Biang Kapitalisme Memecah Belahkan Umat

 
BENDERASUBANG 4 Sept. – Tindakan biadab Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) dalam kempen anti-Malaysia kebelakangan ini merupakan hasil reformasi dan revolusi media serta nilai budaya di Indonesia sejak selepas pemerintahan Suharto digulingkan pada 1998. Timbalan Setiausaha Agung Lembaga Persahabatan Indonesia Malaysia (Prima), Chairul Anhar berkata, ia terjadi apabila berita-berita negatif membabitkan Bendera yang melemparkan slogan anti-Malaysia dipilih menjadi tajuk utama media cetak dan elektronik di Indonesia. Katanya, walaupun sesetengah perubahan nilai di Indonesia disambut baik namun sebahagian lagi seperti kebebasan media secara keterlaluan boleh mengancam hubungan baik di antara dua negara berjiran.

“Kebebasan media di Indonesia kini sungguh dahsyat sehingga kita menyaksikan bukan sahaja Malaysia diganyang dalam media, tetapi Presiden Susilo (Bambang Yudhoyono) sendiri menghadapinya setiap hari.

“Jadi, saya minta pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia memahami keadaan ini terutama selepas 1998 dan jangan layan kerenah Bendera,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sumber : Utusan Malaysia 05/09/10

Tolak Nasionalisme/Patriotisme, Tegak Syariah dan Khilafah!

Ternyata konflik dua Negara Malaysia-Indonesia yang tenggelam timbul dalam beberapa dekad terakhir ini tidak menemui sebarang penyelesaian tuntas. Para penganalisis pula memerah idea mencari punca konflik yang sebenarnya jelas terpampang di depan mata. Akibatnya, umat terus dibodohkan dengan alasan-alasan remeh yang bukan merupakan punca sebenar konflik. Apakah para intelektual hari ini terlalu dangkal atau terlalu berat untuk mengisytiharkan bahawa punca konflik yang berpanjangan ini adalah akibat dari penerapan dan pengamalan NASIONALISME dan PATRIOTISME!?

Kedua-dua idea kufur ini muncul di benak kaum Muslimin setelah penjajah Barat datang menceroboh dan menerapkan kehidupan sekular di tengah-tengah masyarakat Islam. Kaum Barat  menebarkan kerosakan ini kepada kaum Muslimin yang mereka lihat hidup dalam kesatuan yang kuat, kokoh dan berdaya maju. Kedengkian ini menjadikan mereka ganas sehingga mencetuskan kekejaman yang berpanjangan terhadap kaum Muslimin hatta ke hari ini sekalipun. Ejen-ejen mereka di wilayah kaum Muslimin pula terus menyorok kerosakkan fatal ini demi kepentingan ‘boss-boss’ mereka di Barat sana!

Bagi pemimpin umat Islam yang khianat, NASIONALISME dan PATRIOTISME adalah senjata pemusnah yang sering mereka gunakan untuk memenuhi kepentingan diri dan kroni.

Umat Islam yang sedar, dengan akal yang sihat dan cerdas pasti mengakui bahawa Islam membawa penyelesaian yang tuntas. Allah SWT memerintahkan agar seluruh kaum Muslimin, bukan dari Malaysia mahupun Indonesia sahaja, bahkan seluruh wilayah kaum Muslimin (dunia Islam) agar bersatu dalam satu kesatuan yang mengikat diri masing-masing dengan aqidah Islam, bukan dengan selainnya. Tidak sedikit perintah-perintah Allah dan RasulNya yang jelas menyentuh hal ini. Bahkan kehidupan seperti ini yang pernah dirasai oleh dunia Islam ternyata telah mengangkat darjat umat dan digeruni dan dihormati oleh kawan serta lawan. Kehidupan itulah yang telah menjulang tinggi maruah umat manusia yang bernaung di bawahnya selama lebih 13 abad. Tiada wujud konflik sempadan atau bangsa ketika aqidah Islam dijadikan pengikat. Itulah kehidupan Islam (hayatul Islam) yang kini sirna. Apakah kita masih ragu-ragu untuk kembali kepada syariah dan Khilafah?! Tepuk dada tanya iman.