Kapitalisma – Basmi Kemiskinan Umpama Tikus Baiki Labu

Pendekatan bersepadu basmi kemiskinan
 
PEKAN 4 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bersepadu supaya sasaran membasmi kemiskinan di negara ini dapat dicapai.

Perdana Menteri berkata, bagi mencapai sasaran itu, kedudukan ekonomi negara perlu diambil kira kerana kerajaan akan melaksanakan pelbagai program pembangunan khususnya membantu golongan terbabit menjalani kehidupan lebih baik. Menurut beliau, pelaksanaan itu sejajar dengan keadaan ekonomi negara yang perlu stabil dan kadar pertumbuhannya berkembang serta berada pada tahap membanggakan.

“Cuba bayangkan kalau kerajaan tidak cekap mengurus dan mentadbir ekonomi negara pada keadaan sekarang maka segala kemudahan dan program untuk rakyat tidak dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci komuniti perumahan Kampung Baru Salong di Chini di sini, hari ini.

Sumber : Utusan Malaysia 05/09/10

KAPITALISMA – BASMI KEMISKINAN UMPAMA TIKUS BAIKI LABU

Pelik bin ajaib bila sang kapitalis cuba membasmi kemiskinan! Atas nama ‘program pembangunan’, sang kapitalis membina projek perumahan bagi si miskin dan dalam masa yang sama mereka meraih keuntungan dari projek tersebut disamping tetap mengenakan pelbagai cukai ke atas si miskin, ditambah dengan caj-caj istimewa seperti tarif elektrik, bil air dan seumpamanya. Sebelum ini si miskin tinggal di rumah yang serba daif TANPA bayarn yang melampau, tiba-tiba mereka dipaksa membayar itu dan ini menurut kehendak sang kapitalis. Inikah yang disebut membasmi kemiskinan? Atau sebenarnya meningkatkannya?!

Masalah utama ekonomi adalah pengagihan. Jika apa yang menjadi hak suatu pihak dieksploitasi oleh pihak lain yang seharusnya bertanggungjawab ke atas pihak yang berhak itu demi meraih keuntungan, maka ini tidak layak disebut sebagai kemakmuran. Kemiskinan tidak mungkin dapat dibasmi sepenuhnya, namun setidak-tidaknya ia harus dibendung dari melarat. Islam mengatur masalah pengagihan kekayaan berdasarkan hukum syarak dan adalah selaras dengan fitrah (kehidupan) manusia. Terdapat nas syarak yang membahaskan pengagihan kekayaan yang menjadikan kehidupan mereka harmoni tanpa wujud konflik. Hak hidup seseorang manusia telah dinyatakan oleh sabda Rasulullah SAW,

“Manusia berkongsi dalam tiga perkara; air, padang dan api” [HR Ahmad]

Ini bererti seseorang itu tidak perlu membayar lebih dari kos (pengeluaran) suatu harta/kemudahan yang menjadi milik umum (public property). Di sini, nyata, meskipun si miskin tidak mampu membayar, ia masih berhak menikmati kemudahan tersebut. Ini jauh berbeza dengan dunia kapitalisme di mana si miskin dipaksa untuk membayar apa yang sebenarnya menjadi hak mereka dan mereka hidup dalam kedhaifan!! 

Dalam Islam, hukum syarak juga mengatur masalah pernafkahan di mana ketua rumahtangga wajib mencukupkan nafkah ahli keluarganya. Sedangkan negara pula wajib menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang sesuai untuk seluruh rakyatnya. Lain halnya dalam dunia kapitalisme, kos sara hidup ditanggung sepenuhnya oleh individu, meskipun ada di antara kos yang dibelanjakan adalah tanggungjawab negara. Negara pula sibuk mengutip cukai, cukai, cukai! Selain itu, dalam Islam wujud beberapa hukum (ketetapan) mengenai saraan di mana kaum keluarga terdekat, jiran-tetangga, masyarakat setempat bahkan sampai ke peringkat negara bertanggungjawab untuk memastikan setiap individu mendapat hak-hak asas sebagai manusia. Masing-masing memainkan tanggungjawab dan peranan menurut apa yang telah digariskan oleh Allah SWT dan RasulNya.

Sebagai Muslim yang sejati, kita haruslah tunduk kepada segala ketetapan Allah dalam meraih keredhaanNya sekaligus menggarap apa yang telah Allah sediakan untuk manusia di bumi ini. Namun hakikatnya, ini tidak akan dapat kita capai sepenuhnya selama kita masih terperuk di bawah sistem kufur kapitalisme. Tolak kapitalisme, tegakkan syariah dan Khilafah!