Retorik Angka Kemiskinan

Sejuta keluarga layak

JEMPOL 28 Nov. – Lebih sejuta keluarga yang dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar dijangka menerima kupon subsidi beras melalui Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberitahu, setakat ini 248,000 keluarga yang berdaftar dengan e-Kasih layak menerima kupon itu dan bilangan itu dijangka terus meningkat.

“Kerajaan hanya membelanjakan RM8.6 juta sebulan dari peruntukan RM60 juta. Bagaimanapun hasil maklumat dari ahli parlimen, kita jangka ia akan mencecah sejuta keluarga memandangkan ada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Tetapi apabila borang permohonan diterima, ia bukannya akan diluluskan terus, tetapi akan dinilai oleh pegawai-pegawai kementerian selepas diberikan kursus oleh ICU (Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan) Jabatan Perdana Menteri (JPM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Korban Perdana Jempol 2009 di Felda Raja Alias 2 di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jempol yang juga Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Lilah Yassin; Timbalannya, Mohd. Salim Shariff serta Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS), Badrulhisham Abdul Rahman.

November lalu, sistem kupon di bawah program Subur yang sepatutnya dilaksanakan 1 Disember ini ditangguhkan bagi membolehkan senarai penerima dikemas kini.

Perkara itu diputuskan Kabinet baru-baru ini setelah timbul rungutan serta aduan ada golongan miskin yang layak tetapi tidak disenaraikan sebagai penerima.Ini termasuk mereka yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak berpuluh tahun lalu tetapi tidak layak mendapat subsidi beras.

Sumber : Utusan Malaysia Online 29/11/2009

1 Juta Keluarga Miskin??

1 juta? Itu hanyalah angka “jumlah keluarga” yang dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar. Namun, jumlah individu  keseluruhannya pastinya lebih dari itu. Dalam dunia kapitalis, rakyat yang tak cukup makan, yang tiada tempat tinggal, yang tiada pendapatan yang cukup untuk menyara  keluarga merupakan satu lumrah yang tidak dapat dinafikan. Namun begitu, dalam masa yang sama, pemimpin negara masih enak hidup bermewah- mewah serta kehulu kehilir mencanangkan bahawa ekonomi negara dalam keadaan yang baik serta peningkatan KDNK negara yang kononnya akan melonjak dari tahun ke tahun.

Jurang perbezaan antara si miskin dengan yang kaya semakin membesar. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh majalah Malaysian Business edisi 16-28 Februari 2009 yang lalu, jumlah kekayaan 40 individu terkaya di Malaysia ialah RM96.30 billion! Bayangkan jurang yang berlaku di antara 40 individu berbanding dengan lebih 1 juta keluarga yang diketegorikan sebagai miskin yang layak menerima bantuan kerajaan adalah terlalu besar iaitu 1 individu terkaya bersamaan 25, 000 keluarga termiskin!!!.

Fenomena seperti ini pastinya tidak akan berlaku sekiranya sistem yang diterapkan adalah sistem yang diturunkan oleh Allah melalui RasulNya. Sistem-sistem Islam mengurusi keperluan umat secara menyeluruh (kolektif) dan bukannya hanya mementingkan kehendak sekelumit golongan kaya  seperti dalam sistem kapitalis sekarang. Islam telah memberi penyelesaian yang tuntas terhadap masalah ini. Penyelesaian yang bukan hanya sekadar bersifat sementara (yang selalu dikatakan sebagai tindakan popular), tetapi menyelesaikannya hingga ke akar umbi dalam masyarakat.

(Untuk mengetahui bagaimana daulah Islam menangani masalah kemiskinan, anda bolehlah membaca Sautun Nahdhah Edisi ke-7 ).