Sistem Jahiliyyah Sudah Pasti Akan Melahirkan Masyarakat Jahiliyyah

altMayat bayi lelaki ditemui ditanam

SHAH ALAM – Dua lelaki terperanjat apabila melihat pancutan darah ketika mereka sedang menggali longgokan tanah yang rupa-rupanya tertanam mayat seorang bayi lelaki cukup sifat berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa di sini kelmarin.  Mayat bayi dibaluti kain putih yang ditanam sedalam kira-kira 0.5 meter itu ditemui pukul 9.15 malam selepas kedua-dua mereka dimaklumkan mengenai penemuan longgokan tanah yang kelihatan seperti kubur oleh seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).  Ketua Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Mukim Bukit Raja, Kapten Roslan Yahya memberitahu, dia terus mengajak seorang sukarelawan polis, Nor Sharijan Mohd. Yusof untuk mengali tanah itu sebaik dimaklumkan mengenai penemuan tersebut. 

“Ketika kami sedang mencangkul tanah tersebut, kami berdua terperanjat besar apabila ternampak pancutan darah dan selepas menggali sedalam 0.3 meter, kami nampak mayat bayi itu yang dibalut dengan kain lampin putih.  “Selepas diamati, bayi tersebut masih bertali pusat serta mempunyai anggota badan yang sempurna. Kami kemudian memaklumkan mengenai penemuan itu kepada polis,” katanya di sini semalam

Sumber: Kosmo 26/05/10

Buang Bayi – Sistem Jahiliyyah Sudah Pasti Akan Melahirkan Masyarakat Jahiliyyah

Nampaknya sistem jahiliyyah peninggalan penjajah yang masih dipertahankan dan diyakini oleh pemerintah sekular hari ini terus melahirkan pelaku jahiliyyah moden. Sudah terlampau banyak kejadian pembuangan bayi dilaporkan di sana-sini. Pelbagai kempen dan langkah yang telah diambil oleh pihak-pihak yang berkenaan samada oleh pihak kerajaan mahupun individu dan juga NGO, telah menemui kegagalan dan nampaknya akan terus gagal dalam usaha untuk mengatasi masalah ini. Apa yang menyedihkan kita hari ini ialah sikap yang ditunjukkan oleh pihak pemerintah sekular yang masih terus membutakan mata dari melihat kebenaran. Mereka memekakkan telinga-telinga mereka dari mendengar seruan agar Islam diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara secara menyeluruh. “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. [TMQ Al Baqarah (2) : 208]. Amat wajarlah pemerintah sekular yang ada pada hari ini merenung dan menghayati peringatan  firman Allah SWT ini: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. [TMQ Al A’raaf (7) : 179]. Apa yang pastinya ialah jika pemerintah hari ini masih lagi berdegil untuk tidak menerapkan sistem Islam secara keseluruhan dalam kehidupan maka adalah dikhuatiri peringatan ayat di atas terkena ke atas batang hidung mereka.  Sudah sampai saat dan ketikanya para pemimpin hari ini mencampakkan belenggu pahaman sekularisme yang masih lagi melekat erat di dalam pemikiran mereka dan kembali kepada kejernihan pemikiran dan penerapan Islam yang pasti akan membawa rahmat ke seluruh alam. Firman Allah SWT, “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam”. [TMQ Al Anbiyaa’ (21) : 107].