12 ditangkap, kita cuma tertanya-tanya..

Gambar UL 290415Pada 26 April lepas, sekumpulan 12 rakyat tempatan yang disyaki menganggotai kumpulan bersenjata Islamic State (IS) telah ditangkap oleh polis. Mereka dikatakan sedang menguji bahan letupan di sebuah kawasan terpencil Gunung Nuang dekat Hulu Langat. Polis juga mendakwa yang kumpulan berkenaan mahu menguji bahan letupan jenis ammonium nitrate fuel oil atau dikenali ANFO untuk perancangan melakukan serangan di beberapa kawasan strategik di seluruh negara. Jika berjaya, ANFO sebanyak 40 hingga 50 kilogram dikatakan boleh menghancurkan sebuah bangunan setinggi tiga hingga empat tingkat.

Pada awalnya Utusan Malaysia melaporkan yang kumpulan berkenaan merancang untuk mengebom beberapa kawasan strategik di “seluruh negara”, kemudian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan 12 orang yang ditangkap itu sedang merancang untuk melancarkan serangan ke atas sasaran strategik dan berkepentingan kerajaan di “sekitar Lembah Klang”. Tidak mengapalah wujud perbezaan sebab Lembah Kelang juga termasuk dalam negara!

Khalid berkata, rancangan melancarkan serangan itu sebagai menyahut seruan pemimpin kanan IS di Syria ke atas negara Islam sekular yang didakwa sebagai musuh mereka. Selain itu, serangan berkenaan juga berbentuk tindak balas terhadap operasi penangkapan terhadap mereka yang disyaki terlibat dengan IS oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), jelasnya.

Kalau diperhatikan satu per satu, sungguh banyak keanehan dan persoalan yang bermain di minda kita dengan tangkapan terbaru ini. “Kesimpulan” yang 12 orang terbabit sedang membuat bom terlalu cepat dilakukan dengan jenis bahan kimia juga dikenalpasti terlalu cepat tanpa pengesahan dari Jabatan Kimia seperti kebiasaannya. Tidak mengapalah kerana mungkin anggota Bahagian Counter Terrorisme (E8) Cawangan Khas memang arif dengan segala jenis bahan kimia!

Juga agak aneh daripada mana PDRM mendapat maklumat yang mereka ingin mengebom beberapa kawasan strategik, kecuali PDRM telah berjaya memintas atau mencuri dengar segala komunikasi mereka atau datangnya dari pengakuan mereka sendiri. Kalau komunikasi dapat dipintas, seharusnya penangkapan dibuat lebih awal, bukannya menunggu mereka membuat bom baru ditangkap. Tidak mengapalah, sebab PDRM ada SOP mereka sendiri!

Lebih pelik jika orang yang ditangkap itu mengaku akan melakukan pengeboman kerana secara logiknya, seseorang “penjenayah” tidak akan mendedahkan tujuan dan perancangan mereka kepada PDRM setelah mereka ditangkap, di mana sebelumnya mereka menyembunyikan perancangan ini habis-habisan. Apatah lagi “pengakuan” seperti ini sudah pasti akan menyebabkan mereka didakwa dengan cukup mudah di mahkamah!

Jadi, kesimpulan yang mereka sedang membuat bom dan ingin melakukan pengeboman ini sudah seperti meletakkan mereka bersalah walaupun masih belum dibuktikan bersalah. Kerana itu, adalah sangat penting untuk membawa mereka yang ditangkap ke mahkamah agar proses pembuktian dan penafian dapat dilakukan dengan adil. Namun, satu lagi persoalan lain wujud apabila mahkamah tidak membicarakan mereka menurut hukum Islam. Di mana akan ada keadilan jika seseorang itu tidak dibicarakan atau dihukum menurut Islam?

Apa pun, sebagai rakyat yang kekurangan maklumat, kita selalu diminta agar tidak mempertikaikan apa yang polis lakukan. Polis dengan mudah dapat menyatakan yang rakyat tidak tahu apa yang polis tahu, yang memberi gambaran seolah-olah hanya polis sahaja yang “berhak bersuara” dalam setiap kes dan rakyat hanya diminta menelan bulat-bulat apa yang polis cakap!

Kita memang tidak menyokong sebarang bentuk kekerasan atau keganasan yang menyalahi syarak. Namun, ia hendaklah ditangani dengan adil di mana pihak yang disyaki bersalah hendaklah diadili menurut hukum Islam dan bukan dengan terus membuat pendedahan di media yang menunjukkan seolah-olah mereka ini telah melakukan kesalahan.

Selain itu, persoalan turut bermain di minda rakyat, apakah tangkapan ini hanya untuk menjustifikasi Akta Pencegahan Keganasan (POTA) yang baru sahaja diluluskan? Atau kes ini diperbesarkan bagi menutup kemarahan rakyat terhadap GST yang menindas lagi haram? Atau juga untuk menutup banyak skandal yang berlaku dalam negara? Bukan apa, rakyat merasa pelik kerana tiba-tiba Malaysia seperti muncul menjadi sarang baru pengganas.

Wallahu a’lam.

[Sumber:www.utusan.com.my]