Fathul Bari Seleweng Makna Pelaksanaan Takzir

fathul-bari-hududHudud timbulkan salah faham
KUALA LUMPUR 4 Dis. – Hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan mempunyai pelbagai kesalahan dan akibat daripada itu timbul salah faham masyarakat bukan Islam terhadap hukuman tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya justeru berkata, setiap kesalahan itu perlu kepada pembetulan dan selagi ia tidak diperbetulkan hudud tidak sesuai dilaksanakan di negeri berkenaan.

Beliau berkata, satu lagi perkara perlu diberikan perhatian hudud tidak boleh didatangkan dalam bentuk versi kerana ia merupakan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.

”Penjelasan mengenai takzir dan qisas yang juga merupakan cabang dalam hukum jenayah Islam juga perlu diperluaskan dan masyarakat bukan Islam wajar diberi penerangan mengenai hukum Islam secara keseluruhan berperingkat-peringkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya punca berlakunya salah faham masyarakat bukan Islam terhadap hukum hudud.

Dalam pada itu ketika menjadi ahli panel dalam Forum Awam: Hudud dan implikasi terhadap orang bukan Islam di Wisma MCA, di sini hari ini

Fathul Bari berkata, hukum di dalam Islam bukan setakat hukum hudud sahaja malah ia membabitkan tiga hukum paling utama iaitu akidah, syariah dan akhlak.

”UMNO tidak pernah menolak hudud kerana ini adalah hukum Allah tetapi doktrin yang ditanam oleh Pas telah menyebabkan masyarakat awam termasuk orang bukan Islam sering mengaitkan hukum Islam dengan perlaksanaan hukum hudud sedangkan ia turut mengandungi hukum takzir dan qisas.

”Masyarakat juga gagal diberi pemahaman bahawa hudud bertujuan untuk mencegah satu-satu perbuatan jenayah itu daripada berlaku dan satu lagi hukuman berkaitan hudud ini bukan mudah untuk dijatuhkan kerana ia tertakluk kepada syarat-syarat yang begitu ketat,” katanya.

Forum tersebut dirasmikan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Fathul Bari berkata, walaupun Malaysia tidak melaksanakan hudud itu tidak bermakna negara ini dikatakan gagal melaksanakan hukum Islam kerana takzir juga merupakan salah satu cabang dalam sistem perundangan Islam.

”Inilah masalahnya. Sebut sahaja hukum Islam kita menjurus kepada hudud. Persepsi ini timbul disebabkan doktrin Pas yang sengaja menyempitkan pengertiannya. Di Malaysia hukuman yang dikuatkuasakan termasuk di dalam takzir.

”Sebagai contoh hukuman penjara, denda dan rotan yang dikenakan ke atas kesalahan jenayah yang dilakukan sama ada di mahkamah sivil mahupun syariah dikategorikan hukuman dalam bentuk takzir,” katanya.
Beliau berjaya menarik perhatian hadirin apabila menjelaskan di dalam Islam mereka yang gagal disabitkan di bawah peruntukan hudud akan dihukum berdasarkan hukuman secara takzir.

”Saya juga ingin berkongsi bagaimana sukarnya hukum hudud ini hendak dijatuhkan. Sebagai contoh pada zaman Saidina Umar al-Khattab telah berlaku kemarau panjang dan berikutan daripada itu berlaku satu kecurian.

”Akhirnya si pencuri telah ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan. Bagaimanapun atas alasan kemarau panjang sipencuri itu telah dimaafkan.,” katanya.

Beliau mengambil satu contoh lagi apabila sebuah BMW X6 yang ditinggalkan di luar rumah dan kemudian telah dicuri.

”Menurut hukum hudud pencuri ini akan dikenakan potong tangan sekiranya sabit kesalahan tetapi disebabkan harta curian berada di luar rumah maka pencuri terbabit tidak dikenakan hukum hudud sebaliknya berpindah kepada takzir,” katanya lagi.

Sumber : Utusan Malaysia

Fathul Bari Seleweng Makna Pelaksanaan Takzir

Baru-baru ini, pihak MCA telah mengadakan forum yang bertajuk  “Hudud dan Implikasinya terhadap orang bukan Islam”  bertempat di Wisma MCA. Salah seorang pahli panel di dalam forum tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya. Terdapat banyak kejanggalan pada hujjah yang diketengahkan oleh Fathul Bari selaku ulama Parti Sekular UMNO berkenaan hudud di dalam Islam. Antaranya:

Pertama, beliau mengkritik hudud yang ingin dilaksanakan oleh PAS di Kelantan, yang mempunyai banyak kesalahan. Maka dari itu, hudud tidak boleh dilaksanakan di negeri berkenaan (Kelantan), katanya.

Jika beliau mengatakan bahawa hudud yang ingin diterapkan di negeri Kelantan ini adalah versi PAS dan banyak kesalahan, lalu mengapa beliau sendiri tidak mengemukakan versi hudud yang “sebenarnya” di dalam Islam sehingga hudud tersebut dapat diterapkan bukan hanya di Kelantan, bahkan di Malaysia secara keseluruhan. Ini adalah kerana,  penerapan hukuman hudud bukanlah tanggungjawab PAS, sebaliknya adalah merupakan kewajiban ke atas seluruh umat Islam secara qath’ie untuk diterapkan melalui bidang kuasa para penguasa umat Islam itu sendiri. Jika kita membahas isu ini dalam konteks Malaysia, adalah menjadi kewajiban bagi Najib, selaku orang nombor satu di Malaysia untuk menerapkan Islam dalam kehidupan umat termasuk salah satunya adalah menerapkan sistem ‘uqubat Islam, termasuklah hudud.

Kedua, ketika ditanya tentang salah faham yang berlaku di kalangan masyarakat bukan Islam tentang hukum hudud, Fathul Bari mengatakan; “Penjelasan mengenai takzir dan qisas yang juga merupakan cabang dalam hukum jenayah Islam juga perlu diperluaskan dan masyarakat bukan Islam wajar diberi penerangan mengenai hukum Islam secara keseluruhan dan berperingkat-peringkat,”

Dalam hal ini, beliau bukan sahaja tidak menjawab soalan, bahkan Fathul Bari sendiri tidak mempunyai pendirian yang tegas tentang hukum syariat  yang disebutkannya. Takzir dan qisas memanglah sebahagian daripada cabang pelaksanaan hukuman di dalam Islam (termasuk hudud dan mukhalafat). Namun begitu, memberikan penjelasan (pendidikan) berkenaannya adalah merupakan kewajipan bagi negara yang ingin menerapkan syariah Islam secara utuh. Hakikatnya, dalih yang diberikan (memberi penjelasan kepada rakyat secara berperingkat-peringkat) hanyalah sekadar ‘alasan’ lapuk kerana sudah menjadi pemahaman umum bahawa pihak pemerintah sekular sekarang ini tidak mempunyai niat sedikitpun untuk menerapkan sistem ‘uqubat Islam yang secara qath’ie wajib diterapkan. Fathul Bari faham akan perkara ini. Sekiranya beliau percaya dan yakin partinya akan benar-benar menerapkan Islam, beliau tidak akan berdolak-dalih dengan alasan tersebut tetapi terus menyeru dan memuhasabah orang atasannya agar menerapkan Islam secara kaffah tanpa dalih dan alasan. Dengan penerapan ini juga, pendidikan yang terbaik mengenai sistem Islam dapat diberikan kepada semua.

Ketiga,
Fathul Bari menegaskan di dalam ucapannya bahawa; “UMNO tidak pernah menolak hudud kerana ini adalah hukum Allah tetapi doktrin yang ditanam oleh Pas telah menyebabkan masyarakat awam termasuk orang bukan Islam sering mengaitkan hukum Islam dengan perlaksanaan hukum hudud sedangkan ia turut mengandungi hukum takzir dan qisas”.

Di sinilah letaknya kecelaruan utama cara berfikir Fathul Bari, di mana dia sendiri menyandarkan pelaksanaan hudud itu kepada PAS. Maka tidak hairanlah jika dia hanya mengupas tentang kesalahan-kesalahan yang diperjuangkan oleh PAS. Walhal dia dan UMNO tidak pernah sama sekali memperjuangkan hudud. Apatah lagi untuk diletakkan di dalam manifesto pilihanrayanya. Gajah di depan mata tidak dihiraukannya!

Keempat, Fathul Bari berkata, “walaupun Malaysia tidak melaksanakan hudud itu tidak bermakna negara ini dikatakan gagal melaksanakan hukum Islam kerana takzir juga merupakan salah satu cabang dalam sistem perundangan Islam.”

Kenyataan ini sama sekali menyimpang dari fikrah Islam. Di mana, Fathul Bari menjenamakan hukuman sivil yang dilaksanakan di Malaysia sebagai hukuman takzir yang merupakan hukuman yang lahir daripada akidah Islam, dan pelaksanaannya tertakluk kepada tabanni (ketetapan) seorang Khalifah di dalam Daulah Islam. Sudahlah Malaysia bukan Negara Islam, pemerintahnya pula bukanlah seorang Khalifah yang diangkat melalui proses bai’at, lantas bagaimana Fathul Bari boleh menyatakan bahawa undang-undang kufur yang lahir daripada Perlembagaan Persekutuan selama ini adalah Hukuman Takzir???? Sungguh jauh tersasarnya pandangan beliau!

Kelima, Fathul Bari memberi contoh tentang kisah Saidina Umar yang tidak melaksanakan hudud (potong tangan) kepada pencuri kerana pada masa itu berlaku kemarau panjang. Kisah ini tidak boleh dijadikan justifikasi (alasan) untuk tidak melaksanakan hudud. Ini kerana pelaksanaan hudud adalah bersifat qath’ie dan wajib dilaksanakan tanpa sebarang dalih apa pun melainkan jika ada nas syarak yang menjelaskan bahawa dalam konteks tersebut tidak boleh diterapkan hukuman hudud. Saidina Umar tidak memotong tangan pencuri pada masa itu, bukanlah kerana mengikut kehendaknya atau pun kerana ‘alasan’ kemarau itu sendiri. Beliau tidak menjalankan hudud kerana ada hadis mengenai situasi tersebut daripada Rasulullah SAW:

“Tidak ada potong tangan ketika (masa) kelaparan”.

Oleh itu, Saidina Umar tidak memotong tangan si pencuri ketika itu bukan kerana tidak mengamalkan syariah (hudud), tetapi kerana syariah itu sendiri yang membatasi (taqyid) pelaksanaan hudud dalam kes-kes tertentu, termasuklah ketika waktu perang, kemarau, tidak cukup nisab curian (jumhur ulama’ ¼ dinar ke atas) dan beberapa hal lain yang dijelaskan oleh nas syarak. Fathul Bari begitu gigih mencari alasan seperti ini dalam memberikan justifikasi untuk tidak melaksanakan hudud sedangkan sebagai seorang ‘ulama’ beliau sendiri tahu bahawa nas wajibnya hudud dilaksanakan adalah jauh begitu banyak sekali.

Maka dari itu, kami menyeru kepada seluruh umat Islam, agar berlaku jujur dan ikhlas ketika menyampaikan pemikiran Islam. Jauhilah sifat berdolak dalih kerana hanya mahu mengambil hati orang lain demi kepentingan individu dan kelompok masing-masing. Menerapkan hukum-hakam Islam adalah merupakan kewajipan seluruh umat Islam. Apa yang pastinya, hukum  hudud, takzir, jinayat dan mukhalafat hanya mampu dilaksanakan secara utuh di bawah naungan Daulah Khilafah.