UMNO Setia Mendakap Demokrasi

altKUALA LUMPUR 1 Dis. – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO bukan sebuah pertubuhan rasis sebaliknya sebuah parti yang mendakap demokrasi.  Malah UMNO tegas beliau, sebenarnya pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum yang akhirnya berjaya mencipta kestabilan sosial dan kemakmuran nasional.

Parti itu juga menurut Najib, bukan parti yang gentar terhadap demokrasi sebagaimana dituduh oleh seteru-seteru politik mereka.  ”Iltizam UMNO bagi menjayakan prinsip yang dipelopori jelas terpamer sejak dari awal lagi.

Sebagai contoh, dalam pilihan raya tahun 1955, untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan.  ”Prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan UMNO apabila kita meletakkan calon di hanya 35 kawasan, berbanding MCA, 15, dan MIC, 2. Walhal, daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti,” tegas beliau ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini hari ini.  Bagi pemimpin dan orang-orang UMNO kata Najib, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa.  Keikhlasan itu kata Perdana Menteri, dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.  ”Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang-orang UMNO untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar, yakni memenangi pilihan raya, kemudiannya, membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan,” katanya.  Najib berkata, dalam parti pula UMNO telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi.  Ia katanya, bertujuan memberi hak kepada lebih ramai ahli UMNO untuk memilih pemimpin mereka.  Sambil mengambil contoh tiga parti pembangkang utama, Najib menegaskan parti-parti itu tidak demokratik.  Antaranya kata beliau, jawatan Ketua Umum, sudahlah tidak dipilih secara demokratik, lebih berkuasa pula daripada Presiden parti manakala sebuah lagi parti yang memakai gelar demokrasi, namun, langsung tidak demokratik.  ”Sebuah lagi parti kononnya memperjuangkan negara kebajikan tetapi jawatan Mursyidul Am pun tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa daripada Presiden,” tegasnya.
 

Sumber : Utusan Malaysia: 02/12/11

 

Hinanya Apabila UMNO Berbangga Mendakap  Demokrasi

Semakin lama, semakin erat demokrasi didakap oleh sebahagian umat Islam terutamanya ahli-ahli UMNO. Mereka nampaknya begitu beria-ia untuk menunjukkan bahawa merekalah yang lebih demokratik berbanding dengan parti lain. Pihak pemerintah tanpa segan-silu mendabik dada bahawa mereka lebih demokratik dari parti pembangkang. Begitu jugalah sebaliknya. Tanpa rasa berdosa, golongan ini terus  yakin bergayut dan berdalil dengan demokrasi untuk memperjuangkan setiap idea yang mereka perjuangkan. Seolah-olah demokrasilah segala-galanya. Demokrasi dianggap sesuatu yang suci dan dikatakan sebagai jalan penyelesaian yang terbaik untuk menyelesaikan masalah  manusia amnya dan khususnya umat Islam.  Inilah kejayaan kuffar Barat di dalam usaha mereka mendoktrinisasikan idea kufur ini kepada pemikiran umat Islam secara terus-menerus.  Sedangkan secara normatifnya, demokrasi adalah suatu sistem pemerintahan kufur yang lahir dari akidah sekularisme yang pada hakikatnya adalah satu sistem yang merompak dan merampas hak Allah SWT sebagai musyari’. Golongan yang dipilih untuk menduduki jawatan legislatif di parlimen tanpa rasa takut malahan dengan bangganya mengubal undang-undang dan menerapkannya di dalam kehidupan bermasyarakat dan negara.
 

Justeru itu sebagai seorang Islam yang sedar akan keharaman sistem kufur ini, adalah wajar untuk kita membuang pemikiran-pemikiran tentang  demokrasi ini kerana realitinya pada hari ini kita dapat melihat musibah dan kerosakan yang dibawa oleh demorkasi kepada dunia amnya dan negeri-negeri umat Islam khususnya. Lihatlah kerosakan kehidupan sosial yang berlaku di dalam masyarakat hari ini, yang ternyata semakin parah dan membarah.  Saksilah betapa hancurnya kehidupan ekonomi bagi negara-negara yang menerapkan kapitalisme saat ini. Satu  contoh yang terdekat akan keburukan demorkasi yang diterapkan di Malaysia  adalah dengan lulusnya Akta Perhimpunan Aman setelah dibentangkan di parlimen baru-baru ini. Sedangkan secara jelas ianya adalah sesuatu yang haram di sisi Islam. Lihat: SN285 – ‘AKTA PERHIMPUNAN AMAN’ HARAM DI SISI ISLAM!. Kerana itu tidak ada perkara yang boleh kita banggakan dengan demokrasi dan perlaksanaannya kerana ia dengan amat jelas bertentangan dengan Islam.