Aktiviti Maksiat Mudah Berlangsung, Dakwah Islam Terus Dikepung

altAlasan Buat Kerja Amal

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila satu pertandingan ratu mak nyah dianjurkan secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di pantai timur dengan berselindung di sebalik motif kerja amal untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Lebih menggemparkan, Metro Ahad difahamkan, pertandingan Miss Malaysia 2010 membabitkan ratu dari seluruh negara itu turut dihadiri golongan kenamaan bergelar Datuk dan artis terkenal, Noraniza Idris yang bertindak sebagai juri.  Penganjur dikatakan memilih negeri berkenaan sebagai tuan rumah berikutan kekaburan undang-undang syariah di negeri itu untuk menghukum golongan mak nyah jika berpakaian dan berkelakuan seperti wanita di khalayak. Pertandingan ratu cantik mirip di Pattaya, Thailand itu terbongkar selepas didedahkan di beberapa laman web sejak Selasa lalu.  Susulan itu, wartawan Metro Ahad berjaya menjejaki salah seorang peserta pertandingan berkenaan untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai acara itu.

Lina (bukan nama sebenar) berkata, program yang diadakan pada malam itu bertujuan mengutip derma bagi badan dan pertubuhan kebajikan di sekitar negeri berkenaan. Katanya, pertandingan berkenaan diadakan tahun lalu di sebuah hotel bertaraf empat bintang di sebuah negeri di pantai timur. Menurutnya, rata-ratanya disertai individu beragama Islam dan kebanyakannya sudah menukar jantina menerusi pembedahan dan suntikan hormon. “Kami tidak takut menyertai pertandingan itu kerana pihak penganjur menjelaskan negeri berkenaan tidak mempunyai undang-undang yang boleh disabitkan kepada golongan mak nyah mahupun penganjuran program berkenaan.

“Apapun, pertandingan ini bukan untuk suka-suka saja, kami juga terbabit dalam kerja amal. Dalam kata lain, sambil ‘enjoy’, buat benda baik,” katanya. Rakaman video selama 7 minit 10 saat itu dimulakan dengan paparan temubual sebahagian daripada 30 peserta yang mewakili negeri masing-masing. Menerusi penyertaan pertandingan ratu cantik pondan itu, golongan terbabit dikatakan berada di puncak impian apabila berpeluang merubah diri menjadi wanita yang tampil dengan gaya anggun dan menawan, selain meraih pelbagai gelaran.  Berdasarkan rakaman video berkenaan, rata-rata peserta pondan yang menyertai pertandingan itu terdiri daripada remaja dan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an. Ketika acara berlangsung, tanpa segan silu peserta menggayakan pelbagai gaun seksi dan baju tradisional negeri masing-masing lengkap dengan pelbagai aksesori sambil berjalan ‘catwalk’ persis model dan cuba mengikuti penampilan artis terkenal tanah air. 

Malah, wajah beberapa peserta seakan-akan pelakon wanita popular dan antaranya ‘Rozita Che Wan’ dan ‘Tiz Zakiah’.  Bagi menambah tarikan, pertandingan itu turut menyelitkan acara nyanyian secara ‘miming’ sambil menari mengikut rentak lagu yang disampaikan. Selepas tamat pertandingan nyanyian, kelibat Noraniza kelihatan menyanyikan lagu untuk menghiburkan pengunjung, selain menjadi juri pertandingan ratu cantik terbabit.  Pada penghujung acara, peserta dibahagikan kepada beberapa kategori dan pemenang gelaran Miss Malaysia 2010 itu diberikan kepada peserta dari sebuah negeri di utara.

Sumber : My Metro

 

Aktiviti Maksiat Mudah Berlangsung, Dakwah Islam Terus Dikepung
Golongan lembut yang lebih dikenali sebagai “mak nyah” merupakan golongan lelaki yang menyerupai perempuan. Sesetengah orang turut mengklasifikasikan golongan ini sebagai “sotong” ataupun “bapok”. Walau apa pun gelaran yang diberikan, golongan ini bukan sahaja mengubah penerampilan seperti pakaian dan tingkah laku sebagai seorang perempuan, malah ada juga yang bertindak lebih nekad dengan melakukan pembedahan jantina ataupun implan payudara. Majlis seperti pertandingan “Miss Malaysia 2010” ini bukan sahaja membuktikan betapa teruknya pelaksanaan undang- undang syariat Islam di Malaysia sehingga memberi ruang kepada aktiviti maksiat berleluasa serta terbuka, malah ia turut membuktikan betapa lemahnya tahap berfikir Islam di kalangan umat. Ini kerana, mereka menganggap gologan May Nyah ini merupakan golongan yang tidak bermasalah dengan alasan bahawa sikap “lembut” mereka itu adalah semulajadi, sedangkan di dalam hadis Rasulullah dengan jelas mencela golongan seperti ini. Abu Hurairah ra meriwayatkan

“Rasulullah SAW telah melaknat seorang lelaki yang berpakaian mengenakan pakaian wanita dan seorang wanita yang berpakaian mengenakan pakaian lelaki” [HR al-Hakim, dan ia mensahihkannya].

Dan dari Ibn Abbas RA, ia menuturkan:

“Rasulullah SAW telah melaknat lelaki yang bertingkahlaku seperti wanita dan seorang wanita yang bertingkahlaku seperti lelaki. Rasulullah SAW bersabda: Keluarkanlah mereka dari rumah-rumah kalian. Ibn ‘Abbas berkata: “Maka Nabi SAW pernah mengeluarkan si Fulan dan Umar juga pernah mengeluarkan si Fulan.”   [HR al-Bukhari].

Celaan daripada Rasulullah ini jelas menunjukkan keharaman bagi seseorang lelaki mahupun wanita daripada menyerupai jantina yang berlawanan. Sikap para pemimpin yang membiarkan program maksiat seperti ini berleluasa, tetapi dalam masa yang sama mengekang dan menghalang para pendakwah Islam daripada melakukan kerja- kerja dakwah merupakan suatu yang amat keji. Mereka sepatutnya menggalakkan aktiviti menyeru kepada Islam dan menghalang aktiviti maksiat sekiranya mereka masih ada rasa iman di dada. Semoga apa yang berlaku semakin membuka banyak mata di kalangan umat dan seterusnya berjuang bersama- sama untuk merealisasikan Islam di dalam kehidupan bernegara yang akan melenyapkan golongan mak nyah ini daripada terus wujud.