Pesta Maksiat Di Malam Tahun Baru

new-yearMenjelang tahun baru 2013, Malaysia secara lazimnya adalah seperti negara-negara lain di seluruh dunia, yang akan membuka tirai tahun baru Masehi dengan pelbagai acara, baik yang diselenggara oleh Negara mahupun yang ditaja oleh syarikat-syarikat swasta.

Di Kuala Lumpur misalnya, beberapa lokasi dipilih untuk mengadakan majlis sambutan tahun baru. Kebiasaannya, kita akan menyaksikan pertunjukan bunga api, konsert persembahan artis popular serta acara-acara menarik yang lain. Manakala pada tahun ini, di pusat pentadbiran negara Putrajaya pula, Konsert Ambang 2013 Putrajaya anjuran Kumpulan AmBank diadakan di Dataran Putrajaya bermula pukul 5 petang.

Itulah imbasan beberapa acara yang disajikan kepada rakyat khususnya di Malaysia ketika menjelangnya detik tahun baru saban tahun. Mungkin tidak ramai yang menyedari tentang hakikat bahawa semua acara yang dilakukan ini adalah suatu bentuk kemaksiatan yang nyata di sisi Islam. Bermula dengan konsert-konsert hiburan dan nyanyian dengan pendedahan aurat dan cara pemakaian artis yang tidak menepati syarak, sehinggalah wujudnya percampuran di antara lelaki dan wanita ketika majlis diadakan. Apa yang jelas, kesemuanya tidak mematuhi kehendak syariat Islam.

Dari sini kita dapat melihat bahawa acara tahun baru yang diadakan pada setiap tahun itu terlalu banyak perilaku yang tidak selari dengan ajaran Islam, kerana terdapat banyak unsur-unsur yang melibatkan hadharah yang bertentangan dengan akidah Islam. Budaya yang dipaparkan jelas-jelas terpancar daripada fahaman sekularisme yang berlandaskan kepada pemisahan agama dengan kehidupan yang memberikan manusia kebebasan semahunya untuk bertingkah-laku.  Di samping itu, Allah SWT melarang bagi kita untuk tolong menolong di dalam keburukan:

“Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan jangan sekali-kali kamu memberi pertolongan di atas perkara kejahatan dosa yang membawa kepada perseteruan, dan takut olehmu akan Allah. Sesungguhnya Allah akan mengenakan seksaan yang amat dasyat”. (TMQ al-Maidah [5]: 2)

Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa acara sambutan tahun baru ini bukan sahaja haram di sisi syarak, bahkan ianya juga menyumbang kepada budaya hedonism, akhlak yang buruk dan melibatkan perbelanjaan harta di jalan yang tidak sepatutnya