Kemiskinan terus bertambah di dalam negara Islam Hadhari

Pakej rangsangan sudah pun dilancarkan untuk memulihkan ekonomi negara, namun, masalah kemiskinan terus bermunculan. Terbaru, sebanyak 60,000 kes baru yang memerlukan bantuan telah berjaya dikesan dan didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara setakat ini. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen, berkata, daripada jumlah itu pula sebanyak 26,000 kes telah diluluskan bantuannya. “Mereka yang benar-benar layak sahaja yang akan diberikan bantuan tersebut iaitu yang pendapatan seisi keluarga berada di bawah garis kemiskinan iaitu di bawah RM720 sebulan,” katanya. [Utusan Malaysia Online, 8/2/09].

Ini gambaran kemiskinan yang ada di Malaysia, itu pun yang dilaporkan dan tidak termasuk entah berapa ribu lagi kes-kes yang tercicir. Jika pun “negara” berjaya menyelamatkan dirinya daripada kemelut ekonomi global semasa, namun masalah kemiskinan yang melanda “individu” akan terus wujud bahkan ia akan terus bertambah kerana berpunca daripada sifat-sifat ekonomi kufur Kapitalis yang diamalkan oleh pemerintah itu sendiri.

Walaupun JKM berperanan membantu keluarga yang miskin, namun ia hanya memberi bantuan dengan bergantung kepada peruntukkan terhad yang ada, dan itu pun hanya beberapa kerat sahaja yang menikmatinya. Kerana itulah bantuan yang diberikan bersifat purata dan tidak sepenuhnya berjaya mengeluarkan sesebuah keluarga itu daripada belenggu kemiskinan.

Sedangkan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan, setiap keluarga perlu diberikan bantuan mengikut keperluan sebenar isi rumah, bukannya hanya diberi bantuan purata dengan meluluskan sejumlah wang bantuan kepada keluarga tersebut. Setiap keluarga mempunyai keperluan hidup yang berbeza-beza. Setiap keluarga mesti diberikan bantuan sehingga ke tahap mencukupi, bukannya sekadar ‘bermain dengan angka’ berapa ribukah yang telah diberi bantuan.

Amat malang tatkala para pemimpin dan kroni mereka hidup di dalam keadaan yang mewah tetapi rakyat masih hidup di dalam kemiskinan. Namun inilah realiti kehidupan di dalam pemerintahan negara yang dikawal sepenuhnya oleh puak Kapitalis.

Di dalam Islam, keperluan setiap keluarga tidak sekadar dipenuhi dengan memberikan bantuan wang secara purata, tetapi jumlah ahli keluarga dan keperluan setiap orang dicatitkan dan kemudian bantuan akan diberikan. Sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh Khalifah Umar di mana ketika beliau memerintah, setiap keluarga miskin diberikan bantuan berdasarkan bilangan ahli keluarga dan bukannya memberikan jumlah yang sama untuk setiap keluarga.

Ketidakcukupan wang peruntukan bukanlah kerana ketiadaan wang di dalam negara atau kerana negara ini miskin atau kerana kemelesetan ekonomi, tetapi kerana wang dan kekayaan yang ada di negara ini telah dikuasai dan diagihkan melalui mekanisme ekonomi kufur yang tidak adil. Inilah ekonomi Kapitalis di mana para pemerintah dan kroni “wajib” kaya raya, tetapi masyarakat hidup dalam penuh kemiskinan kerana sember kekayaan negara “wajib” dikaut mereka habis-habisan. Inilah antara ‘keajaiban’ yang wujud di dalam negara Islam Hadhari, yang kononnya menjadikan Islam sebagai asas kemajuan.

Kebebasan kepemilikan individu, penyelewengan kuasa, rasuah dan pelbagai kejahatan lain lagi sudah menjadi lumrah yang diamalkan di dalam sistem pemerintahan demokrasi kufur ini. Adanya pemerintah yang langsung tidak takutkan Allah dengan apa yang mereka lakukan, inilah yang menjadi punca sebenar kepada segala permasalahan yang wujud. Jika mereka ada sedikit ketakutan kepada Allah, nescaya mereka akan memerintah dengan penuh jujur dan amanah, sebagaimana para Khalifah yang telah berjaya membawa kemakmuran ekonomi kepada umat Islam selama lebih 13 abad yang lampau. Justeru, untuk mengubah sistem ekonomi kufur yang ada pada hari hanyalah dengan kita kembali kepada sistem ekonomi Islam yang bernaung di bawah Sistem Khilafah, yang Insya Allah akan mengembalikan semula kekayaan negara dan mengagihkannya kepada setiap individu yang berhak.