Kondusif Untuk Hudud Atau Hudud Untuk Kondusif
KOTA BHARU 20 Sept. – Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan sekarang bukan masa yang sesuai untuk negara ini melaksanakan hukum hudud. Beliau berkata, hukum Allah itu akan hanya dapat dilaksanakan sekiranya keadaan negara ini benar-benar kondusif dengan memastikan keamanan dan keadilan benar-benar wujud terlebih dahulu. Katanya, perkara paling penting sekarang ialah mempromosikan hudud dengan cara yang positif bagi mengelakkan salah anggap kerana hudud mempunyai maksud yang luas dan bukan hanya melibatkan hukuman terhadap pesalah semata-mata.
“Pada saya Malaysia tidak kondusif lagi untuk melaksanakan hudud tetapi tidak boleh kata tidak, kita kena usaha wujudkan suasana kondusif, kita mudahkan yang halal dan sukarkan yang haram, maka ketika itu baru hudud boleh dilaksanakan.
“Saya melihat ada beberapa pihak yang bercakap mengenai hudud, satu ikhlas untuk melaksanakannya tetapi kurang faham tentang latar belakang hudud, mereka hanya terfikir potong tangan orang mencuri selesai tanggungjawab sedangkan tanggungjawab bermula sebelum daripada itu.
“Golongan kedua pula anti hudud disebabkan satu pihak yang memberikan promosi negatif maka reaksinya adalah negatif, maka kita berharap ada promosi positif dan kita akan mendapat reaksi positif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada Majlis Sambutan Hari Hududullah di Balai Islam Lundang di sini hari ini. Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya sentiasa berharap dapat melaksanakan hudud di negara ini biar pun ditentang hebat oleh sekutunya dalam pembangkang. Mohd. Asri berkata, dorongan politik yang kuat harus ada sekiranya hudud ingin dilaksanakan di negara ini.
“Banyak aspek perlu dilihat untuk melaksanakan hudud, kita perlu berikan keadilan, keamanan dan keharmonian baru boleh dilaksanakan supaya nanti tidak ada salah faham dari kalangan bukan Islam dan dunia luar.
“Pada masa sama juga perlu ada ijtihad baru dan bukan hanya terikat dengan teks lama semata-mata supaya ia sentiasa sesuai dengan keadaan semasa dan dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia,” katanya.
Sumber : Utusan Online 21/9/2011
Kondusif Untuk Hudud Atau Hudud Untuk Kondusif
Beginilah cara menjawab isu melalui pemikiran pragmatisme. Hudud merupakan sebahagian hukum Allah yang wajib dilaksanakan sepertimana solat, puasa, haji, zakat. Disisi hamba-Nya, tuntutan (kewajipan) itu adalah sama cuma pelaksananya yang berbeza. Hudud dilaksana oleh negara sedangkan solat dilaksana oleh individu muslim. Namun disisi Allah Ta’ala yang menurunkan perintah itu, hudud dan solat tidak ada beza, kedua-duanya wajib dilaksana baik dalam keadaan kondusif atau tidak.
Pemikiran pragmatik (waqi’iyin) sentiasa menjadikan realiti (suasana semasa) sebagai subjek berfikir dan kaedah melahirkan penyelesaian. Bagi pemikiran jenis ini, Al-Quran, As-Sunnah hanya dijadikan alat bagi mengabsahkan tindakan mahupun kata-kata. Mereka merendahkan martabat Al-Quran dan As-Sunnah sebagai peraturan hidup yang sepatutnya menjadi subjek kepada perubahan objek. Akibatnya, lahirlah kenyataan-kenyataan yang agak ‘sopan’, mempunyai nilai-nilai sejagat seperti tolenrasi bahkan kompromi. Inilah golongan moderate (sederhana; tidak begitu teguh pegangan agamanya, tidak pula teguh pegangannya kepada keduniaan) yang sentiasa menghancurkan institusi Islam biarpun ijazah pengajian Islam yang mereka miliki memenuhi dinding-dinding pejabat!
Mereka tidak sedar bahawa pemikiran yang mereka miliki merupakan racun dari Barat. Mereka menganggap Islam sesuai dengan keadaan sedangkan sebaliknya, keadaanlah yang perlu disesuaikan dengan Islam. Rasulullah SAW berjuang menerapkan Islam diatas mukabumi walau tidak disenangi oleh kaum kafir, munafik mahupun fasik. Namun apakah manhaj golongan moderat ini mencontohi manhaj kenabian? Sudah pasti ia bertentangan. Nyata sekali bahawa penerapan hukum Allah tidak boleh diukur dengan suasana mahupun kesediaannya, namun ia perlu diterapkan agar manusia akur dan tunduk dengannya. Setelah itu barulah suatu suasana akan muncul. Suasana taqwa dan penuh keimanan kepada Allah seperti itu tidak mungkin lahir dalam kehidupan kufur yang dinaungi dengan sistem demokrasi, monarki, teokrasi, autokrasi atau seumpamanya melainkan Khilafah Rasyidah atas manhaj kenabian.