Hukum Allah Dipandang Ngeri Oleh Kuffar Barat
Seorang ibu Iran yang dihukum rejam sehingga mati kerana kesalahan berzina di Iran merayu supaya dibenarkan untuk memeluk anaknya, dalam surat yang dikeluarkan bagi pihak aktivis hak asasi manusia semalam (sabtu, 31 Julai). Sakineh Mohammadi-Ashtiani, 43, ibu kepada dua anak dijatuhi hukuman terbabit selepas didapati bersalah. Hukuman terbabit mencetuskan kritikan negara Barat dan ditangguhkan buat sementara awal bulan ini oleh ketua kehakiman Iran, Sadeq Larijani.
Sumber: Berita Minggu 01/08/10
Berita di atas menggambarkan seolah-olah hukuman yang berasal dari syariat Islam ini amat ngeri dan kejam. Itu baru satu sahaja dari Hukum Hudud yang kalau dilaksanakan sudah pasti mendapat kecaman daripada para ‘Pencinta Kedamaian’. Yang amat menyedihkan ialah apabila orang Islam sendiri yang melaungkan suara Hak Asasi Manusia dan menganggap hukuman ini berat dan tidak sesuai dengan zaman moden sekarang.
Setiap masa kita dapati media massa mencanangkan berita dan propaganda mengenai ‘kekejaman’ hukuman hudud terhadap masyarakat sehingga Islam itu menjadi sinonim dengan ‘Terrorrism’ dan ‘Extremism’. Dikatakan sekiranya hudud dijalankan maka akan ramailah ibu-ibu yang direjam, beribu-ribu orang akan kehilangan tangan, dan macam-macam lagi. Namun, hudud itu adalah perintah al-Khaliq di dalam al-Quran. Allah berfirman:
“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka hukumlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan……..” (TMQ An-Nur [24] : 2)
Hukuman hudud itu bukanlah berasal dari undang-undang ciptaan manusia bahkan datang dari perintah Allah. Maka layaklah Dia sebagai Pencipta untuk menetapkan peraturan-Nya atas kita. Bahkan harus difikirkan, patutkah anda berasa terancam sekiranya anda tidak tergolong dalam kelompok yang wajib dijatuhi hukuman tersebut? Hakikatnya ‘kekejaman’ hukuman hudud yang terlihat pada mata seluruh manusia akan bertukar menjadi keindahan seandainya sistem Islam diterapkan secara kaffah di dalam kehidupan.
Sebagai contoh, bagi hukuman hudud atas penzina, sekurang-kurangnya ada 10 lapisan amalan Islam yang perlu diperhatikan sebelum hukuman ini layak dijalankan atas seseorang itu. Lapisan pertama ialah keimanan seseorang. Bagi seseorang yang mempercayai azab api neraka nescaya ia akan takut untuk melakukan maksiat. Namun, masih lagi ramai orang yang tetap melakukan maksiat. Nafsu serakah begitu membara hingga menenggelamkan keimanan. Lantas perlu ada lapisan kedua iaitu menundukkan pandangan terutama ketika bertemu dengan lawan sejenis yang bukan mahramnya. Namun tetap sahaja pandangan lainnya masih menarik apalagi kalau dikelilingi ramai yang auratnya terdedah.
Oleh itu harus ada lagi lapisan ketiga iaitu menutup aurat. Harapannya adalah dengan tertutupnya aurat maka tertutuplah pintu zina. Akan tetapi syaitan tidak pernah berhenti menggoda. Zina masih boleh berlaku. Oleh itu, lapisan larangan ikhtilat amatlah perlu. Pergaulan lelaki dan wanita yang tidak syar’ie harus disekat. Negaralah yang paling sesuai memegang peranan ini. Persoalannya, apakah ini sudah cukup? Bahan lucah boleh didapati dengan terlalu mudah masa kini sehingga mudah menjadi punca rangsangan nafsu syahwat yang akhirnya akan dilepaskan dengan cara yang haram. Jadi, perlulah ada lapisan larangan pornografi. Namun apakah ini sudah memadai? Masih terlalu ramai yang tidak memahami Islam. Oleh itu, lapisan ke-enam iaitu sistem pendidikan Islam wajar dilaksanakan oleh institusi pemerintah. Tidak akan ada lagi yang memberi alasan tidak tahu atau tidak faham hukum ini selepas melalui sistem pendidikan Islam yang lengkap.
Apakah zina masih boleh berlaku selepas enam lapisan ini? Mungkin. Oleh itu, lapisan seterusnya, iaitu kemudahan untuk bernikah perlu dijalankan. Kalau pernikahan boleh dipermudahkan, dengan mahar yang murah dan syarat yang tidak berat sebelah, maka pasti syahwat akan dapat disalurkan dengan jalan yang halal.
Bagi memastikan zina hampir mustahil berlaku, sistem ekonomi Islam yang lengkap perlu diterapkan. Mana tidaknya, kemerosotan ekonomi boleh sahaja menyebabkan ramai wanita menjadi pelacur dengan alasan untuk menyara hidup yang penuh kemiskinan. InsyaAllah dengan sistem ekonomi ini, bukan hanya pelacuran dapat dibenteras, malah kehidupan secara keseluruhannya akan menjadi lebih baik.
Masih belum cukup lagi, Islam menyediakan lapisan ke sembilan yang dapat membenteras zina – poligami. Akhirnya, setelah semua sembilan lapisan ini terpampang di hadapan seseorang yang menghalang mereka dari berzina, namun mereka tetap berzina, maka Islam menyediakan hukuman hudud ke atas penzina. Hukuman ini hendaklah dilaksanakan di khalayak ramai sesuai dengan firman Allah. Allah berfirman lanjutan surah An-Nur ayat 2:
“…dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan ) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”
Adanya perintah untuk mempertontonkan hukuman tersebut di khalayak umum adalah sebagai pengajaran kepada mereka yang beriman. Sejarah zaman Khilafah telah membuktikan bahawa kurang dari 200 kes dilaporkan sejak dari zaman Rasulullah hinggalah zaman Khilafah Uthmaniyyah. Namun harus diketahui, segala lapisan yang telah disebut tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna selagi tidak tertegaknya Daulah Khilafah sebagai pemelihara aqidah umat Islam.