Bilangan Kaya Meningkat Tidak Menjamin Kesejahteraan

richBilangan orang-orang kaya di Malaysia dikatakan bakal meningkat daripada 32 ribu orang sekarang kepada 68 ribu orang pada tahun 2015, dengan nilai bersih masing-masing meningkat daripada USD140 bilion kepada USD330 bilion. Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, bilangan yang mengagumkan itu memberikan keyakinan terhadap keteguhan dan kelestarian pertumbuhan ekonomi Malaysia. [1]

Senario yang diperkatakan di atas pada hakikatnya tidaklah menggambarkan keutuhan dan kestabilan sebenar ekonomi Malaysia. Bahkan kesejahteraan ekonomi rakyat tidak bergantung hanya kepada kadar peningkatan jumlah orang-orang kaya tersebut. Ini adalah kerana, nilai aset dan kewangan sekumpulan individu-individu tertentu bukanlah kayu ukur yang menunjukkan bahawa negara Malaysia adalah negara yang stabil dan kukuh ekonominya secara keseluruhan. Secara dasarnya, Malaysia mengamalkan sistem ekonomi kapitalis yang mana putaran ekonominya bergantung kepada sistem ribawi yang dijana oleh syarikat-syarikat perbankan sepertimana yang diamalkan oleh semua negara yang mengamalkan sistem yang sama.

Bagi sesebuah negara yang mengamalkan dasar kapitalis, hampir semua kekayaan negara dimiliki oleh segelintir golongan pemodal dan para taikun yang dijaga dan dibela oleh pemerintah. Negara menjaga mereka dengan penuh rapi walaupun mereka menjalankan perniagaan dan transaksi yang haram kerana mereka banyak memberikan manfaat dan keuntungan kepada negara melalui hasil cukai yang dikutip. Hasil cukai inilah yang dibanggakan oleh Najib dan Kerajaan BN yang kononnya prihatin kepada rakyat dalam pemberian RM1.92 bilion untuk program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 3.8 juta orang atau 59 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah negara [2].

moneyPemberian BR1M itu juga memperlihatkan kepada kita bahawa betapa ramainya golongan yang berada di dalam keadaan memerlukan. Malah, pemberian BR1M itu sebenarnya masih tidak dapat menyelesaikan kemelaratan hidup yang dialami oleh rakyat Malaysia secara amnya. Kita dapat lihat dalam paparan berita di Pulau Pinang bagaimana seorang nenek bersama cucu-cucunya yang hanya mampu makan bubur nasi dan berlaukkan hirisan bawang setiap hari serta hidup dengan mengharapkan ihsan jiran tetangga. Lebih memilukan, keluarga tersebut bakal kehilangan tempat berteduh kerana tidak mampu membayar tunggakan sewa rumah di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang mencecah RM2,000. [3]

Situasi di atas dapat juga kita saksikan di mana kekayaan sesebuah negara yang melimpah ruah yang terdapat di kebanyakan negara-negara kaum Muslimin sama sekali tidak menjamin kesejahteraan ekonomi rakyatnya. Di Indonesia misalnya, kekayaan alam yang dimiliki seperti minyak, gas, emas dan hutannya yang banyak menyimpan khazanah seribu satu macam, tetapi rakyatnya masih tetap hidup dalam penuh kemiskinan dan merempat sehingga perlu berhijrah ke tempat lain. Situasi yang sama turut melanda negeri-negeri umat Islam yang lain. Negara Amerika yang menjadi kiblat kepada ideologi kapitalis juga merupakan negara yang mana kekayaan negaranya dikuasai oleh individu-individu tertentu sahaja. Pada masa yang sama, seramai 43.6 juta rakyat Amerika sendiri yang berada dalam kemiskinan sepertimana yang dicatatkan pada tahun 2009.[4]

Apalah ertinya meningkat jumlah kekayaan orang-orang tertentu tetapi rakyat masih tetap hidup dalam kemiskinan dan pengagihan kekayaan masih tidak mengikut acuan Islam. InsyaAllah, tatkala sistem Islam diterapkan oleh Daulah Islam yang bakal berdiri kelak, kesenangan dan kesejahteraan hidup dapat dirasai secara hakiki oleh semua warganegara tanpa mengira agama dan kaum kerana penerapan Islam itu sendiri menjamin keadilan dan kebaikan. 

Sumber:
[1] http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm
[2] http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm
[3] http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm
[4] http://www.federalreserve.gov/releases/Z1/Current/z1r-1.pdf