Aslim Taslam – Masuk kamu ke dalam Islam maka kamu akan selamat
CANBERRA: Malaysia dan Australia akan menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala Malaysia-Australia dalam tempoh setahun, selepas rundingan itu dimulakan pada 2005, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kami akan memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua negara tahun depan dan kami mahu melihat ia dimuktamadkan dan dimeterai sempena ulang tahun pertama lawatan ini tahun depan,” katanya. Najib berkata, kemajuan FTA akan menyusuli rundingan berterusan Usaha Sama Trans-Pasifik.
Beliau berharap beberapa persetujuan dicapai mengenai ketetapan usaha sama sebelum mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik berlangsung pada November. Najib berkata aliran perdagangan dengan Australia boleh dipertingkat. “Jumlah dagangan kini sekitar US$10 bilion… ia tahap yang baik, namun kami yakin ia boleh ditingkatkan lagi,” katanya. – BERNAMA
Sumber : Berita harian 3/3/2011
Aslim Taslam – Masuk kamu ke dalam Islam maka kamu akan selamat
Kedua-dua pemimpin tersenyum lebar setelah memeterai perjanjian perdagangan. Bagi mereka ini adalah satu usaha yang cukup tinggi nilainya dalam meraih sebanyak mungkin manfaat. Bagi mereka, matlamat utama adalah memperoleh situasi menang-menang dan mengaut keuntungan bagi mengukuhkan ekonomi. Namun hakikatnya, apakah nilai keuntungan tersebut jika ia tidak seiring dengan akidah yang benar.
Alangkah indahnya jika perjanjian tersebut merupakan perjanjian yang memberi ruang bagi Najib untuk mendakwahkan Islam kepada pemimpin kuffar, seterusnya rakyat negara tersebut yang sememangnya memerlukan perubahan dari gelap menuju cahaya.
Aslim Taslam – masuklah kamu kedalam Islam maka kamu akan selamat , sebagaimana para Khulafa’ terdahulu melakukannya terhadap negara lain. Sudah sampai masanya kita memerlukan pemimpin yang menyebarkan syiar Islam!, Sebagaimana firman Allah:
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. [TMQ Ali Imran (3):110].