Sistem ekonomi Kapitalis tidak akan pernah membawa keadilan

KUALA LUMPUR 28 Okt – MCA meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing.
Naib Presidennya, Datuk Liow Tiong Lai berkata, ini kerana elemen penting dalam pertumbuhan ekonomi negara kini adalah daya saing yang kuat bagi membolehkan negara berhadapan dengan kesan buruk ekonomi dunia.

Kenyataan beliau di atas dibuat semasa mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melahirkan keyakinan unsur-unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berakhir pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Ekonomi Nasional (DEN) pada 1991, boleh dihapuskan secara beransur-ansur.

Kita perlu faham bahawa DEB atau DEN diwujudkan sebagai merit kepada peningkatan atau kawalan perolehan (pendapatan) mengikut quota bangsa. Ia hanya merupakan merit ‘pengagihan kekayaan mengikut bangsa’ tetapi bukannya dasar untuk menjamin kemakmuran ekonomi sesebuah negara. Kemakmuran ekonomi sesebuah negara adalah bergantung kepada konsep dan polisi ekonomi yang diamalkan oleh negara itu sendiri. Konsep dan polisi ini pula terlahir dari pemikiran pemimpin yang memerintah sesebuah negara. Jadi, jika pemikiran pemimpin itu adalah sekular-Kapitalis, maka tentunya sistem ekonomi Kapitalislah yang akan diterapkannya. Manakala jika pemikiran seseorang pemimpin itu adalah Islam, maka sudah pasti sistem ekonomi yang diterapkannya pun Islam.

Jadi, pemimpin yang sekular-Kapitalis hanya akan menggunakan akal mereka semat-mata untuk menyelesaikan segala permasalahan ekonomi yang wujud. Manakala bagi seorang pemimpin Islam, wahyulah yang menjadi panduannya di dalam mengatur urusan ekonomi negara. Bagi sistem ekonomi kufur Kapitalisme, kesejahteraan ekonomi diukur melalui KDNK atau KNK. Ringkasnya, jika pendapatan per kapita di dalam sesebuah negara meningkat maka ekonomi di negara itu dikatakan baik, walhal hakikatnya kekayaan negara hanya dimiliki oleh 20% penduduk manakala 80% lagi hidup melarat.

Pokoknya adalah, akallah yang dijadikan panduan di dalam mengatur urusan ekonomi dan menentukan kesejahteraan, bukannya wahyu. Walhal Islam, dalam mengurusi perekonomian negara, Islam melihat setiap individu secara perseorangan, bukannya secara purata. Maksudnya jika ada walaupun hanya seorang individu di dalam negara tersebut yang tidak cukup makan, maka pemerintah wajib menyelesaikan masalah tersebut (memberi makan kepadanya) dengan segera. Jika diabaikan, maka pemerintah akan berdosa dan akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak dari hal pengurusannya.

Oleh sebab ideologi Kapitalis mengajar bahawa akallah yang menentukan hukum, maka setiap pemimpin yang Kapitalis termasuklah Malaysia mengendalikan ekonomi negara dengan akal masing-masing, bukannya dengan Al-Quran dan Sunah. Justeru, hal ini tentunya akan menimbulkan ketidakadilan, penindasan, peminggiran (diskriminasi), kemiskinan, pengagihan kekayaan yang tidak sama rata dan pelbagai keburukan lainnya.

DEB atau DEN yang dilaksana sejak ia dilancar hanyalah sebagai untuk melindungi bangsa Melayu/bumiputera di dalam bersaing dengan bangsa lain, khususnya Cina. Ironinya, sejak berpuluh-puluh tahun ia dilaksanakan, bangsa Melayu masih ramai yang mundur dan hakikatnya hanya sedikit daripada mereka (khususnya yang menjadi kroni pemerintah) yang menjadi kaya di bawah dasar ini. Sebagai ‘bangsa’ yang ditolong di bawah DEB/DEN, maka tentunya kaum Melayu akan bergembira, namun bagi bangsa lain, hal ini jelas merupakan diskriminasi. Peruntukan quota (merit) berasaskan bangsa amat berisiko diukur dari perspektif kemajmukan masyarakat dan daya saing. Ia juga membuka ruang yang luas kepada gejala kronisme, nepotisme dan rasuah. Selain itu ia turut memberi kesan buruk kepada pemangkin daya pengeluaran serta produktiviti. Selain kedudukan istimewa ini hanya akan mengukuhkan lagi perasaan assabiyyah yang ada pada kaum masing-masing, Kedudukan ini ibarat ‘bom jangka’ yang jika sudah sampai masanya, ia boleh meletup pada bila-bila masa sahaja.

Islam mempunyai kaedahnya yang tersendiri di dalam mengatur urusan ekonomi dan kaedah ini tentunya akan pasti memberi keadilan kepada setiap manusia, kerana ia berasal dari wahyu. Sejak lebih 1300 tahun Khilafah Islam memerintah dunia, terbukti bahawa sistem ekonomi Islam yang diamalkan oleh para Khalifah telah mendatangkan kesejahteraan, bukan sahaja kepada umat Islam, malah kafir zimmi yang berada di dalam Daulah Khilafah. Setiap manusia dipandang sebagai manusia, bukan sebagai ‘bangsa’ dan Islam menyelesaikan masalah ekonomi mereka sebagai seorang manusia, bukannya sebagai ‘bangsa apa’kah dia. Islam cuma membezakan di antara orang Islam dan orang kafir di dalam beberapa bab tertentu, contohnya orang Islam diwajibkan membayar zakat manakala orang kafir mesti membayar jizyah sebagai ketundukan mereka kepada hukum syarak. Sedangkan dalam banyak hal lain, maka hak dan kewajipan setiap warganegara, sama ada Muslim atau Zimmi dalam Daulah Islam adalah sama, tanpa memandang lagi apakah bangsa mereka.

Peluang untuk memanfaatkan kekayaan dalam bentuk barang (goods) ataupun perkhidmatan (services) dibuka kepada semua tanpa dihadkan dengan quota atau merit. Ini adalah kerana pengelolaan harta kekayaan untuk meraih manfaatnya diberi keizinan oleh syarak tetapi sesuai dengan aktiviti-aktiviti yang dibenarkan (halal) sahaja. Siapa pun dibenarkan menjalankan aktiviti pertanian, penternakan, perdagangan, perindustrian, perkhidmatan dan lain-lain selagi mana ia tidak menyalahi hukum syarak.

Jelas di sini bahawa Islam menyajikan sebuah bentuk kehidupan yang sesuai diamalkan oleh setiap manusia, bukan hanya kaum Muslimin sahaja. Wacana ekonominya sangat meluas sehingga manusia dijamin agar keperluan mereka dipenuhi, bukan hanya tertumpu kepada soal pendapatan (keuntungan) suatu pihak seperti negara, bangsa atau golongan tertentu. Peraturan ekonomi Islam juga menjamin kemakmuran dari aspek pengelolaan agar manusia tidak menzalimi sesamanya berbanding dengan Kapitalisme yang sedia ada zalim dalam setiap aspek termasuk membenarkan segala bentuk pengelolaan yang zalim seperti insurans, saham, industri haram dan seumpamanya. Dunia kini menyaksikan kesengsaraan dan kepincangan hidup yang dialami segenap lapisan manusia di seluruh pelosok dunia akibat pengamalan sistem ekonomi Kapitalisme mahupun Sosialis. Nah, belumkah tiba masanya untuk kita mengubah nasib kita dengan kembali kepada sistem ekonomi yang berasaskan wahyu dari Allah Yang Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui? Say no to Kapitalisme, say yes to Islam…