Subsidi Bukanlah Penyelesaian Menangani Kemiskinan

Subsidi beras golongan miskin

BATU GAJAH 24 Sept. – Mulai 1 Disember ini kerajaan akan memberikan subsidi beras secara terus kepada golongan berpendapatan rendah melalui penggunaan sistem kupon.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, Kabinet secara dasarnya bersetuju dengan kaedah baru pemberian subsidi tersebut.

Katanya, bagi memastikan rakyat tidak menghadapi masalah apabila polisi baru itu dilaksanakan, kementerian akan menjalankan projek perintis sistem kupon pada November ini.

Sumber: Utusan Malaysia, 25/09/09

Banteraslah Kemiskinan Dengan Cara Islam

Memang tidak dinafikan bahawa pemberian subsidi adalah baik jika dilihat dari aspek amalannya. Islam juga mengiktiraf pemberian subsidi dari negara kepada rakyatnya, kerana ia memang suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh penguasa kaum Muslimin. Tujuan pemberian subsidi juga adalah untuk mengurangkan jurang kekayaan di antara rakyat di dalam Daulah. Ia berdasarkan firman Allah SWT:

“Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kalian”. [TMQ al-Hasyr(59) : 7]

Sistem Islam dengan Sistem Kapitalisme amat berbeza dalam menangani kemiskinan. Sistem Kapitalis menganggap subsidi merupakan suatu kebajikan dan ihsan dari negara, walhal ia merupakan tanggungjawab yang wajib mereka lakukan (sebagai penguasa). Belum ada fakta yang mengungkap bahawa Sistem Kapitalis mampu menangani kemiskinan. Di mana sahaja, di seluruh dunia kita dapat menyaksikan bahawa yang kaya semakin kaya, dan yang miskin semakin miskin. Di mana silapnya? Jawapan yang paling mendasar adalah sistem Kapitalis itu sendiri yang memang tidak mampu menangani jurang kemiskinan. Lebih buruk, subsidi kerap dilihat di dalam sistem ini sebagai suatu yang tidak wajar. Akibatnya, meskipun subsidi diberikan, jumlahnya tidak mencukupi untuk mengatasi kemiskinan. Malah hakikatnya, dalam sistem ini, subsidi itu sendiri tidak dilihat sebagai satu penyelesaian untuk masalah kemiskinan. Meskipun terdapat beberapa mekanisme sosialisme bagi menampal sulam kelemahan di dalam Sistem Kapitalis, pada hakikatnya sistem ini tidak dicipta untuk menangani masalah kemiskinan.

Berbeza dengan Sistem Kapitalis, Islam memandang serius masalah kemiskinan. Pada dasarnya ada 4 langkah yang digariskan oleh syariat Islam untuk menangani kemiskinan secara hakiki. Pertama, Daulah Islam wajib memastikan warganegaranya terpenuhi keperluan asasnya (primary needs) berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kedua, Daulah akan memastikan pengaturan pemilikan yang mencakup 3 aspek; jenis-jenis pemilikan, pengelolaan pemilikan dan pengagihan pemilikan. Ketiga, Daulah wajib menyediakan pekerjaan bagi seluruh warganegara. Keempat, Daulah wajib memberi jaminan pendidikan yang sama kualitinya secara percuma, tanpa adanya diskriminasi. (baca selanjutnya: SN007 – Kemiskinan Atau Pemiskinan?).

Dengan penerapan Islam yang kaffah, bukan hanya kemiskinan yang akan dapat ditangani, Rahmat Allah akan tersebar ke seluruh alam. Bukankah ini yang kita sebagai umat Muhammad khususnya dan umat manusia umumnya inginkan?