Ibrahim Ali Pertahan Sistem Sekular

 

altKeazaman yang ditunjukkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di dalam usahanya untuk meminda perlembagaan agar Islam dapat dilaksanakan sebagai satu cara hidup jika memenangi pilihanraya ke-13 yang akan datang sangat dialu-alukan.

Namun, secara realitinya, adakah keazamannya itu mampu diterjemahkan menjadi kenyataan? Ini adalah kerana beliau harus mendapatkan persetujuan semua parti komponen pakatan rakyat terutamanya DAP. Salah seorang pemimpin DAP, Lim Guan Eng di dalam salah satu kenyataannya baru-baru ini ada menyatakan bahawa perlaksanaan hukum hudud harus mendapat persetujuan daripada semua parti komponen. Jadi, bagaimanakah TG akan merealisasikan keazamannya sekiranya DAP enggan?

Di samping itu, sebagai respons kepada keazaman Tuan Guru Haji Hadi Awang itu, baru-baru ini akhbar tempatan melaporkan bahawa Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali ada menyatakan bahawa keazaman TG Haji Hadi untuk meminda perlembagaan persekutuan itu untuk membolehkan Islam dijadikan sebagai deen/cara hidup sebagai tidak cerdik dan bermotifkan politik semata-mata. Jika benar apa yang dikatakannya itu, apakah standard yang Datuk Ibrahim gunakan di dalam menilai sesuatu perbuatan itu cerdik atau tidak?

Ibrahim Ali juga berkata, seharusnya Abdul Hadi perlu lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan kerana agama rasmi Persekutuan iaitu agama Islam tidak boleh dipinda serta disentuh. Menurutnya, ini kerana ia telah termaktub dalam perjanjian kontrak sosial yang merupakan teras dan asas Perlembagaan Negara.
Kenyataan Ibrahim Ali itu seolah-olah menunjukkan bahawa dia begitu berpuashati dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Namun, hal itu amat bertentangan dengan apa yang berlaku di dalam masyarakat dan Ibrahim Ali selaku Presiden Perkasa sepatutnya lebih arif tentangnya.

Berdasarkan sebilangan kes yang lepas, kedudukan Islam sebagai agama rasmi di dalam perlembagaan semata-mata sebenarnya masih gagal melindungi kesucian agama Islam di Malaysia. Kita ingin bertanya kepada Ibrahim Ali; apakah tindakan kerajaan terhadap individu-individu yang secara terang-terangan menghina hukum Allah sebelum ini? Jawabannya mudah, tiada tindakan tegas yang diambil. Akibatnya, sehingga hari ini hukum Allah terus dihina dengan pelbagai cara. Jadi, apakah kita masih mengharapkan perlembagaan yang sedia ada untuk mempertahankan Islam?

Apa yang pasti, realiti kehidupan umat Islam hari ini khususnya di Malaysia yang terpaksa tunduk kepada sistem yang berlandaskan perlembagaan ciptaan suruhanjaya Lord Reid itu amat menyedihkan. Contohnya, di samping terpaksa menelan segala kepahitan kerana tidak mampu menghalang fenomena murtad yang semakin serius, mereka terpaksa pula bergelumang dengan dosa riba dan pelbagai akad muamalat yang batil akibat penerapan sistem ekonomi Kapitalis dan pelbagai lagi dasar-dasar yang bertentangan dengan ajaran Islam. Semua yang berlaku itu adalah sah di bawah sistem yang sedang digunapakai pada hari ini yang berlandaskan perlembagaan dan dipertahankan oleh Ibrahim Ali. Adakah tindakan Ibrahim Ali itu lebih bijak daripada TG Haji Hadi Awang?

Di sebalik semua itu, kegagalan sistem hari ini menjamin kesucian agama Islam bukanlah menjadi sebab utama kebatilannya tetapi yang paling penting harus difahami adalah ianya adalah ciptaan akal manusia dan tidak bersumberkan kepada Al Quran dan As Sunnah. Tidak kiralah sehebat mana pun sesuatu sistem itu dicipta, selagi ia tidak bersumberkan kepada Al Quran dan As Sunnah, ia tetap tertolak berdasarkan perspektif Islam.

Oleh sebab itulah, cerdik atau tidaknya tindakan seseorang itu tidak boleh diukur dengan akal dan perasaan semata-mata tetapi ia mestilah diukur dengan standard Al Quran dan As Sunnah. Contohnya, jika seseorang itu memilih untuk mengikut Al Quran dan As Sunnah, maka ia dikatakan cerdik dan jika seseorang Islam itu mengikut selain daripadanya, maka dia bukanlah seorang Islam yang cerdik kerana memilih sesuatu yang tidak bersumberkan Al Quran dan As Sunnah.

Rujukan : Utusan Malaysia 3/5/2012