Jika ingin ‘amar makruf nahi mungkar’ demokrasi wajib ditolak







PERMATANG PAUH, 1 Sept – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyeru semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, keturunan atau bangsa mengamalkan ‘amar makruf nahi mungkar’ jika mahu segala masalah seperti kadar jenayah, kecurian, rasuah dan penyelewengan dapat dikurangkan.


Ujarnya, ia juga dapat menyelamatkan negara daripada hancur akibat pengamalan perbuatan terkutuk. Di samping itu, kesan pengamalan ‘amar makfur nahi mungkar’ juga dapat memajukan negara, ujar beliau sempena Makan Malam Pakatan Rakyat Pulau Pinang meraikan kemenangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di tapak Ekspo Seberang Jaya semalam.

 

Beliau juga menggariskan lima (5) prinsip yang patut diikuti untuk mengujudkan situasi yang aman dan makmur dalam urus tadbir pemerintahan. Antaranya, pemerintahan yang bersih, cekap dalam pengurusan/pentadbiran, pemerintahan berlandaskan demokrasi yang betul dan lain-lain [dipetik dari harakahdaily.net].

 

Jika direnung dengan teliti, kelihatan kenyataan beliau agak baik dan menepati cita rasa kaum Muslimin, boleh jadi juga ada yang menilai kata-kata Lim Guan Eng ini sebagai jauh lebih ‘Islamik’ dari Pak Lah! Namun hakikatnya, Ketua Menteri Pulai Pinang ini tentunya mempunyai agenda peribadi dengan apa yang cuba dilontarkan. Jika benar beliau yakin dengan konsep amar makruf nahi mungkar yang digariskan oleh Islam, dan beliau yakin bahawa hanya inilah satu-satunya konsep yang dapat menyelamatkan negara, maka beliau tentunya memilih untuk beragama Islam kerana yakin dengan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah swt. Ini kerana konsep amar makruf nahi mungkar adalah datangnya dari Allah Yang Maha Bijaksana!

 

Namun sayangnya, dalam pada Guan Eng menyeru kepada pelaksanaan konsep tersebut, beliau telah terkeliru dan mencampur adukkannya dengan idea-idea kufur yang ada dalam sistem demokrasi. Idea-idea kufur yang bertentangan dengan Islam seperti persamaan agama, pluralisme, dan sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan) di‘rojak’nya sekali dalam ucapan beliau. Keinginan beliau kepada keadilan Islam amatlah dialu-alukan, namun dalam masa yang sama kita tidak mahu ia menjadi umpama tikus membaiki labu atau umpama si buta cuba melukis gambarnya sendiri. Lim Guan Eng perlu mendalami tsaqafah Islam yang sebenar, tanpa perlu mencampur adukkannya dengan selain Islam.

 

Kita tidak tahu sejauh mana keikhlasan Ketua Menteri Pulau Pinang ini di dalam lontaran kata-kata yang diucapkannya. Diharap dia tidak mempunyai motif tersembunyi, iaitu semata-mata kerana ingin meraih sokongan dari kaum Muslimin terhadap pemerintahannya atau terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang sekarang ingin mengambil alih pemerintahan negara.

 

Pengertian amar makruf nahi mungkar tidaklah semudah yang diperkatakan, bahkan ia amat bertentangan dengan konsep demokrasi yang dinyatakan. Demokrasi bukanlah berasal dari Islam dan ia merupakan sistem pemerintahan yang diharamkan oleh syarak. Demokrasi berasal dari kuffar Barat an ia sepatutnya difahami dari hakikat sebenar, sejarah dan perlaksanaannya. Penjelasan amar makruf nahi mungkar dalam konteks demokrasi melalui premis sekularisme, tidak sepatutnya mengaburi mata kaum Muslimin. Ia tidak lebih hanyalah merupakan sebuah konsep yang menjadi pilihan golongan ‘Islam moderat’. Ini kerana, mengamalkan demokrasi itu sendiri yang jelas-jelas merupakan sebuah sistem pemerintahan kufur yang berasal dari Barat, bererti mengamalkan ‘amar mungkar dan nahi makruf’. Sistem demokrasilah yang menjadi punca kepada segala kerosakan yang wujud pada hari ini, baik dari segi sosial, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain. Sistem kufur ini wajib dibuang jika kita benar-benar ingin memulihkan keadaan yang rosak pada hari ini. Firman Allah,

 

“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki? Walhal (hukum) siapakah lagi yang lebih baik dari hukum Allah bagi mereka yang yakin? [TMQ Al-Ma’idah (5):50]

 

Justeru, selama mana seruan yang dikumandangkan, baik oleh orang kafir mahupun orang Islam, jika ia masih lagi dalam ruang lingkup demokrasi kufur ciptaan Barat, maka ia tidak lain dari seruan Jahiliyyah yang wajib dijauhi oleh kaum Muslimin. Sesungguhnya sistem pemerintahan Islam itu adalah Sistem Khilafah, bukannya sistem demokrasi! Hanya dengan kembali kepada sistem Khilafah, barulah segala kerosakan dan kezaliman yang ada pada hari ini (yang muncul dari sistem demokrasi) dapat di atasi. Insya Allah.