Kacau Bilau Puak Sekular Di Dalam Sistem Kapitalis

Pembangkang gagal laksana tugas

KLUANG 6 Sept. – Kekecohan yang berlaku pada majlis dialog antara penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam membuktikan pakatan pembangkang gagal melaksanakan tugasnya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, insiden itu juga membuktikan bahawa pemimpin pembangkang yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mendekati rakyat selama ini.

“Jika mereka betul-betul telah mendekati rakyat, mungkin tidak berlaku kekecohan dan ini bermakna mereka tidak melaksanakan tugas,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika mengulas penangguhan keputusan kerajaan negeri Selangor memindahkan kuil ke Seksyen 23, Shah Alam ekoran berlaku kekecohan pada majlis dialog dengan penduduk seksyen tersebut semalam.

Penangguhan itu bagi membolehkan kerajaan negeri mencari lokasi baru untuk menempatkan pembinaan kuil tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia 7/9/2009

Pertelingkahan Sesama Puak Sekular Di Dalam Sistem Kapitalis Adalah Lumrah

Sebenarnya tidak kira siapa pun yang memerintah, samada yang bergelar kerajaan mahupun pembangkang, selagi mana Islam tidak diterapkan secara kaffah dan hukum syarak tidak dijadikan sebagai undang-undang yang tertinggi, selagi itulah mereka gagal dalam melaksanakan tugas mereka sebagai pemerintah. Mereka pada hakikatnya tidak layak diangkat sebagai pemimpin untuk memerintah negara.

Yang menjadi persoalan dalam isu ini bukanlah persoalan wakil rakyat yang tidak mendekati rakyat, tetapi sebaliknya, kegagalan mereka untuk menerapkan hukum Islam dalam menyelesaikan segala pertikaian dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dalam negara. Apalah gunanya jika wakil rakyat mendekati rakyat hanya sekadar untuk menunjukkan muka sedangkan pemikiran mereka masih lagi diselubungi ideologi sekular yang bukan sahaja tidak membawa apa-apa kebaikan kepada manusia, malah memburukkan lagi keadaan yang sedia ada.

Lebih malang lagi apabila parti-parti yang bersaing dalam pemerintahan ini, baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, semuanya merupakan kompromi dan kerjasama yang tidak meninggikan kalimah Allah dalam memerintah negara. Ini akhirnya membuatkan umat Islam banyak mengalah dan menggadaikan pendirian mereka, kononnya dalam usaha menjaga hati orang-orang kafir serta mencapai situasi menang-menang (win-win situation). Bukankah ini bertentangan dengan apa yang diperintah oleh Allah SWT?

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka ini tidak henti-henti (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” [TMQ Ali Imran (3):118].

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali (penolong/sekutu) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Mahukah kamu menciptakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyeksamu) ?” (TMQ an-Nisaa’ (4):144)

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir sebagai teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Adakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah”. (TMQ an-Nisaa’ (4): 138-139)