Ayuh Tegakkan Syariah di Mesir!

altPenduduk Mesir berhimpun lagi

KAHERAH 26 Nov. – Berpuluh-puluh ribu penduduk Mesir membanjiri Dataran Tahrir di sini, selepas solat Jumaat semalam, menuntut pemerintahan tentera meletak jawatan dan membantah pelantikan bekas Perdana Menteri negara ini, Kamal al-Ganzouri sebagai ketua kerajaan peralihan.

Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir (SCAF), kelmarin melantik Ganzouri, 78, yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri di bawah pentadbiran bekas Presiden, Hosni Mubarak dari 1996 hingga 1999 bagi mengetuai kerajaan peralihan sehingga dibentuk kerajaan awam.

Pelantikan beliau, bagaimanapun disambut kemarahan penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan mendakwa beliau bukanlah pemimpin yang boleh membawa demokrasi kepada Mesir. Penunjuk perasaan turut berteriak ‘Ganzouri, kami tidak mahu kamu!’ di luar pejabat Kabinet. Bantahan antikerajaan itu turut menyaksikan penunjuk perasaan menyekat jalan masuk ke ibu pejabat Kabinet, semalam bagi menghalang Ganzouri memasuki bangunan tersebut. Beratus-ratus penunjuk perasaan berdiri di luar bangunan itu yang terletak hanya beberapa blok dari Dataran Tahrir sambil melaungkan ‘Berambus! Revolusi!, Ganzouri adalah saki baki bekas rejim’. Terdahulu, Ganzouri dalam ucapan pertamanya sebagai Perdana Menteri merayu rakyat Mesir agar memberinya peluang untuk mengetuai kerajaan dan berjanji tidak akan membentuk kerajaan baru sebelum pilihan raya Parlimen yang dijadual Isnin ini. “Tolong beri saya peluang supaya saya boleh berfikir siapa yang perlu kekal dan keluar daripada barisan pemerintahan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, semalam. Beliau juga yakin Pengerusi SCAF, Mohamed Hussein Tantawi tidak berhasrat untuk kekal berkuasa. – AFP/Agensi

Sumber : Utusan Online, 27/11/2011
 

Ayuh Tegakkan Syariah di Mesir!
Setelah kejatuhan rejim kuku besi Hosni Mubarak  kira- kira 9 bulan yang lepas, nasib umat Islam di Mesir masih sama. Hukum kufur masih diterapkan ke atas mereka dan pemimpin peralihan yang kononnya menyebelahi kebangkitan rakyat kini semakin menampakkan wajah sebenar mereka. Dengan perlantikan bekas Perdana Menteri semasa era pemerintahan Hosni Mubarak ini, adalah semakin jelas pemerintahan yang bakal dibentuk pastinya masih dibayangi oleh ejen-ejen rejim sebelum ini. Selain itu, cubaan untuk menyemai benih demokrasi di Mesir juga semakin rancak dilakukan. 

Sejak Sabtu lalu, lebih 40 orang telah terkorban – apakah pertumpahan darah sebegini yang umat Islam di Mesir inginkan? Apakah nasib mereka umpama terlepas dari  mulut harimau, masuk ke mulut buaya pula selepas ini? Kita mengharapkan agar keadaan umat Islam di Mesir semakin bertambah baik serta kebangkitan yang telah menumbangkan Mubarak sebelum ini membuahkan hasil yang diredhai oleh Allah dengan penerapan Islam di tengah-tengah umat dan bukannya dengan menyemai benih demokrasi. Allah telah banyak mengingatkan kepada kita kesan daripada tidak diterapkan hukum Allah di muka bumi dalam firmanNya.

Adapun orang-orang yang kafir, sebagian mereka menjadi pelindung bagi sebagian yang lain. Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, niscaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerusakan yang besar. [TMQ Al Anfal (8): 73].

Oleh itu, bersegeralah menuju kepada perubahan yang hakiki dengan mencabut segala kerosakan yang telah dibawa oleh kaum kuffar kepada penerapan syariah di Mesir. Dengan penerapan syariah Islam ini, pertolongan daripada Allah akan segera tiba kepada kita semua, dengan izinNya. Wallahu a’lam.