Ashobiyyah Tegar!

KUALA LUMPUR, 14 April – Orang Melayu perlu bangkit dan bersatu dalam berhadapan dengan tuntutan kaum lain yang kini dilihat semakin keterlaluan.  Mereka juga perlu sedar dan insaf dengan situasi politik semasa yang menyaksikan pelbagai tuntutan hingga boleh menjejaskan kekuatan politik orang Melayu.  Sehubungan itu, orang Melayu diminta tidak tunduk kepada tuntutan keterlaluan tersebut sebalik bangkit bersatu bagi mempertahankan hak dan kepentingan mereka. 

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, pemimpin bukan Melayu dalam hal ini perlu sedar yang sesebuah kerajaan itu boleh sahaja untuk tidak ‘melayan’ tuntutan mereka.   Katanya, jumlah kerusi terbanyak di Parlimen adalah milik Melayu dan ia cukup untuk membentuk sebuah kerajaan berasaskan wakil rakyat Melayu semata-mata di negara ini.   Katanya, justeru, dari segi politiknya kerajaan itu sepatutnya memenuhi apa sahaja yang menjadi kehendak Melayu kerana mereka adalah majoriti dan bukan asyik bertolak ansur dengan bukan Melayu.  ‘‘Parti Melayu akan kuat bila Melayu dijaga. Jadi UMNO kena fokus orang Melayu. Jadi UMNO tak perlu takut kerana saya lihat bila UMNO itu kuat orang bukan Melayu automatik akan sokong juga Barisan Nasional (BN) macam dulu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.  

Berita Penuh : Klik Sini

Sumber : Utusan Malaysia,15/04/09

Mengapa masih tegar dengan seruan ashobiyyah?

Seruan ashobiyyah masih lagi terus dilaungkan oleh golongan yang rela mendapatkan kemurkaan Allah SWT. Memang tidak dinafikan bahawa kita orang Melayu, namun ‘kemelayuan’ itu hakikatnya tidak layak dijadikan kayu ukur dalam apa bentuk perjuangan sekalipun. Tebalnya perasaan sayang kepada ke’Melayu’an nampaknya mengatasi hukum syara’ yang jelas mengharamkan sebarang seruan ashobiyyah dengan membelakangi seruan berasaskan aqidah Islam. Keharaman ashobiyyah ini telah diperjelaskan oleh nabi Muhammad SAW sejak 1400 tahun yang lalu. Apakah mereka masih tidak pernah mendengar hadith yang dilafazkan oleh Rasulullah SAW ini?  

“Tidak beriman seorang kamu sehingga hawanya mengikut apa yang aku bawa”. Jika mereka pernah mendengar hadith di atas persoalan yang selanjutnya adalah apakah mereka telah memahaminya? Seterusnya, jika mereka telah memahami hadith ini, apakah mereka telah beramal dengannya?

Ketahuilah bahawasanya nabi SAW datang untuk seluruh umat manusia.  

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. [TMQ  Saba’ (34) : 28].

Nabi SAW datang untuk membangkitkan seluruh manusia tanpa menghadkan perjuangannya kepada bangsa Arab semata-mata. Justeru itu seruan untuk membangkitkan bangsa Melayu  itu adalah satu bentuk pengkhianatan kepada Allah dan rasulNya. Jika mereka benar-benar sayangkan Melayu maka mereka sepatutnya berjuang untuk menyelamatkan Melayu dari mendapat murka Allah SWT. Mereka perlu berjuang untuk memastikan agar Melayu mulia dan kuat kerana Islamnya bukan kerana ukuran bangsanya.  Kekuatan dan kemuliaan manusia itu adalah kerana keimanan dan ketakwaannya kepada Allah SWT.

“ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. [TMQ Al Hujuraat (49) : 13].

“Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”. [TMQ al-Munaafiquun (63) : 8].

Yakinlah bahawa seruan ke arah memperjuanagkan bangsa inilah yang sebenarnya akan melemahkan umat Islam kerana ianya sudah pasti mengundang murka dari Allah SWT.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”. [TMQ At Taubah (9) : 24].

Sampai bila lagi kita harus menyeru kepada sesuatu yang tidak mempunyai nilai apa-apa pun sedangkan jalan perjuangan yang sebenar, perjuangan untuk menegakkan Islam, terbentang luas untuk kaum Muslimin yang peka merangkulnya dengan erat!