Lagi penghinaan al-Quran oleh politikus Barat

Pada hari Selasa lalu (04/02/2014), surat khabar The Guardian menyiarkan berita tentang Gerard Batten, seorang anggota Parlimen Eropah (MEP) untuk London dan jurucakap imigrasi United Kingdom Independence Party (UKIP), menuntut umat Islam di Britain untuk menandatangani satu piagam atau kod etika khusus bagi menolak hukum-hukum jihad di dalam al-Quran yang disifatkannya sebagai mempromosi keganasan.

Apa yang diucap oleh Batten ini merupakan satu lagi bukti sikap permusuhan kuffar Barat terhadap Islam dan umat Islam. Telah berulang kali mereka melakukan penghinaan kepada Islam dengan pelbagai bentuk dan cara. Masih tertancap kuat dalam ingatan kita semua kisah seorang paderi Kristian Florida, Terry Jones,  pada tahun 2010, secara terbuka menyerukan pembakaran al-Quran pada ulang tahun kesembilan peristiwa 9/11. Tentera AS pula, pada Februari  2012 membakar 315 salinan naskhah keagamaan termasuk al-Quran di penjara Baghram di Afghanistan. Penghinaan terhadap Al-Quran juga dilakukan oleh tentera AS di penjara Guantanamo. Pada tahun lalu pula, umat Islam sekali lagi digegarkan dengan tindakan biadab tentera AS yang kencing di atas mayat mujahidin Afghanistan. Pendek kata, senarai panjang penghinaan dan kejahatan orang-orang kafir ke atas Islam dan umat Islam sudah tidak terhitung. Semuanya itu dilakukan oleh mereka atas alasan kebebasan.

Persoalannya, apakah kita sebagai orang yang mengaku cintakan Allah, Rasulullah dan beriman kepada al-Quran, tidak melakukan apa-apa dan hanya sekadar berpeluk tubuh di atas segala penghinaan ini, walhal kita mampu melakukan sesuatu?

Sebagai individu, memanglah sukar untuk kita menyelesaikan hal ini dengan tuntas dalam masa yang singkat. Namun, kita wajib melakukan sesuatu dari sekarang, walaupun mungkin penyelesaiannya memakan masa yang panjang. Sesungguhnya kebiadaban Barat ini hanya akan dijawab dengan kekuatan negara. Namun kita sudah menyaksikan sejak sekian lama bahawa tidak ada pemimpin Muslim mana-mana negara pun yang bersuara untuk menyelesaikan penghinaan kuffar Barat ke atas Islam ini. Mereka tidak berani dan tidak bergerak, walau hanya sebatas amaran politik. Alangkah baculnya mereka!

Kita semua tahu bahawa jika  para penguasa Muslim bergerak dan memberikan ancaman keras akan laungan jihad jika puak kuffar ini tidak menghentikan penghinaan ini, maka sudah pasti hal ini akan menggegarkan jantung puak kuffar laknatullah ini. Namun para penguasa ini tidak melakukan semua itu.

Justeru, kewajipan bagi kita adalah untuk terus memuhasabah penguasa ini dan dalam masa yang sama bergerak untuk mendirikan Negara Khilafah yang dengannya, akan ada seorang Khalifah yang akan memberikan amaran jihad kepada para penghina Islam ini. Apabila adanya Daulah Khilafah, Khalifah akan pasti menjadi penjaga kemuliaan Islam dan kaum Muslimin serta kesucian Al-Quran.

Khilafah adalah perisai yang melindungi dan menjadi benteng yang kukuh kepada umat Islam. Hal ini telah ditunjukkan oleh sejarah emas peradaban Islam selama lebih 13 abad. Hatta pada masa Daulah Khilafah semakin melemah pun, kemuliaan Islam dan  Rasulullah tetap dijaga oleh sang Khalifah. Kerana itulah, kita wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan kembali Daulah Khilafah dan jangan hanya berdiam diri menyaksikan Islam dan al-Quran terus dihina oleh puak kuffar ini.

Sumber: www.theguardian.com