PERKASA Seru Semangat Ashobiyyah

perkasaUKM, UiTM gelanggang perkasa jati diri bumiputera – Ibrahim

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu menjadikan universiti mereka sebagai gelanggang memperkasakan jati diri dan semangat patriotisme Melayu bumiputera serta orang Islam.  Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, penubuhan dua universiti itu mempunyai sejarah tersendiri yang ada kena mengena dengan perjuangan air mata orang Melayu dalam mengisi kemerdekaan.   “Orang Melayu dan Islam kini dalam keadaan cukup bahaya kerana menerima ancaman pelbagai pihak. Jadi UKM dan UiTM seharusnya menjadi penggerak ke arah memartabatkan kembali jati diri dan semangat patriotisme yang perlu bermula di menara gading,” katanya.  Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas berucap pada seminar bertajuk Memperkasa Perjuangan Bangsa anjuran Kumpulan Aspirasi UKM di sini malam tadi.  Hadir sama Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali. 

Mengulas lanjut, Ibrahim menyeru kepada mahasiswa di setiap universiti di negara ini supaya jangan terikut-ikut dengan budaya politik luar yang hanya akan menyebabkan orang Melayu berpecah belah.  “Mahasiswa harus menjadi contoh kepada perpaduan ummah, perpaduan orang Melayu dan jangan berpecah belah serta terikut-ikut dengan budaya politik luar yang bertujuan memecahbelahkan kita,” katanya.  Beliau berkata, mahasiswa seharusnya mendokong idealisme sebagai seorang pelajar yang menegur perkara tidak benar dan menyokong perkara yang benar tanpa sentimen kepada mana-mana pihak.  “Kalau ini dapat dilakukan melibatkan mahasiswa di setiap universiti, saya yakin ia akan dapat membantu ke arah memperkasakan orang Melayu pada masa depan,” katanya. Menurut Ibrahim lagi, mahasiswa juga perlu berbahas dan berbincang mengenai isu-isu semasa yang berlaku di sudut pidato di setiap universiti terutama yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan bumiputera.  “Kita bincang bukan sebab untuk mengacau kaum lain, tetapi untuk memastikan kita ada kekuatan dan tidak akan dipijak, ditindas oleh pihak lain sekiranya kita lemah di bumi sendiri,” katanya.  Dalam perkembangan lain, beliau meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menggubal satu akta baru yang melarang orang bukan Islam mempermainkan ayat-ayat suci al-Quran.  Akta baru itu katanya, perlu bagi menjaga kemuliaan Islam sebagai agama Allah dan agama rasmi persekutuan serta mengelak timbulnya salah faham yang akan menyebabkan pergaduhan antara kaum.  “Sudah sampai masanya akta baru itu digubal kerana ada pihak yang dilihat sengaja mengambil kesempatan untuk menggugat keharmonian kaum bagi merealisasikan matlamat politik mereka,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 27/01/11
 
Perjuangan Ashobiyah Adalah Satu Fatomargana Yang Menipu
 
Mengapakah Perkasa begitu bersungguh-sungguh ke sana-sini sambil terpekik dan terlolong menyeru umat Islam khususnya mahasiswa atas nama perjuangan Melayu? Bahkan ada yang mengatakan Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan lebih-lebih lagi mahasiswa yang kebanyakkannya adalah Melayu. Lalu, bagaimana dengan beberapa golongan daripada rumpun Melayu yang beragama selain daripada Islam? Apakah bezanya di antaranya Melayu dan bangsa lain yang beragama Islam? Bahkan terdapat bangsa-bangsa lain yang beragama Islam jauh lebih ramai daripada bangsa Melayu. Jadi, apakah kelebihannya berjuang atas nama Melayu? Jika dilihat daripada hasil perjuangannya selepas lebih 50 tahun merdeka, apa yang Melayu dapat hanyalah kemunduran, keruntuhan akhlak dan pelbagai lagi isu sedih dan mengecewakan tentang nasib orang Melayu. Jelaslah bahawa perjuangan atas nama Melayu adalah sia-sia sehingga ke hari ini. Perjuangan Melayu ini termasuk di dalam perjuangan bangsa atau suku. Ia berlandaskan kepada ikatan kesukuan (Ashobiyyah). Larangan untuk berjuang atas nama Assabiyah telah pun dilarang dengan tegas oleh Nabi SAW, sabdanya:
”Bukan dari golongan kami orang-orang yang menyeru kepada ashobiyyah(sukuisme), orang yang berperang kerana ashobiyyah serta orang-orang yang mati kerana assobiyyah.” [HR Abu Dawud]
 
Di dalam hadis yang lain, Nabi ketika ditanya tentang nasionalisme, rasisme dan patriotisme, baginda menjawab: ”Tinggalkanlah dia tidak berguna”[HR Bukhari dan Muslim]
 
Inilah yang telah diajarkan oleh Islam tetapi kebanyakkan daripada umat Islam telah lupa atau dilupakan oleh pemimpin-pemimpin mereka yang berjuang menggunakan topeng assobiyyah untuk mempertahankan kepentingan mereka. Barat telah berjaya melahirkan dan mencetak pemikiran segolongan umat Islam agar mereka terus berjuang di atas perjuangan kufur ashobiyyah. Inilah sebenarnya yang menjadi salah satu faktor utama melemahkan ikatan umat Islam semasa di akhir kepimpinan Khilafah Bani Uthmaniah. Sehingga umat Islam bercakaran sesama sendiri dan akhirnya wilayah umat Islam dipecahkan oleh kuffar Barat mengikut bangsa masing-masing. Jadi, mengapa Perkasa masih terus melaungkan perjuangan yang berasaskan ashobiyyah itu? Sampai bila? Adakah sehingga nyawa Ibrahim Ali berhenti dengan noktah terakhirnya barulah suara lantangnya memperjuangkan pemikiran kufur ahobiyyah itu akan berhenti.
 
Yakinlah bahawa perjuangan yang berasaskan bangsa ini tidak ada nilainya sedikit pun di sisi Allah SWT melainkan ianya telah diancam oleh Allah SWT dengan azab dan siksaan dihari akhirat kelak. ”dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. [TMQ  Ali ‘Imran (3) : 85].
 
Kalau Pak Ibrahim benar-benar mahu berjuang,  maka landasan perjuangan yang wajib ditempuh olehnya adalah perjuangan yang berlandasan Islam. Bukan selain dari itu. Ketahuilah bahawa Allah SWT telah meletakkan standard yang jelas dan paling absah. Iaitu dalam mengukur kedudukan seseorang manusia itu adalah dengan ukuran ketakwaan yang ada pada diri seseorang. FirmanNya: ”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. [TMQ Al Hujuraat (49) : 10]. Jadi, manakah lagi ayat yang hendak digunakan oleh Pak Ibrahim untuk membenarkan perjuangan Melayunya itu bersama dengan Perkasa?, sedangkan hakikatnya Melayu kini sudah terlampau ramai yang mengabaikan perintah dan larangan Allah SWT.