Fatwa Di Dalam Sistem Sekular

fatwaMajlis Fatwa mahu bukan Islam henti peralat ayat al-Quran

SEPANG 4 Dis. – Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebulat suara mahu perbuatan orang bukan Islam membaca dan membuat huraian terhadap teks al-Quran secara sewenang-wenangnya dihentikan bagi mengelak timbul keresahan dan perpecahan dalam masyarakat.

Dalam satu muzakarah khas, jawatankuasa tersebut memberikan nasihat dan teguran kepada seluruh masyarakat termasuk bukan Islam bahawa teks suci al-Quran tidak boleh digunakan untuk kepentingan tertentu termasuk bagi tujuan peribadi dan politik.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, meskipun ulama tidak melarang orang bukan Islam membaca al-Quran, namun situasi semasa membabitkan tindakan beberapa pemimpin bukan Islam parti pembangkang menghuraikan teks kitab suci itu telah menimbulkan kekeliruan dan merenggangkan hubungan di kalangan umat Islam sendiri.

”Semua mufti melahirkan rasa tidak setuju dengan situasi yang berlaku sekarang dan perkara yang berlaku sejak 2009 termasuk isu orang bukan Islam memasuki rumah ibadat orang Islam dan terbaru tindakan Ahli Dewan Negeri Hutan Melintang, S. Kesavan membaca terjemahan petikan ayat al-Quran secara salah.

”Justeru kita mengambil langkah menggunakan kaedah ‘sad zaraik’ iaitu mencegah atau mengelakkan keraguan, maka kita rasa elok elakkan menggunakan teks al-Quran di atas pentas politik dengan kepentingan tertentu apatah lagi membaca maksud al-Quran secara tidak tepat.

”Mentafsirkan al-Quran tidak boleh dibuat secara sambil lewa atau spontan di atas pentas ceramah tetapi perlu ada kaedah tertentu yang mesti difahami daripada awal,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas mempengerusi muzakarah khas tersebut di Hotel Pan Pacific Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.

Sebanyak 10 ahli panel muzakarah tersebut hadir termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang juga Setiausaha Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Muzakarah khas yang berlangsung selama empat jam itu juga meneliti semua rakaman siri ucapan pemimpin bukan Islam yang membaca dan menghuraikan terjemahan teks al- Quran selain reaksi daripada umat Islam tentang perkara itu.

Kesavan dilaporkan membacakan terjemahan yang salah membabitkan ayat 190 dan 191 dari Surah Ali-Imran ketika sesi perbahasan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2010 baru-baru ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming juga dilaporkan membaca petikan ayat suci al-Quran ketika berceramah dalam kempen Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Perak tahun lalu.

Sumber: Utusan Malaysia 06/12/2010

Bagaimanakah keadaan Orang Islam yang putar-belitkan Quran?

Seruan daripada Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan agar isi kandungan Al Quran tidak ditafsirkan sewenang-wenangnya sangat dialu-alukan. Namun, bagaimana pula dengan perbuatan segelintir umat Islam yang memutar-belitkan ayat-ayat suci Al Quran? Contohnya ada yang menggunakan isi kandungan Al Quran untuk mengesahkan Malaysia adalah Negara Islam. Bagaimana pula tindakan sebahagian pemimpin umat Islam yang menafsirkan isi kandungan Al Quran agar dapat disesuaikan dengan sistem kapitalis kufur yang sedang dilaksanakan hari ini? Bagaimana pula tindakan golongan feminis, liberal dan moderat yang terus menerus menafsirkan isi kandungan Al Quran agar sesuai dengan kehendak hawa mereka tanpa mengetahui selok-belok ilmu asas di dalam menggali hukum daripada Al Quran?

Seperti juga di negara-negara umat Islam yang di dunia, Majlis Fatwa Kebangsaan bukanlah suatu badan yang benar-benar bebas di dalam mengeluarkan fatwa tetapi ia hanyalah alat pemerintah untuk membenarkan sesuatu perkara yang dilakukan pemerintah jika dirasakan sesuai dan menafikan perkara-perkara yang didapati bertentangan dengan pemerintah.

Maka di sini, umat Islam terperangkap di dalam dilemma untuk mencari suatu badan yang benar-benar bebas daripada kawalan pemerintah untuk mendapatkan rujukan. Oleh kerana itu, untuk mendapatkan jawaban yang benar, ia tidak boleh datang daripada institusi yang membenarkan sistem sekular diterapkan pada hari ini, tetapi ia mestilah datang daripada institusi yang di bawah pemerintahan Khilafah Islam.