Wawasan 2020 Tidak Akan Menjamin Kesejahteraan Rakyat

altWawasan 2020 elak bergantung kos buruh rendah: Dr M
 
 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Wawasan 2020 yang bermatlamat menjadikan Malaysia menjadi negara maju dalam tempoh 11 tahun lagi tidak akan tercapai sekiranya kerajaan terus bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI), yang menawarkan kos buruh yang rendah.

Bekas Perdana Menteri berkata, strategi terus bergantung kepada syarikat asing perlu ditukar kerana ia tidak menguntungkan negara pada jangka panjang, tambahan pula, Malaysia terpaksa berhadapan dengan persaingan sengit dengan negara lain yang menawarkan peluang pelaburan yang lebih kondusif.

Beliau berkata, sudah sampai masanya kerajaan menukar strategi dengan membantu syarikat besar tempatan membangun produk berkualiti bagi pasaran dunia menggunakan teknologi terkini yang diteroka dari negara luar.
Katanya, usaha itu bukan saja dapat membantu meningkatkan ekonomi negara malah meningkatkan pendapatan rakyat dengan menikmati gaji yang lebih tinggi setanding dengan produktiviti yang mereka tawarkan.

“Kita tidak boleh bergantung kepada FDI berdasar kepada kos buruh rendah dan kemudahan yang ada, kalau tidak, kita akan ketinggalan, tidak akan capai Wawasan 2020.

“Kita patut fikir cara lain untuk capai (Wawasan 2020), menjadi negara berpendapatan tinggi, yang bermaksud pekerja turut mendapat gaji yang tinggi hasil produktiviti mereka,” katanya menyampaikan ceramah bertajuk Wawasan 2020: Mengimbau Kembali Pencapaian Kita Setakat ini dan Langkah Seterusnya di sini, semalam.

Mengulas lanjut bila wawasan itu boleh dicapai, Dr Mahathir berkata sukar ditentukan kerana bergantung kepada pelbagai faktor yang tidak boleh dijangka.

Sumber: Berita Harian 1/10/09

Bercelaru sungguh Wawasan 2020 yang digagaskan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia ini. Beliau bukan setakat belum tahu bila wawasan tersebut dapat disempurnakan, bahkan belum pula menemukan formula terbaik untuk mencapainya. Benarkah idea terbaru Tun Dr Mahathir ini dapat membaik pulih ekonomi Malaysia, sekali gus meningkatkan pendapatan negara dan rakyat?

Umum mengetahui, bahawa sistem yang diguna pakai oleh Malaysia adalah sistem Kapitalis. Negara Kapitalis secara fitrahnya, pasti akan menguntungkan golongan pemodal (kapital) yang mendominasi ekonomi negara. Benarkah jika sesebuah syarikat itu meningkat pendapatannya, lalu rakyat keseluruhannya akan merasakan nikmatnya sekali? Dalam sistem seperti ini, jawapannya lebih menjurus kepada tidak… Lihatlah syarikat Petronas yang telah berjaya memperoleh keuntungan yang tinggi dalam beberapa tahun yang lalu. Apakah keuntungan ini telah benar-benar dapat memberi kesejahteraan sebenar rakyat Malaysia? Hakikatnya, peratusan besar keuntungan hanya dinikmati oleh segelintir kroni kapitalis. Dan realiti hari ini terus memaparkan rakyat yang terus dihimpit dengan kemiskinan dan dipaksa membeli minyak dengan harga yang tinggi. Sungguh menyedihkan! Harta kekayaan melimpah, tetapi apa yang berlaku adalah monopoli di kalangan para pemodal. Yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin. Itulah hakikat yang berlaku di seluruh dunia. Ini adalah natijah diterapkannya sistem Kapitalis di mana sahaja kita berada. Tidakkah kita sedar akan hal tersebut?