Kuasa Sebenar Di Mesir

Keadaan di Mesir semakin tegang. Terbaru, Pasukan Keselamatan Mesir dituduh telah menembak mati kira-kira 120 penyokong bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi yang berhimpun di Kaherah. Stesen televisyen al-Jazeera melaporkan lebih 4,500 lagi cedera dalam kejadian tembakan terhadap penunjuk perasaan pro-Mursi di Masjid Rabaa al-Adawia di pinggir Kaherah. Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad berkata, tembakan berlaku sejurus sebelum solat Subuh ketika penunjuk perasaan pro-Mursi berhimpun di Masjid Rabaa al-Adawia sejak beberapa hari lepas. Mereka mengatakan pihak pasukan keselamatan bertanggungjawab atas kejadian tersebut.

Di dalam sumber yang lain, jurucakap Pihak Keselamatan Mesir menafikan mereka telah melepaskan sebarang tembakan tetapi hanya melepaskan gas pemedih mata. Para saksi pula berkata mereka melihat kumpulan bersenjata yang berpakaian biasa melepaskan tembakan ke arah penyokong-penyokong Mursi di Masjid Rabaa al Adawia. Namun, para penyokong Mursi mendakwa pihak polis yang berada di belakang mereka hanya melihat tanpa berbuat apa-apa.

Nampaknya, ketegangan di Mesir sudah hampir tiba kepada kemuncaknya. Ramai penganalisis menjangkakan perang saudara mungkin akan tercetus pada bila-bila masa sahaja. Namun jika dilihat kepada kekuatan yang ada pada Pasukan Keselamatan Mesir, keadaan itu sukar untuk menjadi kenyataan kerana dengan kekuatan yang ada pada Pasukan Keselamatan Mesir, Geopolitik Mesir ditambah lagi sokongan penuh daripada Amerika, tidak mungkin ia dapat digugat oleh para penyokong Mursi.

Jadi, dikala kita mengutuk sekeras-keraskan tindakan yang dilakukan oleh pihak Pasukan Keselamatan Mesir, ia seharusnya menjadi pengajaran kepada semua umat Islam bahawa kekuatan sebenar di dalam arena politik bukanlah peribadi ahli politik atau pengaruh yang ada padanya, tetapi ia mestilah disokong penuh oleh pihak Pasukan Keselamatan mereka, di dalam konteks Mesir, ia adalah Pasukan Tentera. Selagi pihak Pasukan Keselamatan tidak berpihak kepada umat Islam, selagi itulah kita akan menyaksikan krisis seumpama di Mesir terus berlanjutan dan berulang.

Sumber :  Utusan Malaysia