mereka berpuak-puak. 

Memang sudah lumrah dalam parti politik assabiyyah seperti UMNO di mana akan sentiasa wujud ‘puak-puak’ di dalam parti, kerana pertimbangan masing-masing adalah ‘manfaat’. Mungkin tidak keterlaluan jika kita menganalogikan mereka ini umpama serigala di satu kawasan perburuan. Dalam kawanan serigala yang besar ini tentunya wujud puak-puak kecil dan dalam setiap puak ini tentu wujud pula seekor ketua yang mendominasi. Dan apabila mereka ‘mencari rezeki’, masing-masing akan bersatu dan bekerjasama atas dasar ‘manfaat’. Jika ada puak lain yang datang menceroboh dan mengganggu di kawasan perburuan mereka, maka akan berlakulah pergaduhan yang boleh membawa kekacauan di seluruh kawasan tersebut. Dan jika berlaku pergaduhan, maka tentunya puak yang kuat akan mendominasi puak yang lemah dan seterusnya akan mendominasi kawasan tersebut, sesuai dengan prinsip ‘the law of the jungle”. Jika lagi banyak puak, maka lagi bahayalah kedudukan, khususnya kepada mereka yang ingin menjadi ketua kerana persaingan akan menjadi semakin sengit dan peluang untuk kalah akan semakin membesar.

Semua orang tahu, apatah lagi orang UMNO sendiri, bahawa seruan agar semua ahli UMNO tidak berpuak-puak hanyalah umpama anjing menyalak bukit. Perebutan kerusi di dalam UMNO yang menyaksikan wujudnya ‘Team A’ atau pun ‘Team B atau pun ‘My Team’ dan sebagainya, telah lama wujud dan tidak pernah dapat di atasi di dalam setiap kali pemilihan. Berita-cerita tentang rasuah, ugut-mengugut, fitnah-memfitnah, penggunaan bomoh dan sebagainya untuk memastikan kemenangan, sering kali kedengaran dan ia berlaku sejak dulu lagi.  Selama mana manfaat dunia yang menjadi pegangan, selama itulah puak-puak ini akan pasti wujud. Cuma yang berubah adalah ‘ahli’ puak. Mungkin tahun ini ahli itu berada di dalam puak A, tahun depan dia berada di puak B, tahun satu lagi di puak C dan tahun satu lagi kembali kepada puak A dan begitulah seterusnya. Puak mana yang boleh memberi ‘manfaat’ yang paling banyak, maka tentunya puak itulah yang menjadi pilihan ahli tersebut.

Inilah keburukan dan kucar-kacirnya keadaan sekiranya parti itu didirikan bukan ‘berasaskan’ aqidah Islam. Perjalanan parti sekular ini pastinya akan banyak dipengaruhi oleh ‘manfaat’ demi memenuhi hawa nafsu masing-masing. Berbeza dengan parti yang asasnya adalah aqidah Islam, ia akan mewujudkan sekelompok daripada orang Islam yang ikhlas yang berjuang untuk Islam, demi menzahirkan agama Allah di atas agama-agama lain. Parti Islam yang jelas fikrah dan thariqahnya (sebagaimana perjuangan Rasulullah) akan memimpin ahlinya (dan umat Islam secara keseluruhannya) ke arah Islam, bukannya ‘ke arah ‘manfaat’. Mereka akan memilih pemimpin dan berjuang di dalam parti untuk menegakkan Kitabullah dan Sunah RasulNya, bukannya berjuang untuk ‘memenangkan’ puak masing-masing atas dasar assabiyyah dan manfaat.

Kerana telah lamanya mereka bergelumang di dalam parti untuk mendapatkan habuan dunia, puak-puak sekular yang telah keras hatinya ini lupa bahawa semua tindakan mereka ini sedang diperhatikan oleh Zat Yang Maha Melihat. Mereka lupa bahawa mereka akan dibangkitkan di hari kemudian di mana tidak ada gunanya harta dan anak-anak, puak-puak, jawatan dan kekayaan mereka pada waktu itu, kecuali hanya takwa kepada Allah yang akan menyelamatkan mereka. Mereka lupa bahawa mereka akan dihisab di akhirat nanti atas apakah mereka telah melaksanakan perintah dan larangan Allah dan puak-puak mereka yang ada langsung tidak akan dapat menyelamatkan mereka. Malah pada hari itu, puak-puak ini akan berlumba-lumba melepaskan diri masing-masing darinya. Pada hari itu, barulah mereka sedar bahawa tidak ada ‘keistimewaannya’ mereka dengan bangsa Melayu mereka, malah Allah akan menimpa-nimpakan dosa atas perjuangan assabiyah mereka semasa di dunia yang telah diharamkan oleh Allah swt. Pada hari itu jugalah, baru mereka sedar bahawa tindakan mereka berjuang dan berpuak-puak di dalam puak assabiyyah telah menjadi penyesalan besar ke atas mereka. Namun pada waktu itu, sudah tidak ada gunanya sebarang penyesalan kerana taubat mereka sudah tidak diterima dan sudah tidak ada seorang pun yang akan dapat menyelamatkan mereka dari neraka Allah. Nauzubillahi min zalik.