Gaza Diserang: Adakah McDonald’s Puncanya?
Dalam setiap kitaran peristiwa pembunuhan umat Islam di Palestin, ternyata jenama dan produk McDonald’s yang sentiasa menjadi sasaran boikot berbanding mana-mana sumber ekonomi rejim Yahudi dan Amerika lain yang lebih luas dan pelbagai. McDonald’s yang merupakan restoran makanan segera yang diminati oleh kebanyakan golongan terutamanya remaja dituduh sebagai penyokong utama rejim Yahudi. Maka, setiap remaja yang membeli McDonald’s digambarkan telah bersubahat dengan musuh untuk membunuh anak-anak Palestin.
Propaganda yang diuar-uarkan kononnya setiap sen pembelian yang dibuat untuk produk McDonalds akan menyumbang satu peluru untuk membunuh anak-anak Palestin ternyata berjaya meruntun hati sebahagian umat Islam untuk menyokong kempen tersebut. Dengan dibantu media sosial, kempen ‘dosa’ McDonald’s terhadap kemanusiaan kini dilihat menjadi semakin viral. Sepertimana kitaran kekejaman yang berlaku sebelum ini, para remaja yang sentiasa ketagih untuk membeli McDonald’s terpaksa menahan nafsu makan mereka buat seketika untuk membelinya atas keyakinan bahawa McDonald’s secara tidak langsung merupakan punca kitaran kekejaman ke atas umat Islam di Palestin atau mungkin juga ada yang takut jika dituduh sebagai tiada hati perut dan tidak sensitif dengan isu semasa.
Pihak McDonald’s Malaysia dengan tegas dan konsisten telah menafikan mereka menyokong rejim Yahudi (Lihat: http://www.mcdonalds.com.my/important-notice.aspx#n9), tetapi para pengelola kempen boikot tetap tidak berhenti untuk menyerang McDonald’s atas dasar bahawa McDonald’s Malaysia membayar royalti kepada syarikat induknya di Amerika.
Pembayaran royalti adalah suatu yang lumrah bagi semua pengendali rangkaian berjenama baik di peringkat antarabangsa mahupun tempatan. McDonald’s sebagai salah satu produk Amerika yang beroperasi di Malaysia tidak terkecuali daripada membayar royalti kepada pemegang jenama McDonald’s yang berpusat di Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, perlu diketahui bahawa McDonald’s atau pengendali rangkaian produk berjenama yang lain juga membayar cukai kepada kerajaan tempatan di mana mereka beroperasi. Malah, cukai yang dikenakan dalam pelbagai bentuk ke atas syarikat-syarikat sebegini adalah jauh lebih tinggi berbanding royalti yang dibayar kepada pemegang jenama syarikat.
Atas dasar ini, jika hujah yang digunakan kononnya dengan pembayaran royalti tersebut Israel mampu untuk membeli peluru bagi membunuh umat Islam, apakah pula yang dilakukan oleh kerajaan umat Islam terhadap duit kutipan cukai yang dibayar oleh para pengendali produk jenama antarabangsa tersebut? Apakah sukar bagi mereka untuk mengeluarkan sedikit daripada wang cukai tersebut untuk membeli peluru-peluru buat para tentera Islam demi mempertahankan nyawa umat Islam di Palestin? Jika dianggapkan bahawa Israel mampu gagah membunuh umat Islam di Palestin dengan hanya menggunakan duit royalti daripada pengendali produk berjenama antarabangsa, maka mengapakah para pemimpin umat Islam tidak menggunakan dengan cara yang sama iaitu dengan menggunakan duit hasil kutipan cukai daripada para pengendali jenama-jenama antarabangsa yang bercambah di Malaysia dan di negara-negara umat Islam yang lain untuk tujuan mempertahankan darah dan tanah umat Islam di Palestin?
Hakikatnya, McDonald’s bukanlah punca utama kekejaman Yahudi di tanah haram Israel melainkan ia dikambinghitamkan untuk dikorbankan oleh kerajaan agar dapat meredakan kemarahan umat Islam terhadap Amerika Syarikat dan Israel. Dua hari lalu (Jumaat, 8 Ogos), beberapa cawangan restoran McDonald’s dilihat menjadi lengang. Maka bergembiralah buat seketika para pengelola kempen boikot melihat ‘kejayaan’ mereka, sedangkan pada hakikatnya entiti haram rejim Yahudi ini masih tetap utuh dan gah di tengah-tengah negara umat Islam. Yang jelas dapat dilihat, kempen boikot McDonald’s hanya berjaya menyilaukan sementara pandangan umat Islam sehingga mereka tidak nampak bahawa para pemimpin Islam yang diberikan amanah untuk memerintah negara pada hari ini telah berdiam diri di saat peluru-peluru, bom-bom dan peluru berpandu rejim Yahudi membedil seluruh penduduk Islam Palestin yang tidak berdosa. Malangnya umat Islam hanya berasa cukuplah mereka memberi pengajaran kepada McDonald’s sebagai tindakan untuk membalas. Jikalah suatu hari nanti negara ini diserang, apakah cukup bagi umat Islam di negara-negara yang berjiran hanya sekadar melihat serta memboikot McDonald’s sepertimana yang dilakukan pada hari ini dan tindakan tersebut diharapkan dapat menyelesaikan seluruh masalah? Apakah umat Islam pada hari ini masih lagi tidak dapat berfikir dengan cara yang normal dan rasional?
Sedarlah wahai kaum Muslimin sekalian, kitaran kekejaman rejim Yahudi sekali-kali tidak akan pernah berhenti selagimana umat mempunyai pemikiran dan sangkaan bahawa cukuplah usaha sekadar memboikot McDonald’s atau mana-mana produk yang lain. InsyaAllah, kitaran kekejaman Yahudi ini hanya dapat dihentikan apabila umat Islam tersedar daripada kekeliruan mereka, bersatu di bawah sistem Khilafah dan mendukung panji suci syahadah.
Sumber: Sinar Harian, akses pada 10 Ogos 2014