Sambutan tahun baru: menjunjung maksiat dan hedonisme

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kedatangan 2014 disambut dengan penuh meriah oleh negara. Sambutan tahun baru 2014 telah berlangsung secara serentak di beberapa tempat di seluruh negara antaranya di Dataran Putrajaya, Dataran Merdeka, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur City Centre dan tidak terkecuali di beberapa negeri yang turut meraikannya.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada 20 Disember 2013 yang lalu, sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan untuk pesta sambutan tahun baru di samping beberapa lagi program membabitkan Tahun Melawat Malaysia 2014 di sekitar ibu kota. Sesungguhnya ini merupakan satu pembaziran yang nyata! Bayangkan apa yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak itu jika digunakan untuk membantu fakir miskin atau golongan yang memerlukan atau setidak-tidaknya jika digunakan untuk memperbaiki dan meningkatkan infrastruktur dan pelbagai masalah di Kuala Lumpur.

Bukan sedikit dana yang dibelanjakan untuk sambutan yang tiada asasnya dalam Islam ini. Tatkala rakyat diseru supaya berhemah dalam berbelanja, inilah ‘teladan’ yang ditunjukkan oleh kerajaan! Tidak sah sambutan tahun baru sekiranya tidak disertai dengan konsert, nyanyian dan joget yang kesemuanya adalah hiburan yang tidak berfaedah dan melalaikan. Juga, tidak sah sambutan tahun baru jika tidak ada percikan bunga api dan pelbagai persembahan yang kesemuanya menelan jutaan ringgit. Wang siapa yang digunakan jika tidak wang rakyat? Ikhtilat (percampuran) antara lelaki-perempuan sudah tidak perlu diperkatakan lagi pada malam sambutan tersebut. Justeru, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pesta tahun baru ini sebenarnya tidak ada bezanya dengan pesta maksiat, malah lebih buruk kerana kemaksiatan itu dilakukan secara terang-terangan.

Inilah manifestasi dari budaya hedonisme yang semakin membarah di bumi Malaysia ini. Budaya hedonisme sebegini merupakan satu bentuk proses pembodohan yang diambil daripada hadharah kuffar Barat, yang tidak lain bertujuan untuk menjauhkan umat daripada Islam. Kebejatan moral dan keruntuhan institusi sosio-politik ini sebenarnya tidak lepas dari natijah penerapan sistem demokrasi-kapitalisme yang bertunjangkan prinsip-prinsip kebebasan – antara lain kebebasan bertingkah laku – yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam yang murni.

Tidak dinafikan bahawa telah timbul kesedaran dalam sebahagian umat Islam terhadap kebejatan yang berleluasa pada hari ini sehingga pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk mengalihkan perhatian umat khasnya golongan belia daripada terus hanyut dalam kemaksiatan sempena sambutan tahun baru ini. Ada pihak yang menganjurkan program-program alternatif yang bersifat kerohanian di masjid-masjid. Jika program-program seumpama ini dijalankan dengan baik, maka usaha-usaha sebegini memang wajar dipuji. Namun, dalam pada itu, kita perlu sedar bahawa usaha-usaha sedemikian tidak lebih daripada sekadar merawat simptom semata-mata kerana ia hanya berupa “pengalihan” masalah tanpa menangani punca sebenar kepada permasalahan ini.

Untuk melakukan perubahan dan penyelesaian tuntas, akar kepada masalah tersebut hendaklah dicabut, bukan dialihkan. Sesungguhnya akar kepada masalah itu ada dua yakni penerapan sistem yang rosak dan juga pemimpin yang rosak. Sistem kufur demokrasi yang diterapkan hari inilah yang telah melahirkan kerosakan ini dan banyak lagi kerosakan lainnya. Justeru ia hendaklah diganti dengan sistem Islam (Khilafah) dan hendaklah ada seorang pemimpin yang bergelar Khalifah yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Dengan adanya Khalifah dan Khilafah, maka Insya Allah bukan sahaja Malaysia, malah seluruh dunia Islam akan berada dalam kebaikan dan limpahan rahmatNya.