Riba PTPTN 1 peratus – Kadar baru bebankan sejuta pelajar dengan dosa
Riba adalah satu bentuk bayaran tambahan dari sejumlah hutang yang dikeluarkan oleh pemberi hutang kepada peminjam. Keharaman riba jelas ditegaskan di dalam Al-Quran di mana Allah berfirman,
“Mereka berkata sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba. Padahal, Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” [TMQ al-Baqarah (2):275].
Tidak kira jumlah bayaran balik pinjaman itu 30%, 3%, 1% atau 0.01% sekalipun, setiap ‘tambahan’ yang perlu dibayar kepada setiap pinjaman/hutang, maka ia adalah riba. Hal ini adalah jelas menurut Islam dan tidak ada helah yang boleh menghalalkannya. Apa sahaja nama yang diletak untuk ‘menjustifikasikan’ ia sebagai bukan riba seperti ‘caj perkhidmatan’ dan sebagainya, ‘helah’ sebegini sekali-kali tidak akan menukar hakikat riba. Di manakah nas yang membolehkan pinjaman dibayar balik dengan bayaran tambahan?
Sebelum ini, ‘caj perkhidmatan’ pinjaman PTPTN adalah 3% bagi pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana muda manakala peminjam pembiayaan peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran dikenakan caj sebanyak 5%. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah PTPTN tersebut dijangka mampu meningkatkan semula jumlah kutipan pinjaman perbadanan itu berbanding sebelum ini. Menurut beliau, keputusan menurunkan kadar caj perkhidmatan itu dipersetujui oleh Jemaah Menteri minggu lalu dan Majlis Fatwa Kebangsaan juga mengesahkan ia tidak bertentangan dengan syariah.
Kita amat pelik dengan fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang nampaknya memihak kepada apa yang dikehendaki oleh kerajaan, bukan dengan apa yang dikehendaki oleh Islam. Pemahaman bahawa riba yang diharamkan adalah riba yang berlipat ganda, dengan kata lain riba yang sedikit dibenarkan adalah pemahaman yang keliru yang diambil dari kaedah istimbat yang salah. Ini kerana, dalam ayat di atas, Allah telah menerangkan dengan jelas bahawa riba itu haram, tanpa disebutkan gandaan atau tidak. Jumlah gandaan yang dikenakan oleh kaum Jahiliyyah dahulu ke atas pinjaman hanya merupakan salah satu bentuk riba yang mereka amalkan pada waktu itu. Pokoknya, dengan turunnya ayat di atas, Allah telah mengharamkan apa jua bentuk riba, sama ada berganda atau tidak, sama ada banyak atau sedikit. Jadi segala bentuk riba adalah diharamkan.
Angka terkini peminjam PTPTN adalah seramai 1.04 juta dengan nilai pinjaman keseluruhan mencecah RM23 bilion. Ini satu jumlah yang besar telah dibebankan oleh kerajaan kepada rakyat. Kerajaan sepatutnya menjadi penjaga rakyat seperti yang telah dijelaskan oleh hadis Rasulullah,
“Imam (ketua negara) itu adalah penjaga, maka dia akan ditanya tentang apa yang ada di bawah jagaannya” [HR Muslim]
Rasulullah SAW telah pun menunjukkan peranan ketua negara dalam ‘menjaga’ hal ehwal rakyat dalam bidang pendidikan di mana, di dalam peristiwa tahanan Badar, Rasulullah SAW menentukan bahawa setiap tawanan dikehendaki mengajar anak-anak kaum Muslimin sebagai tebusan pembebasan mereka. Manakala perbelanjaan tersebut dikeluarkan oleh Rasulullah dari Baitul Mal. Inilah dalil yang menunjukkan bahawa pemerintah wajib memberikan pendidikan yang percuma kepada rakyat, bukannya dengan memberikan pinjaman atas pendidikan, apatah lagi mengenakan riba atas pinjaman yang diberikan. Dengan sistem sekular Kapitalis yang diamalkan oleh kerajaan sekarang, maka kerajaan telah menanggung dosa yang amat banyak dan setiap pelajar juga ingin dibebankan oleh kerajaan dengan dosa yang sama. Masya Allah!!!