Sistem Kapitalis Tidak Akan Mampu Menyelesaikan Masalah Kemiskinan

altProgram basmi kemiskinan

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memberi tumpuan kepada pendekatan Program Kebajikan Produktif (PKP) bagi memastikan masalah kemiskinan dapat dibasmi sepenuhnya.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, penduduk miskin yang menerima bantuan diberikan latihan bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan atau mendapat pekerjaan tetap.
”Kerajaan tidak boleh memberikan bantuan (kewangan bulanan) sehingga akhir hayat melainkan penerima berkenaan sakit dan dengan pendekatan PKP, kita akan membantu penduduk keluar sepenuhnya daripada kepompong kemiskinan.

”Penduduk miskin sebenarnya tiada masalah untuk menyara keluarga kerana di Malaysia ini ada peluang pekerjaan untuk semua dan ini terbukti dengan kehadiran ramai pekerja asing ke negara ini,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 29/01/2010

Sistem Kapitalis tidak akan mampu menyelesaikan masalah kemiskinan

Walau apa pun pendekatan yang diambil oleh mana-mana kerajaan sekular di dunia ini untuk menghapuskan masalah kemiskinan, ia tidak boleh diselesaikan. Ini kerana sistem Kapitalis yang diterapkan di majoriti negara di dunia hari ini  akan terus menyebabkan kewujudan jurang yang sangat besar di antara yang kaya-raya dan golongan yang miskin. Malah, masalah kemiskinan juga wujud di negara-negara Kapitalis Barat yang kaya. Contohnya Amerika Syarikat, yang merupakan negara terkaya di dunia, mempunyai jumlah penduduk miskin sebanyak 91.6 juta orang pada tahun 2008, menurut suatu kajian yang dikendalikan oleh Brookings Institute di AS.

Dalam kajian lain yang dibuat oleh The Food Research and Action Center di AS, dilaporkan bahawa seperlima daripada penduduk AS tidak mempunyai wang secukupnya untuk membeli makanan, dan terpaksa bergantung kepada bekalan makanan yang disediakan oleh kerajaan persekutuan.

Ini jauh berbeza dari perlaksaan sistem pemerintahan Islam yang pasti mampu menyelesaikan masalah kemiskinan. Fakta empirik historis membuktikan bahawa pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, seorang Khalifah yang cuma memerintah selama dua tahun sahaja,  tidak ada seorang pun warga Daulah yang layak menerima zakat kerana kesemua penduduk mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan masalah kemiskinan dapat dibenteras dengan tuntas!!