Indonesi-Malaysia Negara Sahabat Atau Negara Maksiat?

Malaysia-Indonesia bersahabat

 PADANG, Sumatera Barat 7 Dis. – Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyifatkan kunjungannya ke sini bagi menghadiri majlis pelantikan Gabenor Sumatera Barat yang baru menunjukkan Malaysia dan Indonesia sentiasa ingin berbaik sangka dan bersahabat.  Beliau berkata, kedatangannya itu juga adalah dengan galakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa inginkan sebuah persahabatan yang bukan sahaja formal tetapi tidak formal dengan pemimpin dan rakyat Indonesia .

“Perkara yang menjadi keutamaan ialah bagi masyarakat kedua-dua negara merasakan kita tiada halangan atau perkara yang menjadi hadangan kepada hubungan harmonis ini.  “Sedangkan mungkin ada pihak yang cuba keruhkan suasana tetapi nampaknya tidak berjaya kerana Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun merapatkan banyak hal yang membawa kepada kesatuan pemikiran dan kejituan kepentingan kebudayaan serta sosial kedua-dua masyarakat itu diletakkan pada tahap tertinggi,” katanya.  Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu sempena majlis pelantikan Marlis Rahman sebagai Gabenor Sumatera Barat menggantikan Gamawan Fauzi yang dilantik Menteri Dalam Negeri dalam kabinet Susilo.   Rais diiringi isterinya, Datin Seri Masnah Rais.   Rais berkata, Malaysia sentiasa ingin menjalin persahabatan yang baik dengan Indonesia dan lawatannya ke sini telah mencapai matlamat ke arah tersebut.  “Kita bertuah dapat saksikan peristiwa bersejarah di Padang hari ini dalam konteks persahabatan antara Malaysia dan Indonesia .    “

Dapatlah kita mendaftar bahawa keinginan kedua-dua negara untuk berbaik sangka dan bersahabat telah pun tercapai dan Malaysia akan terus mewujudkan satu rantaian dan Indonesia pun sedemikian,” katanya.   Rais berkata, pihaknya juga akan memastikan kedatangan sekumpulan wartawan Indonesia ke Kuala Lumpur esok akan dilayan dengan baik.  Beliau berkata, hubungan dengan kumpulan wartawan Indonesia itu akan menjadikan media di kedua-dua negara mempunyai nilai persahabatan yang mendalam dan tidak cetek mengenai sesuatu perkara.  Rais juga berkata, perkara-perkara berkaitan dengan penyelidikan adat atau kebudayaan akan terus dilakukan oleh kementerian dengan pihak berkuasa Sumatera Barat.  “Justeru kita akan berusaha untuk objektif tersebut dan dipupuk terus-menerus langkah-langkah harmonis, diplomasi dan menerusi budaya dalam tahun-tahun akan datang khususnya tahun depan,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 08/12/09

Indonesi-Malaysia Negara Sahabat Atau Negara Maksiat?
 
Begitu gawatnya pemikiran yang dimiliki oleh para pemimpin sekular umat Islam hari ini. Perasaan ukhuwah Islamiyyah yang sewajibnya menjadi asas yang mengikat ikatan sesama umat Islam diketepikan dengan mudahnya oleh para pemimpin hari ini dan sebaliknya digantikan dengan perasaan  asabiyyah yang kufur dan haram. Inilah kejayaan kuffar Barat dalam memisahkan kesatuan umat Islam. Jika dulu Nabi SAW berjuang untuk menghapuskan perasaan asabiyyah dan menggantikannya dengan ikatan aqidah Islam sebagaimana yang telah dilakukan oleh baginda dalam mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin, kini dunia umat Islam sudah terbalik. Para pemimpin umat Islam hari ini dengan perasaan tidak berdosa menyerukan dan menyuburkan semangat asabiyyah di kalangan umat Islam dengan mengenepikan aqidah Islam.

Alangkah jijik dan kotornya perbuatan para pemimpin sekular ini. Lihatlah bagaimana rosaknya pemikiran yang melingkungi pola fikir para pemimpin umat Islam Malaysia dan Indonesia. Para pemimpin sekular ini dengan bangganya melihat hubungan Indonesia dan Malaysia sebagai hubungan negara sahabat bukannya hubungan sebagai sebuah negara yang satu dan sebagai umat Islam yang satu. Para pemimpin ini bertemu sesama mereka dalam keadaan berbangga mengusung asabiyyah pada diri masing-masing. Mereka bertemu bukan kerana ikatan aqidah Islam. Mereka bertemu dalam keadaan berbangga membawa identiti negara asabiyyah Malaysia dan negara asabiyyah. Apakah mereka tidak merasa hina di sisi Allah SWT?

Wahai para pemimpin umat Islam! Apakah kamu pernah berfikir apakah kebanggaan asabiyyah ini yang akan kamu bawa kelak untuk bertemu dengan Allah SWT sedangkan sudah jelas bahawa asabiyyah itu adalah sesuatu yang haram di sisi Islam.

Wahai seluruh umat Islam! Contohilah golongan Muhajirin dan Ansar yang telah membuang perasaan asabiyyah sejauh-jauhnya dari diri mereka dan mereka menggantikannya dengan ukhuwah Islamiyyah setelah mereka menerima Islam dan ini melayakkan mereka menjadi golongan yang mendapat keredhaan di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:

Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar”. [TMQ At-Taubah (9) : 100].