Kaji semula caj 6.0 peratus cukai perkhidmatan – Najib

altKUALA LUMPUR 9 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta syarikat telekomunikasi supaya mengkaji semula keputusan mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6.0 peratus kepada pengguna ke atas produk tambah nilai dan pek permulaan kerana keputusan itu kini dilihat membebankan rakyat. 

Najib berkata, keputusan itu yang diambil sendiri oleh syarikat telekomunikasi merupakan satu keputusan yang tidak popular selepas beliau mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pengguna.  Menurutnya, fokus utama ketika ini sepatutnya untuk mengurangkan beban rakyat dan bukannya mengambil keputusan untuk menambah beban itu. 

“Saya dah dapat banyak reaksi dan maklumat timbal balas daripada orang ramai bahawa langkah yang dibuat oleh syarikat telekomunikasi mengenakan cukai perkhidmatan kepada pengguna adalah suatu yang tidak popular dan sukar diterima oleh rakyat.  “Saya berharap syarikat telekomunikasi dapat kaji semula langkah ini kerana hari ini kita hendak kurangkan beban kepada rakyat.  ”Kini rakyat terpaksa menanggung kos perbelanjaan serba-serbi dan ada sesetengah bahan makanan sudah bertambah harga, kita hendak kurangkan bebanan pada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan logo baharu Maybank di Menara Maybank di sini hari ini.  Najib berkata, kerajaan tidak pernah meluluskan apa-apa berkenaan caj cukai 6 peratus berkenaan sebaliknya ia dibuat syarikat telekomunikasi sendiri.  “Kita tidak pernah luluskan, keputusan dibuat pihak syarikat telekomunikasi sendiri,” katanya.  Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, mengulas satu kenyataan bersama syarikat telekomunikasi semalam yang mengumumkan caj berkenaan akan dikenakan kepada produk-produk prabayar bermula Khamis depan.  Menurut kenyataan itu, cukai perkhidmatan bukan sesuatu yang baru, namun sejak perkhidmatan prabayar diperkenalkan pada 1998 cukai berkenaan diserap oleh syarikat telekomunikasi.  Langkah itu diambil bagi memastikan perkhidmatan prabayar mudah alih kekal kompetitif berikutan kadar panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) prabayar adalah tinggi berbanding pasca bayar.  Dengan cukai perkhidmatan 6.0 peratus terhadap perkhidmatan prabayar, pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, yang mana 60 sen adalah cukai perkhidmatan.

Sumber : Utusan Malaysia: 09/09/11
 

Caj 6.0 peratus. Apakah Najib akan diangkat menjadi hero seperti Superman dalam sandiwara ini? Sama-sama kita tunggu.
Najib nampaknya cuba menonjolkan diri sebagai seorang pemimpin yang kononnya prihatin dengan masalah dan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Faktanya kehidupan rakyat hari ini semakin hari semakin tertekan dengan pelbagai bentuk cukai akibat dari penerapan sistem kapitalisme yang jalankan oleh beliau sendiri dan juga para pemimpin sekular terdahulu. Sememangnya cukai dan sistem ekonomi kapitalisme adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Ibarat kata pepatah seperti isi dengan kulit. Sumber pendapatan utama dan yang paling utama bagi sesebuah negara sekular kapitalis adalah cukai. Hakikatnya kerajaan sekular kapitalisme yang wujud hari ini hidup di atas penderitaan rakyat yang secara berterusan dibebankan dengan pelbagai bentuk cukai. Kalau benar Najib ingin mengurangkan beban rakyat maka sewajibnya beliau menghapuskan semua bentuk cukai yang dikenakan kepada rakyat selama ini. Cukai perkhidmatan sebanyak 6.0 peratus yang ingin dikenakan kepada para pengguna perkhidmatan produk tambah nilai dan pek permulaan oleh syarikat telekomunikasi seperti yang diura-urakan adalah sesuatu yang sebenarnya telahpun dikenakan kepada rakyat sejak sekian lama dulu oleh pelbagai perkhidmatan yang lain. Bagaimana dengan caj cukai yang dikenakan di Restoran KFC, McD, bil perkhidmatan Telekom dan juga lain-lain lagi bentuk cukai yang bersifat langsung mahupun tidak langsung seperti kutipan tol di 27 lebuhraya seluruh Malaysia dan lain-lainnya? Sedangkan hakikatnya kesemuanya itu adalah bentuk cukai yang diharamkan di sisi Islam walaupun dengan pelbagai bentuk alasan yang diberikan.

Najib dalam isu ini telah berpura-pura dengan menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang prihatin kepada permasalahan rakyat.. Bukankah ini suatu bentuk sandiwara mainan di mana Najib cuba untuk terus memperbodohkan rakyat? Kepada para pemerintah sekular yang masih terus menerapkan sistem sekular kapitalisme … Takutlah kamu dengan peringatan dari Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai (mukus)”
[HR Ahmad, Abu Daud & Hakim].

Rasulullah juga bersabda,

“Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad].

Wahai seluruh umat Islam! Ketahuilah bahawa Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam adalah orang yang paling menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, namun tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda memungut cukai atas alasan untuk memperoleh pendapatan negara, untuk pembangunan negara dan sebagainya. Tidak pernah terjadi bahawa Rasulullah melakukan hal ini, malah yang berlaku adalah sebaliknya, bahawa apabila mendengar sahaja ada pungutan cukai ke atas barangan yang diimport di sempadan, Rasulullah terus melarangnya. Sabda baginda,

“Sekiranya kamu mendapati pemungut usyur (cukai yang dipungut di sempadan @ cukai import-export), maka bunuhlah dia” [HR Ahmad].

Apa yang pastinya rakyat akan terus dihimpit dengan pelbagai bentuk cukai selagi mana sistem ciptaan manusia ini terus diterapkan. Untuk itu sudah saatnya Khilafah memimpin dunia dengan suatu sistem kehidupan baru yang akan membebaskan manusia dari bebanan dan penindasan serta kezaliman yang diciptakan oleh sistem ciptaan manusia. Sudah sampai saatnya umat hari ini bangkit untuk menolak sistem sekular kapitalisme ini dengan meninggalkan para pemimpin sekular sedia ada. Sila baca: SN151 – TOL : SAMPAI BILA PEMERINTAH MAHU MENANGGUNG DOSA?