Sarawak: Bukti Khianatnya Pemimpin Sekular

taib-mahmudRM73.68 Juta Untuk Kerja Naik Taraf, Baik Pulih 3 Jenis Sekolah Di Sarawak

KUCHING: Kerajaan Rabu mengumumkan peruntukan RM73.68 juta untuk kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih tiga jenis sekolah di seluruh negeri Sarawak.  Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan sebanyak RM25.68 juta adalah untuk 130 sekolah Mubaligh, RM20 juta untuk 197 sekolah jenis kebangsaan Cina manakala RM28 juta untuk 1,266 sekolah kebangsaan.  Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata sebagai permulaan RM50,000 akan diberikan kepada setiap sekolah mubaligh itu dalam tempoh terdekat melalui wakil-wakil Barisan Nasional di kawasan-kawasan berkenaan.  “Jumlah peruntukan pembayaran awal ini ialah RM6.5 juta dan bakinya akan dibayar dalam pusingan kedua selepas ini,” katanya kepada wartawan di sini.  Terdapat 197 buah sekolah SJKC di Sarawak di mana 187 buah adalah sekolah rendah sementara 10 lagi sekolah menengah.  Terdahulu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), menghadiri taklimat persiapan pilihan raya negeri Sarawak bersama pemimpin-pemimpin tertinggi komponen parti BN Sarawak di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini. 

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata pemberian peruntukan itu menunjukkan kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin dengan keadaan di Sarawak yang berlainan dengan keadaan di Semenanjung Malaysia. “Perdana Menteri dapat memahami gambaran keseluruhannya mengenai keadaan sekolah di Sarawak, yang banyak dah lapuk.  “Saya mengucapkan terima kasih atas perhatian khas ini,” katanya.  Taib berkata kebanyakan sekolah-sekolah berkenaan adalah dibina oleh pihak berkuasa tempatan, dan bantuan kewangan yang disalurkan untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan-bangunan sekolah berkenaan tepat pada masanya kerana sekolah-sekolah itu kebanyakannya diperbuat daripada kayu. – BERNAMA

Sumber: mStar Online 30/03/11

RM 73.68 Juta Terlalu Kecil Berbanding Kes Tuntutan Fasakh Anak Ketua Menteri Sarawak  Yang Berjumlah RM 400 Juta!!

Sekali lagi rakyat Sarawak khususnya dan Malaysia amnya terus diperbodohkan oleh kerajaan sekular yang berkuasa saat ini. Menjelang Pilihan Raya DUN Sarawak kali ini pemerintah sekular BN mula berlakon seolah-olah mereka adalah sebuah kerajaan yang prihatin terhadap permasalahan rakyatnya. Inilah sandiwara yang layak diberikan anugerah besar sebagai pelakon dan pelawak hebat di abad ini. Hakikatnya jumlah peruntukan itu adalah terlampau kecil jika kita ingin bandingkan dengan jumlah kes tuntutan fasakh anak Ketua Menteri Sarawak yang berlaku baru-baru ini – RM400 juta!!  [Lihat: Kes Kakak Sheila Majid Fail Tuntutan Fasakh Ditunda http://www.mstar.com.my/cerita.asp?sec=mstar_mahkamah&file=/2011/3/24/mstar_mahkamah/20110324143836]. Persoalan yang ingin kita ajukan kepada seluruh rakyat Malaysia adalah apakah anak Taib Mahmud itu akan boleh memiliki kekayaan yang sebegitu besar jika bapanya tidak menjadi Ketua Menteri? Kalau anaknya sahaja memiliki kekayaan yang sebegitu besar, bagaimana pula dengan ayahnya? Umum mengetahui Taib Mahmud sudah menjadi Ketua Menteri Sarawak sejak 30 tahun yang lepas. Terlampau banyak cerita-cerita sensasi tersebar mengenai kekayaan beliau yang luar biasa jumlahnya samada di dalam negara mahupun luar negara. Ketika dikatakan “Perdana Menteri dapat memahami gambaran keseluruhannya mengenai keadaan sekolah di Sarawak, yang banyak dah lapuk.  Saya mengucapkan terima kasih atas perhatian khas ini,” , kita dapat membayangkan betapa rakusnya para kapitalis hari ini merompak kekayaan yang menjadi milik rakyat. Hutan dan balak adalah milik umat. Minyak adalah milik umat. Namun,  kepada siapa kekayaan itu mengalir? Justeru itu sudah tiba masanya umat Islam khususnya di Sarawak berubah untuk menolak kerakusan para perompak harta rakyat dengan membuang para politikus sekular ini dari terus berkuasa.

Tidakkah berita di atas membuktikan betapa khianatnya pemimpin sekular yang ada hari ini kepada rakyatnya sendiri sehingga keperluan asas untuk mendapat pendidikan dilalaikan di negeri yang penuh dengan kekayaan ini?? Sedangkan, dalam masa yang sama para pemimpinnya dan kroni-kroninya kaya raya. Apa yang pasti, umat Islam di dunia ini umumnya dan rakyat di Sarawak khususnya memerlukan Khilafah. Wahai umat Islam di Sarawak! Bergabunglah dengan kelompok yang berusaha untuk menegakkan kembali Khilafah, sebuah sistem pemerintahan yang akan menerapkan Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Firman Allah SWT: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ al-anbiyaa’ (21) : 107].