Tidak ada rakyat yang mengadu harga barang naik!

“Kita tidak menerima apa-apa aduan. Rakyat tidak mengadu, ini bermakna terdapat sokongan. Kita tidak mengawal harga, tetapi pengguna yang mengawalnya,” ujar Datuk Seri Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam sebuah sidang media di ibu negara ketika mengulas mengenai kurangnya aduan terhadap kenaikan harga barang semenjak kebelakangan ini.

Suatu perkara yang menghairankan apabila sang menteri yang berkhidmat di bawah kerajaan yang “memahami denyut nadi rakyat” mengeluarkan kenyataan yang bersifat dangkal seperti ini. Inilah jadinya apabila menteri tidak pernah turun padang bertanya khabar rakyat dan hanya memilih untuk berada di kerusi empuk sahaja. Inilah juga sebenarnya gambaran mentaliti seorang menteri di Malaysia yang tidak pernah mempedulikan nasib rakyat dan tidak mengambil tahu perkembangan semasa. Mungkin juga sehingga kini beliau masih belum tahu dan belum mendapat aduan yang satu perhimpunan akan diadakan di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember ini untuk “mengguling kerajaan” sebagai tanda tidak puas hati rakyat terhadap kenaikan banyak barangan dan perkhidmatan kebelakangan ini!

Wahai pak menteri! Ketahuilah bahawa rakyat sudah tidak tahan dengan ‘kebijaksanaan’ pemerintahan yang sedia ada. Sebab itulah rakyat bangkit untuk membantah. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan telah meningkatkan kos sara hidup rakyat dan tidak akan ada orang yang waras yang menyokong kenaikan ini. Adakah hal semudah ini tidak difahami oleh seorang yang bertaraf menteri atau sebenarnya sengaja buat-buat tidak faham?

Seorang menteri seharusnya lebih bertanggungjawab dan berhati-hati di dalam mengeluarkan kenyataan kerana kenyataan tersebut bukan sahaja akan dinilai oleh rakyat, tetapi jauh lebih penting dari itu, ia akan “dinilai” oleh Allah SWT dan akan dicatat oleh dua malaikat yang berada di kiri dan kanan manusia. Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya pemimpin itu adalah pemelihara dan ia akan ditanya (dihisab) tentang pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari dan Muslim].

Kerana takut akan dihisab oleh Allah darihal pemerintahannya, Khalifah Umar al-Khattab ra sangat mengambil berat akan keperluan rakyat di bawah pemerintahannya. Beliau meredah kegelapan malam bersama dengan pembantu beliau Aslam untuk memastikan keperluan rakyatnya dipenuhi. Dikhabarkan bahawa pada suatu malam, sewaktu sedang meronda bersama dengan pembantunya Aslam, Umar ra telah bertemu dengan seorang ibu yang sedang memasak batu-batuan bagi memujuk anak-anaknya yang sedang menangis kelaparan. Tanpa melengahkan masa, Umar bergegas ke Baitul Mal bagi mendapatkan bekalan makanan untuk diserahkan kepada keluarga tersebut. Bahkan beliau bertegas untuk memikul sendiri bekalan makanan untuk diserahkan kepada keluarga tersebut, biarpun sudah ditawarkan bantuan oleh Aslam berulang-kali.

Demikianlah bagaimana Islam telah menggariskan peri pentingnya seseorang pemimpin memelihara kepentingan dan keperluan rakyat di bawah penjagaannya. Keperibadian dan kepemimpinan para Khulafa’ ar-Rasyidin jauh berbeza dengan sifat yang ada pada diri penguasa umat Islam saat ini. Sungguh jauh panggang daripada api! Para khulafa’ ar-Rasyidin tidak duduk bersenang-lenang di pejabat dan menunggu rakytanya datang untuk membuat aduan, sebaliknya mereka terjun ke dalam umat bagi memastikan keperluan mereka terpenuhi.

Sungguhpun demikian, kemelut dan kesempitan yang melanda umat pada hari ini bukanlah sekadar manifestasi kelemahan dan kezaliman para penguasa yang ada pada hari ini semata-mata. Segala masalah ini tidak lepas daripada penerapan sistem kapitalisme yang diterapkan ke atas kita semua pada hari ini. Justeru, walau pun sudah beberapa kali berlakunya perubahan wajah pemimpin, oleh sebab sistemnya sama sahaja, maka kehidupan rakyat tetap sahaja bermasalah.

Umat Islam perlu sedar bahawa hanya dengan kembali kepada syariat Islam sahaja barulah segala masalah akan dapat diatasi. Menggulingkan sesebuah kerajaan dan menggantikannya dengan sebuah kerajaan lain, sekiranya sistem yang diterapkan tetap sama, maka hal ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah sedikit pun. Pokoknya pangkalnya adalah “sistem” yang mesti dibetulkan. Dengan kata lain, kalau kerajaan sedia ada sanggup membuang sistem kapitalisme ini dan menggantikannya dengan sistem Islam sepenuhnya, maka Insya Allah semua masalah akan dapat diselesaikan. Namun setakat ini, tidak ada tanda-tanda sedikit pun yang kerajaan sedia ada akan melaksanakan sistem Islam! Maka kerana itulah kita wajib berusaha menegakkan kembali Daulah Khilafah bagi menerapkan hukum Allah di dalam kehidupan sama ada kehidupan individu, bermasyarakat dan juga bernegara.

Sumber berita: mstar.com.my