Vape: Apabila halal-haram jadi bahan mainan

photo_2015-11-05_15-35-30Penggunaan rokok elektronik atau vape yang semakin popular sekarang ini, telah pun difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini. Pengerusinya, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, keputusan itu mengguna pakai hukum menghisap shisha yang telah diputuskan sebelumnya.

“Kita sudah bincangkan rokok dan shisha dan kita boleh samakan dengan vape. Apabila cukup dapatan iaitu yang pertama membahayakan, kedua membazir dan ketiga memudaratkan daripada segi kesihatan, maka apabila perakuan-perakuan ini sama, maka kita mengatakannya haram”, tegas beliau.

Manakala Kabinet pada Jumaat lepas memutuskan untuk tidak mengharamkan rokok elektronik atau vape. “Ini berita baik kepada pengguna vape, pembuat perisa vape dan penjual vape. Kabinet hari ini memutuskan untuk tidak mengharamkan vape. Terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang memahami aspirasi belia,” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di laman Facebooknya.

Bagi yang celik politik, percanggahan ini bukanlah suatu yang mengejutkan pun. Dalam sebuah negara demokrasi dan negara penganut Kapitalisme seperti Malaysia, kita semua maklum yang agensi agama diwujudkan oleh orang politik dan untuk kepentingan politik. Dalam banyak keadaan, agensi agama hanya digunakan untuk ‘menghalalkan’ apa sahaja tindakan kerajaan. Kaki tangannya terdiri daripada mereka yang makan gaji dengan kerajaan yang ‘memustahilkan’ mereka memutuskan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak majikannya.

Jika tersalah berlaku keputusan agensi agama bertentangan dengan keputusan kerajaan, persoalannya, keputusan siapakah yang benar dan mesti dipatuhi?

Menurut ajaran demokrasi, undang-undang dibuat oleh manusia dan parti pemerintah yang terdiri dari sekumpulan manusia yang memegang suara majoriti di Parlimen, mereka adalah golongan yang ‘paling berkuasa’ untuk membuat undang-undang, sekali gus menentukan halal dan haram untuk masyarakat. Jadi, keputusan kabinet untuk tidak mengharamkan vape itu memang selaras dengan ajaran demokrasi kerana di tangan kabinet-lah, terletaknya keputusan halal dan haram bagi sesuatu perbuatan. Dalam apa jua keadaan, keputusan kabinet adalah “benar” dan “wajib” dipatuhi.

Manakala agensi agama pula, bidang kuasa dan keberanian mereka hanya sebatas kepada perkara kecil-kecilan sahaja. Bab rokok, shisha, vape, makanan, minuman dan seumpamanya, mereka akan mengeluarkan fatwa dengan sungguh-sungguh dan berani. Tetapi bab haramnya sistem pemerintahan sekular, haramnya menerapkan hukum selain yang diturunkan oleh Allah, haramnya perbankan riba yang ada sekarang, haramnya bursa saham, haramnya insurans dan adik kembarnya, takaful, haramnya parti atau mana-mana pertubuhan yang berteraskan bangsa, haramnya orang kafir berada dalam pemerintahan dan banyak keharaman lainnya yang dilakukan oleh pemerintah, kesemua ini bukanlah mudah untuk dikeluarkan fatwanya. Keluarnya fatwa terhadap perkara-perkara ini, bermakna keluarnya si pembuat fatwa dari biliknya yang serba mewah yang tidak akan dapat dimasukinya lagi.

Inilah realiti politik dalam negara demokrasi-kapitalisme. Semuanya berasaskan manfaat, bukannya berasaskan hukum syarak. Jika ada manfaat, walaupun bertentangan dengan hukum syarak, maka manfaat akan didahulukan dan hukum syarak dicampak ke tepi. Halal dan haram ada di tangan manusia dan hanya menjadi bahan mainan dalam sistem kufur yang berasal dari Barat ini. Na’uzu billah min zalik.