Judi Haram dan Judi Halal

altMELAKA 23 Sept. – Kegiatan mesin judi haram yang berleluasa sejak kebelakangan ini di Melaka didakwa berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mesyuarat Exco kerajaan negeri dua minggu lalu memutuskan supaya pesalah tidak lagi diberi kompaun sebaliknya terus diheret ke mahkamah.

Bagaimanapun katanya, keputusan tersebut tidak dipatuhi PBT yang masih mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis yang menjalankan kegiatan itu, malah turut memberi tempoh 14 hari untuk memulangkan peralatan.

“Saya tidak berpuas hati dengan cara PBT bertindak menangani kegiatan judi haram ini. Saya kecewa kerana pihak berkenaan tidak faham prosedur yang kerajaan negeri putuskan dalam mesyuarat Exco dua minggu lalu.
“Tidak boleh lagi kompaun atas kesalahan ini dan musnahkan mesin judi yang dirampas. PBT tidak boleh terlalu lembut dalam bertindak untuk menangani kegiatan mesin judi haram,” katanya. Beliau berkata demikian selepas meninjau dua premis di Taman Bunga Bukit Beruang di sini yang pernah diserbu oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya kerana menjalankan kegiatan judi haram sejak beberapa bulan lalu. Menurutnya, Exco kerajaan negeri telah bermesyuarat dua kali bagi membincangkan perkara itu sejak dua minggu lalu dan memutuskan agar PBT merampas peralatan mesin judi, menyita premis, mendakwa pemilik dan memusnahkan mesih judi bagi mengelak ia merebak ke tempat lain, namun tidak dipatuhi oleh PBT.

Sehubungan itu kata beliau, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Omar Kaseh akan mempengerusikan mesyuarat pelaksanaan arahan yang diputuskan baru-baru ini dengan disertai PBT terlibat, polis, Tenaga Nasional Berhad dan agensi berkaitan. Kata Mohd. Ali, SUK akan menyelaras tindakan penguatkuasaan PBT terlibat termasuk memastikan arahan yang ditetapkan dipatuhi. Jelasnya, tindakan merampas mesin judi haram oleh PBT dan polis tidak mencukupi sebaliknya langkah penguatkuasaan yang berkesan serta tegas harus diambil bagi menghapuskan sepenuhnya kegiatan tersebut. Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan mesin judi haram kepada pihak berkuasa termasuk beliau sendiri melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau laman sosial Facebook bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Sumber: Utusan Online, 24/09/2011
 

Ada Judi Haram dan Judi Halal?


Perbuata berjudi bukan sahaja diharamkan di dalam Islam, malah kesannya juga adalah amat buruk terhadap masyarakat.  Allah telah berfirman:

”Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 90].

Namun begitu, bagi kerajaan sekular BN, yang penting sesuatu kegiatan judi itu harus mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Di sebabkan itulah, di bawah pemerintahan BN, wujudnya apa yang dikatakan “judi haram” dan “judi halal”. Mana tidaknya, “judi haram” yang dimaksudkan itu adalah kerana ia tidak diberi lesen oleh pemerintah manakala “judi halal” pula ialah premis- premis judi yang diberi lesen untuk beroperasi. Lihat sahaja kewujudan premis judi berlesen terbesar yang dibenarkan oleh pemerintah di Genting Highland. Apakah ingin dinafikan oleh kerajaan BN?

Mungkin juga dengan kewujudan premis-premis “judi haram” ini, ia telah memberikan saingan kepada premis-premis “judi halal” sehingga menjejaskan pendapatan mereka dan mengurangkan cukai perniagaan judi yang merupakan di antara penyumbang yang utama kepada Negara. Mungkin inilah yang menjadi pertimbangan terbesar apabila pemimpin yang penuh dengan rasuah cuba untuk memerangi aktiviti judi haram ini!

Tidak kiralah sama ada ia diberi lesen mahupun tidak oleh pemerintah, aktiviti perjudian tetap suatu keharaman dan pemerintah wajib menutup semua premis perjudian dan menghalang semua aktiviti seumpamanya. Malah, masyarakat juga haruslah dididik agar menjauhi aktiviti perjudian, bukan sekadar kerana ia banyak memberi kemudaratan kepada masyarakat, tetapi ia bertentangan dengan perintah dan larangan Allah supaya kesedaran yang timbul bukan sekadar kerana penguatkuasaan undang- undang oleh negara tetapi ia juga timbul atas dasar ketakwaan individu kepada perintah dan larangan Allah. Wallahu a’lam.