Kebajikan Di Dalam Sistem Islam Lebih Baik Daripada Kebajikan Di dalam Sistem Sekular

 

altKebajikan rakyat diutama

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan bagi memastikan nasib mereka terbela dan mendapat perlindungan sewajarnya.
Menurutnya, ia selaras dengan gagasan 1Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ia juga menunjukkan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mengambil berat tentang kesusahan yang dialami rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melawat dan menyampaikan sumbangan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) sebanyak RM1,000 masing-masing kepada 12 keluarga mangsa kebakaran 30 buah rumah setinggan di Jalan Sungai Besi di sini hari ini.

Buat sementara waktu, kesemua keluarga yang tinggal sehelai sepinggang itu ditempatkan di Dewan Serbaguna Rumah Pangsa Seri Selangor, Jalan San Peng dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi Khamis lepas, seorang wanita berusia 20-an dan bayinya berusia empat bulan ditemui rentung di dalam sebuah bilik rumah setinggan tersebut.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Bakti berkata, bantuan yang diberikan itu bertujuan meringankan beban mangsa untuk meneruskan kehidupan mereka.

Beliau turut menyampaikan salam takziah dan simpati daripada Perdana Menteri yang tidak dapat hadir bersamanya.

“Walaupun kami hanya bergelar isteri-isteri pemimpin kerajaan, kami turut bersama-sama untuk merasai kesusahan yang dialami oleh rakyat,” ujarnya.

Katanya, beliau difahamkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menawarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Puchong kepada keluarga mangsa yang terlibat.

“Kepada mana-mana keluarga yang ditawarkan perumahan tersebut diharap dapat menerimanya walaupun ia terletak jauh dari ibu negara.

“Menetap di rumah setinggan memang berbahaya. Sekiranya berlaku kebakaran semuanya akan terbakar. Jadi, kepada mangsa yang ditawarkan tinggal di PPR, ambillah peluang ini,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia 13/9/2009

Sistem Islam Menjamin Kesejahteraan Bagi Seluruh Warganegaranya

Di dalam Daulah Islamiyyah yang menerapkan Sistem Islam secara kaffah, tidak timbul isu ‘mengutamakan’ atau tidak. Ini adalah kerana, kebajikan warganegara di dalam Daulah adalah hak yang memang wajib dipenuhi oleh sang Khalifah. Jika itu tidak dilaksanakan, maka sesungguhnya ia (Khalifah) telah melakukan kefasikan dan kemaksiatan kepada Allah SWT. Daulah Islam juga bukan diperintah oleh parti politik yang menjalankan segenap peraturannya mengikut hawa nafsu tetapi, Daulah Islamiyyah diatur oleh Khalifah kaum Muslimin, yang dibaiat untuk menerapkan segenap peraturan syariat Islam secara kaffah.

Parti politik di dalam negara sekular hanya melakukan sesuatu berdasarkan maslahat semata. Segala perkara yang ‘berbau’ positif tentang mereka, maka itulah yang akan terus dipropagandakan. Manakala bagi yang sebaliknya, maka akan ditutup rapat-rapat agar tidak terbongkar. Fakta yang ada tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Kemiskinan, kemelaratan, taraf pendidikan yang rendah, keruntuhan akhlak, jenayah sosial yang meningkat dan sejuta satu macam masalah lainnya adalah natijah dari diterapkannya sistem yang diasaskan kepada akal dan hawa nafsu manusia.

Jika Rosmah dan BN, khususnya UMNO, benar-benar ingin menjaga kebajikan rakyat jelata, maka ketahuilah bahawasanya Allah SWT memerintahkan agar kalian senantiasa patuh kepada perintah dan larangannya. Pastikanlah Islam diterapkan secara kaffah. Pastikanlah bahawa hak rakyat dikembalikan dengan sebenar-benarnya kepada mereka. Berikanlah pendidikan sehingga ke menara gading secara percuma, sediakanlah khidmat perubatan dalam setiap peringkat secara percuma, pastikanlah seluruh warganegara ada dapat tempat tinggal dan pekerjaan yang baik untuk kehidupan mereka. Lebih dari itu, kalian juga tidak dibenarkan menswastakan hak rakyat seperti petroleum, air, elektrik dan keperluan asas lainnya. Ini adalah kerana, ia merupakan hak seluruh kaum Muslimin dan merupakan tanggungjawab kalian (sebagai penguasa) untuk diberikan kepada rakyat secara ma’ruf.

“Dan apa saja yang dibawa oleh Rasul untukmu, maka ambillah, dan apa saja yang dilarangnya, maka tinggalkanlah.” (TMQ. al-Hasyr [59]: 7).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.