Malaysia – Negara Islam Atau Negara Kufur?

Flag_of_Malaysia.svgMalaysia jadi negara Islam contoh

ISTANBUL 10 Nov. – Beberapa negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mahu mencontohi kejayaan Malaysia membangunkan ekonomi dengan cemerlang.  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara ini disampaikan sendiri oleh beberapa ketua kerajaan OIC dalam pertemuan dua hala yang diadakan di sini.  “Ia merupakan satu penghormatan kepada Malaysia yang dijadikan negara Islam contoh,’’ katanya kepada wartawan Malaysia di hotel penginapannya di sini hari ini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.  Muhyiddin berada di sini selama tiga hari sempena menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Jawatankuasa Kerja Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan OIC (COMCEC).

Muhyiddin menjelaskan, ada antara negara berkenaan secara khusus meminta kepakaran Malaysia dalam bidang tertentu terutama industri perladangan kelapa sawit dan juga petroleum.   Sebagai contoh kata beliau, Sierra Leonne mengemukakan cadangan supaya Malaysia terlibat secara langsung dengan usaha mereka untuk menanam kelapa sawit secara besar-besaran di negara   tersebut.  “Ia diminta oleh Presiden negara itu, Ernest Bai Koroma dalam pertemuan dua hala saya semalam dan kita akan berbincang dengan Felda bagaimana kita dapat membantu menjayakan rancangan Sierra Leonne itu,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia 11/11/09

Malaysia Negara Islam Contoh…. Apa Piawaiannya?

Inilah kesalahan dan kelemahan umat Islam hari ini termasuklah para pemimpin mereka yang sudah tidak mengenal makna sebenar sesuatu takrifan yang berkaitan dengan Islam termasuklah takrifan bagi sebuah “Negara Islam”. Persoalannya, apakah standard dan kayu ukur yang digunakan oleh para pemimpin umat Islam hari ini untuk menentukan sesebuah negara umat Islam itu Islam ataupun tidak? Apakah benar Malaysia sebuah negara Islam? Dan bolehkah ianya dijadikan contoh? Untuk menjawab dan menghuraikan persoalan ini kita perlu menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai satu-satunya standard yang benar. Ini adalah kerana Islam merupakan Deen yang sumbernya adalah kedua-dua perkara di atas. Justeru itu bagi membincangkan persoalan apakah Malaysia sebuah negara Islam atau tidak maka kita perlu mengembalikan isu ini kepada sumber asal Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Jelas jika kita melihat kepada realiti negara ini, Malaysia bukanlah sebuah negara Islam. Lihatlah sahaja hukum yang digunapakai oleh para pemerintah Malaysia dalam mengatur kehidupan rakyat yang menyentuh persoalan ekonomi, sosial, keadilan/penghakiman, pendidikan dan polisi luar negara. Bukankah kesemuanya merupakan sistem yang diambil dari Barat (kapitalisme)? Lihatlah hakim-hakim yang menjatuhkan hukuman kepada setiap persoalan kes mahkamah di Malaysia pada hari ini. Bukankah mereka menjatuhkan hukuman thaghut yang telah dihadiahkan oleh Lord Reid? Dua penunjuk di atas sudah cukup untuk kita sebagai umat Islam memahami bahawa Malaysia adalah negara sekular dan bukannya Negara Islam walaupun para pemimpin dan mereka yang memegang kekuasaannya terdiri dari orang Islam (Lihat SN132 – Malaysia – Negara Islam Atau Sekular?). Jadi, keinginan para pemimpin dunia umat Islam yang lain untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam contoh adalah umpama mereka yang mengejar bayangan air/fotomargana di tengah-tengah padang pasir. Mereka akan pasti keletihan dan kecewa. Wahai para pemimpin umat Islam! Wahai Muhyiddin! Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai contoh tauladan kehidupan termasuklah dalam memahami persoalan negara Islam agar kamu tidak menjadi umat Islam yang akhirnya akan kecewa dan dikecewakan.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. [TMQ Al Ahzab (33) : 21].