Sengsara Si Miskin di bawah Sistem Kapitalis Tak Sanggup Jual Anak

altNilai: “Biarlah kami tidak makan dan hidup melarat. Namun, untuk menjual atau memberi anak kepada orang itu tidak sekali-kali akan saya lakukan, kerana mereka nyawa saya.” Kata Nurhaslinda Ramli, 28. Menurut ibu kepada 6 anak itu, ada jiran dan kenalan menasihatkan supaya dia menyerahkan semua anaknya, termasuk menjual dengan tawaran ribuan ringgit kepada orang lain bagi memastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih sempurna. “Suami saya hanya berpendapatan RM27 sehari sebagai seorang pekerja di kedai mencuci kereta. Jika dia tidak bekerja, kami semua tidak akan merasa makanan untuk sehari, “ katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Nurhaslinda berkata, lebih memeritkan apabila anak bongsunya yang juga pasangan kembar berusia lima tahun, Haqif Haikal dan Haqig Haikil menghidap penyakit tiroid dan memerlukan rawatan segera. “Doktor mengesahkan mereka (kembar) mempunyai saluran pernafasan yang sempit yang menyukarkan pernafasan. Setakat ini, mereka bergantung kepada ubat-ubatan hingga usia mencecah 3 tahun sebelum pembedahan boleh dilakukan.  “Mereka tidak pernah minum susu seperti kanak-kanak lain dan saya hanya mampu memberikan susu pekat manis sebagai makanan harian,” katanya.  Menurutnya, dia sememangnya terfikir untuk bekerja, namun kesihatan anak kembar yang memerlukan penjagaan rapi membataskan hasratnya itu.
“Saya kerap mendengar sindiran jiran tetangga yang mempersoalkan usia saya yang masih muda dan boleh bekerja. Namun, mereka tidak mengetahui keadaan anak saya yang sakit dan memerlukan pemantauan,” katanya.  Anak kelahiran Port Dickson itu memberitahu rumah sewanya di Kampung Chelet, di sini sudah 4 bulan tidak dibayar, malah anak sulung berusia 15 tahun terpaksa berhenti sekolah kerana mahu meringankan beban keluarga. “Selain itu, yuran sekolah anak tertangguh beberapa bulan kerana saya tidak mampu membayarnya dan berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat memberikan bantuan. “Tetapi saya bersyukur pemilik rumah banyak membantu dan faham masalah dihadapi kami sekeluarga,” katanya.

Sumber: Harian Metro, 12 Mac 2011


Sengsara Si Miskin di bawah Sistem Kapitalis Tak Sanggup Jual Anak

Ini adalah secebis kisah daripada ribuan kes-kes pilu yang ada di tengah-tengah masyarakat kita pada hari ini. Dalam suasana yang menyedihkan itu, masih ada manusia yang tidak berhati perut yang mengutuk kemiskinan mereka. Alangkah busuknya hati segelintir manusia yang berpemikiran kapitalis ini yang mengambil kesempatan di atas kesengsaraan hidup seseorang dengan menawarkan untuk membeli anak-anak mereka yang dihimpit dalam kesempitan ini. Mereka tidak sedikitpun berniat untuk membantu meringankan beban si miskin ini, apatah lagi untuk mengeluarkan mereka daripada penderitaan ini,  sebaliknya mereka ingin menghancurkan lagi hidup si miskin ini dengan menawarkan untuk diserahkan anak-anak mereka!

Yang lebih menyakitkan hati adalah tindakan kerajaan ke atas orang-orang yang senasib dengan mereka. Apakah yang boleh dilakukan dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang hanya memberi bantuan sekecil RM300 atau RM400? Adakah cukup untuk menyara dan memenuhi keperluan untuk membayar sewa rumah, bil air, bil eletrik, duit minyak, yuran sekolah, bayaran perubatan dan duit makan minum mereka untuk 8 beranak? Di manakah perginya wang berbilion-bilion ringgit yang dikutip daripada kerajaan terhadap rakyatnya setiap tahun? 

Sistem Kapitalis yang kita hidup di dalamnya ketika ini sememangnya sentiasa membebankan kehidupan dan tidak pernah menyelesaikan masalah umat. Sekiranya sistem Islam diterapkan sepenuhnya, masalah-masalah sebegini tidak akan timbul kerana Islam memastikan segala hak-hak asas utama rakyat dipenuhi iaitu makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Begitu juga dengan keperluan-keperluan asas rakyat yang lain iaitu pendidikan, kesihatan, dan keamanan. Kesemuanya dijamin sepenuhnya oleh Daulah Islam.

“Seorang Iman (pemimpin) itu adalah bagaikan penggembala, dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas gembalaannya (rakyatnya).” [HR. Bukhari dan Muslim].

Dimanakah perginya pemimpin negara, ADUN dan ahli Parlimen? Wajah-wajah mereka mungkin  akan hanya dapat kelihatan jika diberitahu bahawa wajah mereka bakal terpampang di muka hadapan akhbar ketika menyerahkan cek bantuan kepada si miskin ini ataupun ketika menjelangnya kempen pilihanraya tertentu. Inilah wajah sebenar kejijikan sistem demokrasi, di mana pemimpinnya tidak pernah memikirkan tentang kebajikan rakyatnya. Yang difikirkan hanyalah manfaat. Malah sistem ekonomi kapitalis ini mengajar bahawa kemiskinan adalah sesuatu yang mustahil untuk dihapuskan! Sangat jelas bagi kita bahawa sistem kapitalis ini tidak pernah mensejahterakan rakyat.

Tidakkah pemimpin-pemimpin ini mempelajari bagaimana Rasulullah menyelesaikan masalah kemiskinan? Begitu juga dengan Khalifah Umar Abdul Aziz, bagaimana beliau menghapuskan kemiskinan hanya dalam tempoh 2 tahun, sebagaimana yang diungkapkan oleh Yahya bin Sa’id, seorang petugas amil zakat pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Beliau berkata, “Khalifah Umar bin Abdul Aziz  telah mengutusku untuk mengumpulkan zakat daripada orang-orang Afrika. Lalu aku mengutipnya dan aku meminta supaya dikumpulkan orang-orang fakirnya untuk ku agihkan zakat-zakat tersebut. Tapi ternyata tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang (layak) untuk mengambilnya”. [Ulwan, 1985:2, As-Siba’i, 1981:392].

Hanya negara Khilafah sahajalah yang mampu untuk menghapuskan kemiskinan yang dihasilkan oleh sistem ekonomi kapitalis yang menekan rakyat pada hari ini. Marilah kita bersama-sama meraih kemuliaan dengan menegakkan semula Khilafah Ar-Rasyidah kali kedua sepertimana yang dijanjikan oleh Allah dan RasulNya.Wallahua’lam.