Seruan Jahiliyyah bergema lagi
Entah kenapa umat Islam di bawah panji UMNO terlalu sukar untuk membuang kelakuan Jahiliyyah yang ada pada diri mereka. Sejak diturunkan Islam, perbuatan Jahiliyyah (menyeru kepada assabiyyah) ni terus dicela dan diperangi oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menyatukan manusia dengan ikatan akidah Islam dan membuang sejauh-jauhnya ikatan assabiyyah yang rosak dan keji ini. Malangnya, sebahagian dari umat Islam
kini masih lagi menyeru untuk menghidupkan semula seruan yang diharamkan Rasul ini.
Dua hari lepas, seramai 308 perwakilan UMNO Bahagian Muar menyokong sebulat suara usul memperkasakan Ketuanan Melayu pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dan perasmian berkelompok persidangan tahunan bahagian tersebut di sini hari ini. Kesemua perwakilan menyokong 12 usul yang dicadangkan untuk dibawa kepada pucuk pimpinan parti iaitu ketuanan serta hak-hak Melayu perlu dipertahankan dan dihormati kaum lain.
Apa istimewanya bangsa “Melayu”? Allah tidak pernah menjadikan bangsa Melayu dengan “hak keistimewaan” mahupun “hak ketuanan”. Tidak ada satu ayat pun di dalam al-Quran yang menyebut Malayu adalah istimewa dan mesti menjadi tuan. Juga, tidak ada di dalam mana-mana hadis pun yang menyatakan perkara yang sama. Apa yang Allah nyatakan ialah,
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu kenal-mengenali. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya” [TMQ al-Hujurat (49):13]
Allah telah menjadikan seluruh manusia di muka bumi ini, tidak kira bangsa apa pun, agar tunduk dan patuh dengan segala aturan yang telah Allah turunkan. Dan yang paling mulia di kalangan manusia itu ialah yang paling tinggi takwanya kepada Allah, bukannya kerana bangsa atau keturunannya. Berkumpul, mengusul dan menyokong dengan sebulat suara isu “ketuanan Melayu” adalah umpama berkumpul, mengusul dan menyokong sebulat suara agar berlakunya maksiat kepada Allah. Nauzubillah min zalik!!
Keputusan EGM bahagian itu merupakan yang pertama di antara 191 bahagian UMNO di negara ini mengemukakan usul Ketuanan Melayu dan menyokongnya sebulat suara dan yang turut menyokong usul itu ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian, Dr. Robia Kosai; Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Razali Ibrahim dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Kartini Selamat.
Sesungguhnya bangsa Melayu tidak akan mendapat kemuliaan tanpa Islam, tetapi Islam itu tetap mulia tanpa adanya bangsa Melayu sekalipun. UMNO tidak sepatutnya menghidupkan semula perangai Jahiliyyah yang telah Rasulullah perangi beribu-ribu tahun dahulu (assabiyyah dan wathaniyyah) dengan menjenamakan semula ia dengan perjuangan “ketuanan Melayu”. Semangat assabiyyah dan semangat ketuanan Melayu itu, merupakan satu perkara yang sama, dan mesti diperangi habis-habisan, bukannya dipertuani habis-habisan. Rasulullah telah berusaha siang dan malam untuk menghapuskan penyakit kufur ini dan kenapakah orang Melayu UMNO masih hendak menghidupkannya kembali?
Di kala orang UMNO sibuk memperjuangkan ketuanan Melayu, mereka lalai bahawa dunia hari ini dunia sedang berada di bawah “ketuanan kuffar”, di mana AS menjadi tuan kepada ramai pemimpin umat Islam. Ideologi kufur Kapitalis pula menjadi ideologi yang dianuti oleh negara-negara umat Islam. Umat Islam sepatutnya mengikatkan diri dengan ikatan aqidah Islam dan bukannya dengan ikatan yang selainnya, apatah lagi ikatan assabiyyah kemelayuan. Hanya ikatan yang muncul dari aqidah Islam sahaja yang mampu menjulang “ketuanan Islam” bagi mengatasi ketuanan kuffar yang ada sekarang. Hanya dengan Islam sahajalah yang akan membawa seluruh bangsa di muka bumi ini ke arah kemuliaan dan kemenangan. Ikatan kesamaan akidah yang lahir ini pastinya akan membawa rahmat dan redha Allah. Dengan penerapan sistem-sistem Islam secara kaffah di bawah naungan Khilafah sahajalah, seluruh umat Islam di muka bumi ini akan memperoleh “ketuanan” mereka.
Bilalah orang UMNO ingin belajar agama dan ingin sedar akan sabda Rasul mereka yang, walaupun berketurunan Arab, tidak pernah menyerukan “ketuanan Arab”. Sabda baginda,
“Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada assabiyyah dan bukan dari kalangan kami orang yang berjuang di atas jalan assabiyyah dan bukan dari kalangan kami orang yang mati di atas dasar assabiyyah” [HR Abu Daud].