Pesta Maksiat Terus Direstui Pemimpin

altMELAKA 4 Jun – Lautan manusia mencecah lebih 30,000 pengunjung terhibur menyaksikan Konsert Pancaindera anjuran Mingguan Malaysia sempena Majlis Perasmian Pesta Sungai Melaka 2011 di Taman Rempah Pengkalan Rama, di sini, malam ini.

Konsert yang berlangsung selepas majlis perasmian oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam itu jelas memuaskan hati pengunjung yang memenuhi setiap ruang bagi menyaksikan persembahan 13 artis popular tanah air. Kehadiran Mawi, Marsha, Adira, Fazli Zainal, Shahir, Fizo Omar, Jehan Miskin, Kamal Adli, Roslan Shah, Didie Alias, Kumpulan Kristal, Sivakumar dan Super Girl ternyata memeriahkan suasana pesta.
Konsert dibuka dengan celoteh spontan gandingan dua pengacara terkenal, Didie Alias dan Roslan Shah yang berjaya membuatkan pengunjung tidak kering gusi. Sementara itu, Adira yang popular dengan lagu Ku Ada Kamu memulakan persembahan sebelum Mawi mengambil tempat membawakan lagu Serulah Namanya.
Shahir pula mencuri perhatian peminat dengan tangan kiri berbalut akibat keretakan tulang setelah terjatuh di bilik air. Keistimewaan konsert kali ini apabila turut melibatkan artis baru, Sivakumar dan Super Girl yang masing-masing membawa dua buah lagu berbahasa Tamil dan Mandarin. Konsert ini julung-julung kali diadakan sempena Pesta Sungai Melaka sejak ia dianjurkan pada 2007. Terdahulu pada sebelah petang, artis dibawa menaiki bot Melaka River Cruise menerusi program sepetang bersama artis.
 
Sumber : Utusan Online : 05/06/2011


Pesta Maksiat Terus Direstui Pemimpin


Dalam keadaan umat Islam di seluruh  dunia sedang menghadapi pelbagai permasalahan, nampaknya umat Islam di Malaysia terus leka berhibur dan berseronok. Rata-rata, umat Islam di Malaysia lebih gemar menenggelamkan diri dalam kelalaian berbanding menyibukkan diri dalam perkara-perkara yang diredhai Allah. Malah lebih menyedihkan, kelalaian-kelalaian ini adalah di bawah “restu” pemimpin kaum muslimin. Konsert sempena Pesta Sungai Melaka kali ini menghidangkan rakyat dengan pelbagai perkara yang nyata melalaikan, dan mempromosikan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Sudahkah kaum muslimin  lupa akan tanggungjawab mereka untuk mengembalikan kehidupan Islam di tengah- tengah masyarakat? Apakah mereka akan terus redha dengan kemungkaran yang diizinkan oleh pemerintah sekular pada masa ini? Bukankah merupakan tanggungjawab kita untuk memuhasabah para pemimpin yang lalai ini serta menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran daripada berlaku?

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikkan (Islam), menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.

[TMQ Ali Imran (3):104].

Marilah kita renungi aktiviti seharian kita, apakah ia mengarah kepada suatu yang diredhaiNya atau tidak? Fokuskanlah aktiviti seharian kita kepada Islam dan bukannya  aktiviti yang tidak berfaedah, apatah lagi dengan aktiviti maksiat. Bukankah menjadi keinginan kita untuk bertemu dengan Allah ‘bi qalbin saleem’?