Siapakah Pemerintah Sebenar di Mesir?

Peristiwa yang berlaku di Mesir telah mengesahkan lagi bahawa bekas rejim terdahulu masih lagi memerintah dan mengawal seluruh hal ehwal Mesir dan ini telah dizahirkan melalui notis 48 jam yang diberikan oleh angkatan tentera kepada kedua-dua parti untuk menyelesaikan perbalahan sesama mereka atau tentera akan bertindak.

Ahli-ahli gerakan Islam yang terlibat dengan proses demokrasi dalam semua bentuknya termasuklah daripada pilihan raya sehinggalah ke legislatif parlimen dan juga pilihan raya Presiden dengan membuat andaian bahawa Islam dapat diterapkan dalam Mesir (melalui proses tersebut) sebenarnya secara jelas telah membuat satu kesilapan yang sangat besar. Kesilapan ini disebabkan oleh: Pertama, tidak memahami realiti. Yang keduanya, tidak memahami hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Islam yang berkaitan dengan pemerintahan, hal ehwal politik dan juga metodologi (jalan dan kaedah) dalam membawa perubahan. Regim Mesir yang dicipta oleh Barat ini tidak akan sekali-kali membenarkan Islam yang sebenar untuk dibawa masuk (untuk diterapkan) dan satu-satunya jalan untuk membawa Islam (masuk ke dalam umat dan negara) adalah dengan terlebih dahulu membuang dan menggantikan rejim yang ada secara sepenuhnya daripada akar umbi dan asasnya. Tentera, kehakiman, media dan Kementerian Dalam Negeri dilihat kekal tidak berubah sepanjang gerakan Islam moderat (Ikhwanul Muslimin) yang memerintah itu terlibat dengan sistem (kufur) tersebut. Mereka terus membiarkan diri mereka didominasi dan dikawal oleh tangan-tangan penjajah yang mana Amerika masih kekal sebagai kuasa tertinggi.

Ahli-ahli gerakan Islam ini cuba untuk memenangi hati barat dan juga pihak-pihak sekular di Mesir. Mereka menerima demokrasi sebagai sistem pemerintahan, mereka meluluskan perlembagaan sekular dan mereka memberi janji untuk melindungi entiti Yahudi. Pada masa yang sama, mereka membenarkan dan menerimapakai undang-undang yang secara terang-terangan bertentangan dengan Islam seperti dalam hal perlancongan, kelab malam dan arak. Disebabkan semua ini, mereka dan presiden mereka sekali-kali tidak akan dapat mengambil pemerintahan secara sempurna selagimana mereka tidak  menegakkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang didasarkan kepada aqidah Islam dan juga hukum-hakamnya. Oleh itu, walaupun majoriti umat Islam di Mesir menghendaki Islam dan mencintai Islam, (malangnya) golongan Islam pragmatis ini hanya berjaya merenggangkan lagi hubungan sesama mereka  di samping menimbulkan kemarahan serta kesangsian umat terhadap mereka. Mereka mendambakan pemerintahan dan kedudukan sebagai pihak yang berkuasa tanpa sebelum itu melakukan perubahan terhadap keberadaan rejim yang lama. Akibatnya, mereka pulalah yang menjadi ‘alat baru’ (mungkin sementara) di tangan musuh utama umat Islam iaitu Amerika, di samping menjadi pelindung utama musuh entiti haram Yahudi. Dan kini, mereka telah memanggil semua para penyokong mereka ke jalanan untuk menyokong Presiden dan juga rejimnya (yang ditumbangkan) yang tidak pernah membuat apa-apa (untuk penerapan Islam) selain daripada membiarkan hukum kufur dan juga musuh-musuh Islam menjadi semakin kuat. Inilah wajah yang sama yang ditonjolkan oleh pihak pembangkang yang menyeru para penyokongnya dengan dakwaan palsu daripada para pimpinan mereka, sama sepertimana sebahagian ahli gerakan Islam, mereka semua menginginkan kekuasaan semata-mata mengatasi kemahuan untuk mengubah rejim yang ada.

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata, Nabi SAW bersabda, “Tidak sepatutnya seorang Mukmin itu terperosok ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali”.(Muttafaqun ‘alaih).

Wahai kaum Muslimin, janganlah membiarkan diri kamu dipergunakan oleh golongan-golongan yang menginginkan keburukan ke atas kamu. Kepimpinan daripada kedua-dua pihak (parti) telah meletakkan diri mereka dalam genggaman penjajah yang hanya mahu menjaga keselamatan kepentingan mereka. Mereka langsung tidak memperdulikan kepentingan umat atau membuat perubahan yang mendasar terhadap sistem yang ada. Hanya Islam sahajalah yang dapat menyatukan kalian dan bukannya demokrasi, kediktatoran atau campur tangan tentera. Islam sahaja yang dapat membawa kebaikan dan mengembalikan maruah, kekuatan dan kemuliaan. Sudah sampai masanya kita meninggalkan segala perasaan kepartisanan dan juga pendapat sendiri dalam menilai segala apa yang berlaku. Islam tidak pernah membenarkan kamu untuk menyokong apa-apa selain Islam, termasuklah pemerintahan dan sistemnya. Sesiapa sahaja yang menyeru atau mempertahankan apa-apa selain daripada Islam, maka dia telah melakukan satu dosa besar. Jadi, kembalilah kepada Allah SWT dengan cara yang murni, tiada yang lain dan dengan ikhlas. Tinggalkanlah sebarang tindakan, pemikiran dan penyelesaian yang bukan datang daripada kitabNya atau sunnah RasulNya serta tidak menerima apa-apa selain daripada Islam dan penerapannya melalui sistem yang telah diwajibkan oleh Allah iaitu di bawah naungan Khilafah Islamiyyah. Bergeraklah di tengah-tengah umat sebagai saudara  berpandukan jalan syariah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw serta terus tetap beristiqamah di atas jalan ini sehinggalah dikurniakan kemenangan atau dipertemukan dengan baginda saw (mati syahid).

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” [TMQ Muhammad (47) : 7].