Barang Naik (BN) – mengharap tikus membaiki labu?

Sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 8 Oktober, kira-kira 7,000 kontraktor Melayu yang terbabit dengan projek-projek rakyat di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kini menderita ekoran tiada tindakan sewajarnya untuk membantu meringankan beban mereka.
Ahli Majlis Eksekutif Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Razak Yaacob berkata, kenaikan harga bahan binaan tidak terkawal dan melampau sejak lebih empat bulan lalu gagal ditangani dengan berkesan walaupun isu tersebut diberi perhatian serius oleh kerajaan sebelum ini. Antara bahan yang menggusarkan kontraktor terbabit adalah kenaikan harga simen sebanyak 60 peratus, besi (60 peratus), kayu (15 peratus), sewa jentera (40 peratus), batu (50 peratus) dan konkrit (30 peratus).

Jika kita teliti, bahan-bahan utama binaan merupakan bahan yang diperoleh dari sumber alam seperti kayu balak (hutan), batu-batan, pasir, logam dan lain-lain. Oleh kerana ia telah dieksploitasi oleh pihak tertentu dengan izin pemerintah sekular, maka sudah pasti, kuasa meletak harga atas bahan-bahan tersebut adalah mutlak milik pengeksploitasi seperti pengusaha-pengusaha produk tersebut. Turut menikmati hasil manipulasi bahan-bahan binaan adalah para pemimpin yang tamak yang turut memiliki ‘share’ di dalamnya. Ini merupakan senario yang menggambarkan mekanisme pemerintahan kapitalisme yang bobrok dalam mengelola kekayaan sumber alam. Mereka tanpa menghiraukan hukum syarak, malah tanpa segan silu bahkan tiada langsung simpati ketika berusaha memakan semua hasil kekayaan bumi yang ada dalam negara.

Kenapa hal ini menjadi isu, ia bukanlah semata-mata soal mekanisme kawalan harga bahan binaan yang naik, tetapi ia sebenarnya berpunca dari masalah soal pemilikan (milkiyyah) serta proses pengelolaan yang tidak mengikut syariat. Setiap sumber alam yang jumlahnya banyak, syarak telah menetapkan bahawa ianya milik umum (milkiyyah al-‘ammah). Ini bermaksud, pemilik sebenar kekayaan sumber alam adalah umat (rakyat), bukan pemerintah atau kroni atau sesiapa sahaja yang cuba mengeksploitasi dan memanipulasi produknya. Negara (pemerintah) adalah pihak yang bertanggungjawab di dalam pengelolaan (tetapi bukan pemilik) yang bertanggungjawab untuk memelihara ketentuan hukum syarak ke atas milkiyyah al-ammah  ini agar ia berjalan secara adil tanpa berlaku kezaliman seperti yang muncul sekarang. Negara boleh memberi kuasa proses (pengelolaan) kepada mana-mana pihak atas dasar pemprosesan, dan membayar upah (ujr) mereka, tetapi bukan memiliki dan memanipulasinya. Negara juga wajib menghalang produk bahan-bahan tersebut dari di monopoli oleh syarikat-syarikat tertentu sahaja sehingga mereka boleh meletakkan harga sesuka hati.

Campur tangan negara (kerajaan) yang dicari-cari oleh pihak terbabit tidak akan menemui jalan penyelesaian selagi dasar ekonomi dan politik negara yang sekular sekarang tidak ditukar kepada Islam. Jika dapat diatasi dalam masa terdekat sekalipun, senario ini tetap dan terus berulang dari masa ke semasa, dan tidak mustahil yang ia akan berulang dalam masa yang terdekat juga. Mengharapkan kerajaan sekular untuk membaik pulih masalah ini adalah umpama mengharapkan tikus membaiki labu.