Hukum Membaca al-Quran Ketika Sedang Haid

muslimah-membaca-al-quran

Soalan:

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Apakah dibolehkan bagi wanita yang sedang haid untuk membaca al-Quran? Saya mendengar banyak jawapan yang berbeza-beza, jadi apakah jawapan yang benar? Semoga Allah memberi anda balasan yang lebih baik.

Leni Marlina.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Dalam masalah wanita haid membaca al-Quran, di situ terdapat perincian dan perbezaan pendapat di kalangan para fukaha. Kebanyakan fukaha mengatakan bahawa perkara itu adalah haram. Ada juga di antara mereka yang memperbolehkannya dengan perincian dan syarat-syarat tertentu.

Bagi saya, hukum yang lebih rajih (kuat) adalah tidak boleh bagi wanita yang haid untuk membaca al-Quran. Hal itu disebabkan oleh sabda Rasulullah saw:

«لَا تَقْرَأُ الْحَائِضُ وَلَا الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ» رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ
“Janganlah seseorang yang sedang haid dan jangan pula seseorang yang sedang junub membaca sesuatu pun daripada al-Quran” [HR at-Tirmidzi]

Meskipun terdapat kritikan terhadap hadis ini, namun kebanyakan fukaha masih mengambilnya (sebagai rujukan). Walaupun demikian, telah dinyatakan di dalam hadis sahih bahawa terdapat pengharaman membaca al-Quran bagi orang yang sedang junub. Orang yang sedang haid adalah sama seperti orang yang sedang junub dalam masalah ini. Abu Daud dan an-Nasa’i telah mengeluarkan, dan termasuk dalam riwayat Ibnu Majah yang seerti dengannya, daripada Ali r.a., ia berkata:

«كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَخْرُجُ مِنَ الْخَلَاءِ فَيُقْرِئُنَا الْقُرْآنَ وَيَأْكُلُ مَعَنَا اللَّحْمَ، وَلَمْ يَحْجُبْهُ – أَوْ يَحْجُزْهُ – عَنِ الْقُرْآنِ شَيْءٌ لَيْسَ الْجَنَابَةَ»
“Nabi saw keluar daripada kamar kecil lalu beliau membacakan al-Quran kepada kami dan memakan daging bersama-sama kami, tiada menghijab beliau (tiada yang menghalangi beliau) daripada al-Quran sesuatu pun selain junub.”

Jelas daripada hadis tersebut bahawa junub menghalangi daripada membaca al-Quran, ertinya membaca al-Quran itu adalah haram bagi orang yang sedang junub. Orang yang haid adalah sama seperti orang yang junub, maka haram baginya untuk membaca al-Quran sebagaimana haram bagi orang yang junub membaca al-Quran.

Saudaramu,
Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
1 Rabiul Akhir 1436H
21 Januari 2015M