Apa guna wawasan tanpa Islam?

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 11 Disember lepas menyuarakan rasa bimbang bahawa Malaysia tidak akan dapat mencapai matlamat Wawasan 2020 sebagai negara maju ekoran krisis kewangan dunia sekarang.
Menurut beliau, ketika wawasan itu dilancarkan, negara menikmati pertumbuhan sebanyak 8 peratus setahun tetapi kerajaan tidak menjangka berlakunya krisis mata wang Asia pada 1997 dan perubahan radikal dasar kerajaan selepas kepimpinannya.

Beliau menjelaskan lagi, selain itu, masalah ketidakstabilan politik dalam negara juga akan memberikan kesan terhadap hasrat negara ini untuk mencapai sasaran tersebut. “Kalau kita tidak boleh selesaikan masalah itu, kita tidak boleh memberikan fokus kepada pertumbuhan negara, maaf saya katakan kita tidak akan mencapainya (Wawasan 2020),” katanya selepas berucap pada program syarahan Bridges-Dialogues Towards a Culture of Peace di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya [UM 12/12/08].

Semasa wawasan 2020 dilancarkan, ia disambut baik oleh pelbagai pihak khususnya dari kalangan para menteri. Apa tidaknya, ia adalah wawasan yang digagaskan sendiri oleh Perdana Menteri yang berkuasa waktu itu. Siapa yang berani tidak mahu menyokong? Samalah juga dengan gagasan Islam Hadhari yang dilancarkan oleh Pak Lah ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri, siapa yang berani memperlekehkannya? Berani buat bergitu, atau tidak mahu sokong, maksudnya orang itu tidak akan berada dalam kabinet Pak Lah!

Nampaknya kenyataan Dr Mahathir di atas semacam mempertikaikan kredibiliti Pak Lah di dalam meneruskan wawasan 2020 sebagaimana impian Mahathir. Mahathir yang sudah menyesal melantik Pak Lah sebagai Perdana Menteri, kini nampaknya akan menyesal pula kerana wawasannya gagal dipenuhi oleh pemimpin selepasnya.

Persoalannya, apakah yang istimewa sangat dengan wawasan 2020? Apakah wawasan ini mempunyai agenda yang dapat menyelamatkan umat Islam dari kesengsaraan dan penderitaan hidup di bawah Ideologikan kapitalisme sekarang ini? Tentu sekali tidak. Ia hanyalah suatu ‘bench mark’ untuk suatu target individu tertentu untuk mencapai suatu yang ulung dan unggul! Ia hanya timbul dari aspirasi peribadi yang kemudiannya ‘dinegarakan’ kerana orang yang menyuarakannya adalah Perdana Menteri. Jika wawasan ini ditimbulkan oleh seorang rakyat yang hanya bekerja di sebuah kilang, ia tentunya tidak akan ke mana-mana.

Bukanlah salah untuk mempunyai wawasan, namun sebagai seorang Muslim, apatah lagi sebagai seorang Perdana Menteri, apakah wawasan yang lebih penting daripada wawasan untuk memerintah dengan hukum Allah, yang dengannya akan dpat menyelamatkan umat Islam, dan yang lebih penting akan menyelamatkan pemimpin itu sendiri dari neraka? Wawasan ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 tidak ada gunanya apabila yang menjadi tunjang pemerintahan adalah tetap hukum-hukum kufur sekular!

Apa gunanya menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada 2020 di bawah sistem dan Ideologi kufur Kapitalis? Dahulu, mungkin Dr Mahathir sendiri tidak menjangkakan bahawa sistem ekonomi kufur Kapitalisme akan runtuh satu masa nanti. Seorang pemimpin yang tidak mempunyai pandangan Islam tidak akan memperkirakan bahawa sistem selain Islam akan runtuh satu masa nanti dengan kehendak Allah. Oleh itu, mereka cuba  mencorakkan pemerintahan mereka atas tiang-tiang sistem kufur dengan anggapan bahawa mereka boleh bertahan dengannya selama-lamanya. Mereka lupa bahawa Allah Maha Kuasa dan Allah pastinya akan menghapuskan semua sistem kufur dan Allah akan menzahirkan agamaNya di bumi ini. Mereka juga lupa bahawa Allah akan merentap pemerintahan mereka dalam sekelip mata sahaja dan Allah akan pasti menghisab mereka di akhirat dengan sistem kufur yang mereka terapkan.

Nah kita melihat sekarang pemimpin yang menggantikan Dr Mahathir juga lupa akan kekuasaan Allah. Mereka menyangkakan bahawa semasa mereka berkuasa mereka boleh melakukan apa sahaja sehingga mereka meninggalkan hukum-hukum Allah dan Rasul. Mereka ingat mereka boleh selamat dengan menerapkan hukum selain Islam. Sesungguhnya mereka benar-benar mencabar dan mengundang azab Allah dengan pemerintahan sekular yang mereka terapkan.

Sebagai seorang manusia yang berpendidikan, mereka ini seolah-olah langsung tidak melihat ke belakang sedikipun. Mereka seolah-olah buta bahawa dunia telah hidup dengan aman dan gilang-gemilang semasa pemerintahan Khilafah yang berlangsung lebih 10 abad lamanya. Negara Khilafah telah mengangkat setiap permasalahan hidup hingga mencapai kegemilangan berabad-abad lamanya tanpa sedikitpun dirundung malapetaka seperti yang ada sekarang, hanya kerana sistem dan undang-undang Allah diterapkan di dalamnya. Pendek kata, jika sistem pemerintahan Islamlah yang diterapkan, maka Inysa Allah dunia akan diberkati.

Kegemilangan zaman Islam mentadbir bumi dengan sistem Khilafah telah menyaksikan kepada dunia bahawa Islam mampu menjadi superpower dunia yang disegani dan ditakuti kawan mahupun lawannya. Warga Khilafah pula sentiasa hidup harmoni dengan peraturan tunggal (yakni) syariah, dengan kedudukan ekonomi yang mantap, dan tanpa mencebiskan soal rasis, jenayah, diskriminasi dan lain-lain kebejatan sosial.

Inilah wawasan yang sepatutnya diaspirasikan dan diusahakan oleh setiap Muslim yang beriman, penegak keadilan, perindu kebenaran dan pencinta kedamaian. Sekaligus ia memanifestasikan perhambaan diri kepada Yang Maha Agung, agar mendapat tempat dalam keredhaan-Nya sentiasa.