Bank Islam Tanpa Segan Silu Menaikkan Kadar Ribanya

Baru-baru ini, Bank Islam telah mengumumkan bahawa ia akan menaikkan kadar pembiayaan asas (BFR) daripada 6.60 peratus kepada 6.85 peratus setahun.  Menurut Bank Islam, tindakan tersebut adalah susulan daripada langkah Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus.

Demikianlah hakikat sebenar sistem perbankan yang bertopengkan nama Islam dan mengakui bahawa ia patuh kepada syariah. Ini hanyalah secebis bukti daripada banyak fakta terhadap bank-bank yang mengakui patuh syariah. Walaupun mereka cuba untuk berhelah dengan mengatakan bahawa perkhidmatan yang diberikan bukanlah pinjaman tetapi sebaliknya pembiayaan, namun realiti menunjukkan bahawa sistem yang digunakan adalah mirip dan sama dengan sistem perbankan konvensoinal, yang meletakkan para pelanggan dalam keadaan berhutang dan perlu membayar kembali hutang tersebut pada satu kadar (riba) yang telah ditetapkan oleh pihak bank melalui peraturan yang dikuatkuasakan oleh Bank Negara Malaysia.

Sampai bilakah umat Islam akan terus tertipu dengan sistem perbankan yang cuba tampil dengan perkataan yang berbunyi Arab dan jenama Islam? Apakah alasan dan helah yang masih mahu diberikan bagi mengaburi mata umat agar terus mempercayai bahawa “Sistem Perbankan Islam” ini adalah patuh syariah? Bukankah dengan kenaikan kadar BFR ini akan menyebabkan bertambahnya jumlah bayaran balik hutang-hutang para pelanggannya? Bukankah mengambil keuntungan atas pinjaman yang diberikan adalah secara terang lagi nyata adalah sejenis riba yang diharamkan dalam Islam dan diperangi oleh Allah dan Rasul sehingga ke Hari Kiamat? Moga-moga Allah memberikan hidayah kepada seluruh kaum Muslimin untuk melihat kebenaran ini dengan penuh keinsafan serta segera berubah melakukan perubahan. Wallahu a’lam.

Sumber : bharian.com.my