Penghinaan Al-Quran Secara Terpilih?

KUALA LUMPUR: Mufti, pakar perundangan dan pertubuhan Islam menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming, yang membaca ayat suci al-Quran dalam siri ceramahnya semata-mata untuk memancing undi pada pilihan raya kecil sebagai usaha menghina agama dan umat Islam.
Mufti Perlis dan Selangor berpendapat perkara itu jika terus dibiarkan tanpa tindakan tegas pihak berkuasa boleh menggugat kestabilan dan keselamatan negara kerana ia jelas tidak menghormati agama rasmi negara ini. Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga membuat laporan polis secara berasingan di sini, semalam, sebagai membantah dan mengutuk tindakan Nga dan memintanya memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.  Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, berkata Islam tidak melarang bukan Islam membaca al-Quran kerana kitab itu untuk semua manusia tetapi hendaklah digunakan dalam suasana, niat baik dan bacaan yang betul.

Beliau yang mendengar bacaan Nga yang disiarkan di televisyen kelmarin berkata, bacaan dilafazkan itu jelas tidak betul dan menyeleweng.   “Kalau orang Islam sendiri yang menyalah guna ayat suci itu juga dilarang, apatah lagi orang bukan Islam. Ia boleh menggugat kestabilan, jangan heret kitab suci dalam kemelut politik sebab kita tidak mahu berlaku salah guna dan tidak ada rasa hormat pada sensitiviti penganut agama lain,” katanya ketika mengulas desakan pelbagai pihak supaya Nga memohon maaf dan menghentikan perbuatannya kerana mempersendakan agama Islam semata-mata untuk memancing undi orang Melayu.

Kelmarin, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping susulan rakaman video youtube.com yang memaparkan Nga membaca ayat al-Quran selama satu minit 16 saat.

Dalam rakaman itu, Nga memberi salam secara tidak tepat dan membaca petikan yang didakwa dari surah ‘Aura’ yang tidak ada dalam al-Quran.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahab, berkata ayat al-Quran adalah kalam Allah yang suci dan membaca al-Quran adalah ibadah.   Namun katanya, umat Islam yang menyebut ayat al-Quran tidak betul, bukan mendapat rahmat sebaliknya laknat.

“Kalau bukan Islam yang tidak tahu sebut, dan salah bacaan, sudah tentu mirip kepada senda gurau yang tidak sepatutnya berlaku.

“Lebih baik mereka baca tafsiran saja, lebih selamat,” katanya.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainal Rijal Abu Bakar, berkata hukuman penjara dan denda boleh dikenakan terhadap mereka yang jelas menghina agama Islam mengikut kanun keseksaan mengikut Seksyen 298.

Sumber : Berita Harian, 07/04/09

Penghinaan Al-Quran Secara Terpilih?

Nampaknya pihak-pihak yang suara dan kenyataan mereka boleh keluar di dada-dada akhbar mula memberikan reaksi dan kritikan terhadap tindakan  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming yang membaca ayat suci al-Quran dalam siri ceramahnya baru-baru ini dalam kempen pilihanraya di Bukit Gantang. Dalam sedutan YouTube itu dilihat bahawa beliau membawa ayat tersebut dengan menerangkan makna ayat tersebut iaitu untuk berlaku adil….mungkin adil mengikut pemahaman beliau sebagai seorang kafir.

Adalah merupakan suatu tindakan yang baik jika niat pihak-pihak di atas benar-benar untuk menjaga kepentingan Islam. Tetapi nampaknya apa yang dilakukan oleh pihak-pihak tersebut adalah kritikan terpilih kerana realitinya, sudah wujud terlampau banyak tindakan menghina Islam yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang tidak dikritik oleh mereka sebelum ini. Bagaimana dengan keengganan pihak pemerintah untuk melaksanakan perintah yang terdapat di dalam al-Quran? Setiap tahun pertandingan musabaqah membaca al-Quran diadakan namun ayat-ayat suci yang dibaca ini tidak dilaksanakan! Ayat–ayat al-Quran itu dibaca dengan betul dan baik tidak sebagaimana yang dibaca oleh Nga Kor Ming tetapi malangnya ajaran dan tuntutan ayatnya tidak diterapkan di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Ini adalah realiti yang perlu diakui.

Wahai para mufti yang dikasihi! Apakah ini juga sesuatu yang perlu dibiarkan? Kita mengharapkan semoga pihak yang berkenaan(mufti) untuk juga mengingatkan pihak pemerintah agar menerapkan isi kandungan al-Quran yang dipertandingkan setiap tahun itu. Ini adalah kerana kita (umat Islam) mengetahui dan mengimani bahawa al-Quran itu adalah petunjuk kepada seluruh manusia. Janganlah kita termasuk di dalam golongan seperti mana yang disebut oleh Allah SWT: ”Dan berkatalah Rasul: “Wahai tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”. [TMQ al-Furqaan(25):30].

Apakah tindakan seorang mufti yang baru-baru ini membaca ayat di dalam surah an-nisa’ semasa krisis politik di sebuah negeri di utara semenanjung tidak perlu dimuhasabah? Ayat tersebut ialah firman Alllah SWT: ”Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”. [TMQ an-Nisaa’(4):59].

Beliau membaca ayat al-Quran ini dengan betul namun bagaimana pula dengan fahaman yang diberikan? Bersifat ikhlaslah wahai para mufti semua! Fahamilah realiti umat Islam pada saat ini! Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meninggikan Islam dengan memastikan ajaran al-Quran yang dipertandingan setiap tahun itu dilaksanakan dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara secara keseluruhannya. ”Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”.[TMQ al-Baqarah(2):208].