Kebencian Barat Kepada Islam. Hanya Khilafah Jawapannya
BRADFORD 29 Ogos – Seramai 13 orang ditahan selepas kumpulan pelampau anti-Islam bertembung dengan penunjuk perasaan anti-fasis di jalan raya bandar Bradford semalam. Anggota kumpulan anti-Islam, English Defence League (EDL) melontar botol, batu dan bom asap di lokasi penganjuran demonstrasi, ketika anggota polis bertungkus lumus untuk mengasingkan kedua-dua kumpulan berkenaan. Kehadiran anggota polis yang ramai sedikit sebanyak meredakan keadaan, namun orang ramai tetap bimbang dengan kemungkinan berlaku rusuhan kaum yang pernah terjadi di Bradford pada 2001. Pihak berkuasa melarang EDL berarak di bandar utara England ini bagi mengelakkan ketegangan. Kumpulan membenci Islam itu bagaimanapun berkumpul di satu kawasan kecil di bandar Yorkshire, kawasan komuniti terbesar Pakistan dan menjalankan demonstrasi menentang apa yang didakwa mereka sebagai merebaknya Islam radikal di Britain. Polis berkata, jumlah anggota kedua-dua kumpulan dikatakan berjumlah kurang 1,000 orang. Walaupun dua sekatan polis dibuat, mereka menghampiri satu sama lain dalam tempoh singkat yang mana anggota EDL membaling botol, tin minuman, batu dan bom asap melepasi halangan yang dibuat anggota keselamatan itu. Pasukan polis berjaya menghalang EDL daripada terus bertindak ganas ketika mereka melaung-laung dan memegang sepanduk seperti ‘kembalikan negara kami’, ‘jangan benarkan lagi sebarang pembinaan masjid’ dan ‘tidak kepada undang-undang syariah’. “Kami tidak bertindak memusuhi semua umat Islam. Tetapi cuma menentang penyebaran fahaman Islam yang radikal. “Umat Islam normal perlu bangkit dan mempertahankan diri. Kami percaya bukan semua umat Islam adalah orang jahat,” kata ketua keselamatan EDL, Leon McCreery. – AFP
Sumber : Utusan Malaysia, 30/08/2010
Kebencian Barat Kepada Islam. Hanya Khilafah Jawapannya
Lihatlah bagaimana kebencian terhadap Islam terus hidup di Barat. Sebelum ini ada perancangan untuk membakar al-Quran oleh sebuah pertubuhan Kristian di Florida, Amerika Syarikat dalam rangka memperingati tragedi WTC/911. Tidak cukup dengan itu, larangan dan pengharaman pemakaian niqab dikenakan pula oleh pemerintah kufur Perancis serta beberapa negara Eropah yang lain. Larangan membina menara masjid di Switzerland juga merupakan satu lagi bentuk provokasi yang terus dilakukan oleh kuffar untuk menunjukkan kebencian mereka kepada Islam. Kini, satu demontrasi anti-Islam berlaku di Britain, sebuah negara yang kononnya mengagung-agungkan demokrasi yang menjunjung tinggi idea kebebasan termasuklah idea kebebasan berakidah. Dengan apa yang dapat kita saksikan dari kejadian-kejadian ini terbukti bahawa kuffar Barat sudah semakin mendedahkan kurap dan kebobrokan idea-idea yang diperjuangkan oleh mereka selama ini seperti hak asasi manusia, idea kebebasan, demokrasi dan sebagainya. Ternyata pihak kuffar Barat sendiri tidak berpegang kepada prinsip yang mereka agung-agungkan sekiranya ia terkait dengan Islam dan umat Islam. Jelas sekali bahawa wajah Barat terhadap Islam ada bersifat ”double standard”. Benarlah firman Allah SWT:
”Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi”. [TMQ Al-Mutaffifiin (83) :1-3].
Sejarah kegemilangan Islam yang pernah memayungi dunia selama lebih kurang 1300 tahun lamanya oleh Khilafah yang menerapkan syariah telah terbukti berjaya membawa keamanan, bukan hanya kepada umat Islam malahan juga kepada golongan kafir. Catatan sejarah telah membuktikan bagaimana 3 agama besar dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi hidup bersama dengan aman dan damai selama lebih kurang 800 tahun lamanya apabila Islam berkuasa di Sepanyol. Ini berbeza dengan laungan kebebasan dan demokrasi – laungan penuh penipuan dan kedurjanaan!